Cantik, Muda & Luhur Jiwanya. PUTERI ANNISA AMALIN Kngsi Sajian Istana Kelantan

Manis dan ayu sungguh gadis kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini. Tak berkedip mata memandang. Puteri Annisa Amalin Amir atau mesra digelar sebagai Puteri merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan. Memiliki darah campuran Melayu, Cina dan Uzbekistan memberi kelebihan buat personaliti kerabat Diraja Kelantan ini.

Dalam usia 24 tahun Puteri dilihat sebagai seorang gadis yang sangat bijak, matang dan pandai berdikari. Ternyata Puteri bukan calang-calang anak muda. Selain bertugas sebagai penasihat pemasaran perniagaan, Puteri juga kini aktif sebagai model sambilan.

“Sejak kecil Bonda dan Ayahanda mendidik saya sentiasa merendah diri, bersederhana dan saling menghormati. Tiada had untuk saya bergaul dengan sesiapa pun. Saya turut dididik sentiasa berdisiplin dan menepati masa. Sebab itulah saya sangat teliti dalam segala hal.

Saya bersama Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan aktif melaksanakan aktiviti kebajikan antaranya pengurniaan zakat kepada anak-anak yatim serta tahfiz. Tidak ketinggalan kami turut melakukan pengurniaan zakat kepada golongan asnaf dan lawatan ke rumah orang-orang asli sekitar negeri Kelantan.

Antara barangan keperluan harian sumbangan Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan.

Selalunya, setiap kali bulan Ramadan kami akan berbuka puasa bersama anak-anak yatim negeri Kelantan. Namun tahun ini memandangkan kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami turut menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada mana-mana ahli yang terkesan dengan situasi wabak C0VID-19 seperti yang bergaji harian, ibu dan bapa tunggal. Sumbangan diberikan pada 15 April 2020 yang lalu. Selepas ini ada lebih banyak lagi agihan yang akan diberikan buat mereka yang memerlukan.”

PANDAI MEMASAK

Sejak usia 6 tahun Puteri sudah pun menunjukkan minatnya terhadap dunia masakan apabila gemar membelek buku-buku masakan milik nendanya, YM Tengku Anisah@Zainab Binti YM Tengku Muhammad. Menu pertama yang dipelajari oleh Puteri ialah rendang ayam bersama pulut kuning, serta makaroni bak4r.

Koleksi resipi warisan keluarga Puteri Annisa Amalin.
Puteri Annisa Amalin sewaktu kecil.

“Ketika kecil saya memang suka memerhatikan Bonda dan Nenda memasak termasuklah ketika mereka menyediakan bahan-bahan masakan. Bonda saya bernama Nik Safuanah Binti Mohd Hashim.

Saya juga merindui suasana ketika belajar memasak bersama sepupu-sepupu ketika zaman kanak-kanak. Kami sama-sama menyediakan hidangan untuk keluarga sambil dipantau oleh Nenda. Momen ini sangat seronok dan meninggalkan banyak kenangan manis.

Detik bersama keluarga adalah masa berkualiti kami kerana ketika inilah dapat berkumpul sambil melakukan aktiviti seperti jamuan makan. Kami akan memasak bersama-sama Bonda dan Nenda untuk menyediakan sajian istana Kelantan seperti Itik Serati Solor, Ayam Percik, Kerutuk Daging, Mas Sejemput, Pauh Dilayang, Jalur Emas, Cekmek dan Bunga Tanjung.

Manis berbaju kurung moden dan bertudung.

Menu lain yang turut menjadi kegemaran kami sekeluarga ialah Ros Lidah, Kerabu Sayuran Campur, Kerabu Daging, Solok Ikan Goreng, Kerabu Bekol Sri Kelantan dan Pulut Kuning Bersama Rendang Daging. Manisan pula kami menggemari Nasi Manis, Tepung Manis, Puding Jala Emas, Nasi Kaya, Cucur Betawi dan Martabak Diraja.

Antara hidangan yang sering saya masak ialah Ros Lidah. Ros Lidah ini merupakan menu turun temurun daripada Nenda saya. Ia merupakan lidah lembu yang direbus empuk kemudian dibersihkan dan dihiris nipis. Seterusnya ia diperap, digoreng dan akhir sekali dilengkapkan dengan kuah yang sangat mudah dihasilkan.

