Menang PRK bukan jaminan menang PRU, kata Annuar

Ciapan Annuar di Twitter yang mengingatkan bahawa kemenangan BN pada PRK tidak akan menjamin kemenangan dalam PRU akan datang.

SHAH ALAM – Pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini mengingatkan bahawa kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu terbukti apabila BN pernah menang bergaya di PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar namun tewas pada pada PRU14.

“Kemenangan dalam PRK tidak menjamin kemenangan dalam PRU. BN pernah menang bergaya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum PRU14, tapi tewas kemudiannya,” ciapnya di Twitternya hari ini.

Sehubungan itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ramuan yang tepat diperlukan dan ia memerlukan muafakat kental Melayu dan bumiputera serta sokongan Cina, India dan yang lain.

Malam tadi, BN menerusi calonnya, Mohd Zaidi Aziz mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim selepas diumum menang dengan majoriti bergaya dalam PRK DUN Slim.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran yang memperoleh sebanyak 276 undi.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak.

Keputusan penuh PRK DUN Slim diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim malam tadi.

sumber – sinarharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*