4 kluster baharu: Najib Mahu arahan ini disemak serta-merta

KUALA LUMPUR – Susulan kewujudan empat kluster baharu Covid-19 di Malaysia yang mana tiga daripadanya melibatkan indeks orang yang tiba dari luar negara, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya arahan kuarantin di rumah sendiri disemak serta-merta.

Tegasnya, individu yang baru pulang dari luar negara perlu dianggap kes suspek dan dikendalikan sedemikian sehingga sampai ke pusat kuarantin yang telah ditetapkan kerajaan.

“Jika kos merupakan faktor kenapa membenarkan kuarantin di rumah, saya percaya mereka yang tiba atau pulang dari luar negara mampu menampung kos bagi kuarantin 14 hari dalam pusat kuarantin rasmi negara atau dalam hotel-hotel yang telah disyorkan kerajaan.

“Suruh mereka bayar sendiri.

“Dan sesiapa yang ingkar kuarantin wajib perlu berdepan dengan penjara mandatori dan bukan dengan denda kompaun RM1,000 sahaja.

“Hanya lepaskan mereka selepas kuarantin wajib 14 hari dan disahkan negatif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu yang baru pulang dari luar negara sama ada melalui pintu udara, darat mahu pun laut diasingkan di pusat kuarantin yang telah ditetapkan kerajaan.

Arahan tersebut bagaimanapun disemak semula kerana kos yang tinggi dan kerajaan mengarahkan mereka menjalani kuarantin di rumah bermula 10 Jun lalu.

Tambah Najib, rakyat Malaysia dan ekonomi negara sudah tidak mampu untuk menanggung kesan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan semula.

“Warga Malaysia tidak mahu apa yang menimpa negara Australia sekarang yang kini mengalami gelombang kedua Covid akibat kelemahan sistem kuarantin mereka berlaku di Malaysia

“Saya percaya Rakyat Malaysia tak larat untuk mengulangi PKP (selama) enam minggu lagi setelah kita sudah berkorban 2 bulan.

“Kerugian kepada ekonomi kita jika kita terpaksa mengulangi tempoh PKP adalah sangat besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Covid-19: Rasa puas hati membuahkan kegagalan

“Kejayaan menerbitkan rasa puas hati dan rasa puas hati membuahkan kegagalan,” tulis Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah ketika mengulas mengenai kewujudan empat kluster terbaharu Covid-19 di negara ini.

Beliau yang tidak pernah berhenti “membebel” mengenai kewajipan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memuat naik sekeping carta yang menunjukkan data-data mengenai kluster terbaharu itu.

Laporan Kluster Covid-19 yang aktif di Malaysia

Tiga daripada indeks kluster tersebut melibatkan individu yang baru pulang dari luar negara.

Meskipun tidak bergejala dan disahkan negatif pada saringan pertama sebaik tiba di pintu masuk negara, masing-masing disahkan positif Covid-19 beberapa hari kemudian.

Dalam hantaran yang pendek di Facebooknya, Dr. Noor Hisham memberitahu, inilah kesannya jika SOP tidak dipatuhi dengan baik.

“Kebimbangan terbesar adalah apabila kita tidak lagi berhati-hati.

“Tolonglah teruskan mematuhi SOP seperti yang saya selalu ingatkan di setiap peluang yang saya ada.

“Tanggung jawab memutuskan rantaian Covid-19 sekarang berada di tangan rakyat Malaysia,” katanya lagi.Susulan penemuan empat kluster terbaharu itu, banyak pihak yang mencadangkan supaya arahan kuarantin di rumah yang dilaskanakan sejak 10 Jun lalu disemak semula. – MalaysiaGazette

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Media Viral

Sumber : Malaysia Gazette via  M.B

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*