Pelakon dan pengarah, Adam Hamid, 45, yang menghidapi penyakit jangkitan kuman dalam paru-paru sejak setahun lalu itu mengesahkan dirinya kembali sihat dan kini sudah berhenti mengambil ubat sejak pertengahan 14 Ogos lalu.
“Alhamdulillah, selepas 13 bulan saya mengambil ubat-ubatan untuk memulihkan penyakit saya, saya kini sudah ‘bersih’ daripada kuman yang menyerang paru-paru saya. Sejak 14 Ogos lalu, doktor maklumkan kepada saya bahawa saya sudah boleh berhenti mengambil ubat untuk penyakit itu namun digalakkan untuk terus mengambil vitamin.
“Saya sangat bersyukur dengan kesihatan yang diberikan-Nya. Tahun lalu, doktor beritahu saya, peratus untuk saya pulih hanyalah 50 peratus. Doktor sendiri pun terkejut apabila tempoh pemulihan saya boleh dikatakan sangat singkat,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Adam, dia bagaimanapun perlu menjalani pemeriksaan darah setiap enam bulan dan mengambil vaksin. Tambahnya, doktor juga menasihatkannya supaya tidak berada di kawasan yang ramai orang.
“Saya perlu jalani pemeriksaan darah setiap enam bulan dan dua vaksin. Satu vaksin diambil setahun sekali dan satu lagi, lima tahun sekali. Menurut doktor, sekali saya terkena jangkitan kuman dalam paru-paru, risiko untuk kuman itu kembali sangat tinggi.
“Jadi, vaksin itu untuk pastikan perkara itu tidak berlaku. Kita tak tahu apa yang ada dalam kandungan udara kita, jadi doktor menasihatkan saya supaya tidak berada di tempat awam yang ramai orang,” jelasnya.
Adam juga memberitahu, dia rindu untuk kembali ke set penggambaran menjalankan tanggungjawabnya di belakang tabir. katanya, kerana penyakit itu, sumber kewangannya sebagai anak seni juga sedikit terjejas.
“Tapi, tenaga saya pun tidak sekuat dulu. Kalau telefilem, mungkin saya akan terima, tapi kalau drama bersiri, saya rasa saya tak cukup kuat untuk melakukannya. Apa pun, saya beri masa kepada diri sendiri selama setahun lagi untuk kembali kuat 100 peratus sebelum kembali bekerja.
“Kerana kemampuan saya untuk bekerja sedikit terhad, jadi, saya terpaksa fikirkan cara lain untuk jana pendapatan. Baru-baru ini, saya ada hasilkan kurta untuk dijual secara ‘online’. Insya-Allah, menjelang 1 Muharam, ia akan dipasarkan. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah untuk saya tampung kehidupan,” tuturnya.
Sumber: myartis.com
Leave a Reply