Secara peribadi, sajian istana yang paling saya suka ialah Itik Serati Solor yang juga resipi turun temurun keluarga saya. Ia mempunyai pelbagai rempah ratus yang dikisar secara tradisional sama ada digiling atau ditumbuk menggunakan batu gilingan.

Antara sajian istana Kelantan, Itik Serati Solor.

Itik serati dibakar menggunakan bara arang. Memasak menu ini memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa. Itik Serati Solor sangat sedap dihidangkan bersama nasi putih dan ulam ulaman.

Bagi saya sajian istana Kelantan cukup istimewa kerana masih mengekalkan resipi asli serta mengekalkan kaedah tradisional seperti menggunakan bara arang, kuali tembaga, dulang tembaga, periuk atau belanga tanah dan batu gilingan. Selain itu, ia turut menggunakan bahan-bahan masakan semula jadi.

AMAL 3 PETUA UNTUK KEKAL CANTIK

Saya amalkan tiga jenis petua kecantikan yang diwarisi sejak turun temurun dari keluarga iaitu melumurkan bedak sejuk bersama kulit rambai dan asam jawa pada badan dan wajah bagi melembutkan kulit serta mencerahkannya secara semula jadi.

Beauty with brain.

Saya juga mengamalkan susu santan yang dicampur bersama asam jawa dan limau purut bagi melebatkan rambut dan mencuci kulit kepala agar lebih segar. Petua ketiga untuk kesihatan dalaman. Saya amalkan makan ulam ulaman bersama nasi seperti pucuk gajus, pucuk paku, pegaga dan ulam raja. Bagi saya ulam umpama suplemen semula jadi yang bagus untuk kesihatan luaran dan dalaman.

PENCINTA GAYA KLASIK

Minat saya terhadap fesyen bermula daripada Bonda di mana beliau sering memberi idea kepada saya tentang gaya yang sesuai terutama ketika menghadiri majlis-majlis Diraja. Selain gaya moden saya turut menyukai fesyen yang ada sentuhan klasik. Saya sebenarnya pencinta songket dan batik Kelantan kerana ia melambangkan tradisi keluarga Diraja Kelantan.

Aksesori pula ‘item wajib’ pelengkap gaya. Saya gemar mengumpul barangan antik seperti barang kemas yang diwarisi daripada Nenda contohnya anting-anting, gelang kaki dan tangan, serta rantai. Tidak ketinggalan pakaian Nenda yang dipakainya ketika berada di dalam istana Kelantan.

Saya dan rakan-rakan baik memang suka berfesyen. Sometime shopping with your best friend is all the therapy you need. Kebanyakan rakan-rakan sangat mengenali cita rasa saya. Adakalanya kami gemar menyarungkan outfit yang sama tema ketika keluar. Sekiranya ada masa kami juga gemar bercuti bersama walaupun jarang berjumpa. Apa yang paling penting ialah our bond sisterhood unbreakable.

BONDA SUMBER INSPIRASI

“Selain memiliki sikap keibuan yang tinggi, Bonda juga sangat lemah lembut, penyayang dan mementingkan disiplin. Bonda juga seorang yang mengambil berat dan penyabar. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang menjaga saya umpama menatang minyak yang penuh. Saya berdoa agar Bonda dipanjangkan usia dan sihat selalu.”

Puteri turut berkongsi foto kenangan ketika Bondanya aktif sebagai penari istana yang turut disertai oleh sepupu-sepupu dan anak-anak kerabat Diraja Kelantan.

Ketika muda, Bonda Puteri aktif sebagai penari istana bersama anak-anak kerabat Diraja Kelantan.

Impian Puteri ialah mahu menjadi usahawan berjaya kelak serta ‘membangun’ bersama-sama wanita Malaysia dalam bidang perniagaan. Baginya menjadi seorang wanita sebenarnya sangat menakjubkan kerana mampu berdikari dan melakukan pelbagai perkara pada zaman kini. #syukurbersama

Kredit Foto: Instagram Puteri Annisa Amalin

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook  satkobaviral.com

Sumber: nona

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*