Tanpa rasa kekok dan dengan gaya bersahaja, Nur Amni ‘Aqilah Ruzaini, 23, cukup berkemahiran melakukan tugas itu yang kebiasaannya dimonopoli kaum Adam, hingga mencuri tumpuan pengunjung yang datang menikmati sajian di premisnya.
“Saya mula jadi penebar roti canai pada 2015 selepas ayah saya terlantar sakit selama sebulan akibat terjatuh longkang. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik saya menggalas tanggungjawab untuk bantu ayah buat roti canai sebab tidak ada pengganti…”
“Saya cuba sedaya upaya menebar roti canai dan saya sudah tengok cara ayah menebar roti sejak kecil lagi di kedai ayah yang sudah beroperasi hampir 30 tahun lalu…”
Katanya, kerjaya sebagai penebar roti canai bukanlah pilihan utama untuk meraih pendapatan selepas menamatkan pengajian Diploma Vokasional dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Sungai Petani.
Namun, kegagalan dalam enam temu duga kerja memberinya tidak banyak pilihan dan beliau membuat keputusan menjadi penebar roti canai di kedai bapanya itu demi membantu keluarga.
Nur Amni ‘Aqilah berkata bagi meningkatkan kemahirannya, beliau turut menghadiri kursus membuat roti canai dan dapat mempelajari hampir 20 menu roti canai.
“Saya menebar roti dengan cara saya malah belajar dan terus belajar serta menambah baik dari semasa ke semasa untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan hinggalah ke saat ini saya sudah tidak kekok untuk berbuat demikian dan pelanggan pun puas hati…”
Jemput la singgah Sarapan di Aneka Roti Canai Pokok Sena . Bersebelahan Balai Polis Pokok Sena . Dibuka jam 7Pgi Sehingga 2 Ptg Jom sama2 support Business Amni . Semoga Allah limpahkan rezeki utk semua . Terima Kasih pic.twitter.com/mBep8la1j1
— Amni ‘Aqilah 💕🔰 (@amni_stalker) October 15, 2020
Selain itu, Nur Amni ‘Aqilah berkata beliau turut menjual roti canai dan murtabak sejuk beku sejak Jun lepas untuk mempelbagaikan pilihan kepada pelanggannya sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan.
“Saya juga bercadang membeli mesin bagi membantu saya menghasilkan roti canai dan murtabak sejuk beku ini dengan lebih cepat dan berharap pada masa akan datang saya dapat pasarkan produk saya secara lebih meluas dan diletakkan di pasar raya besar…”
Sumber: Bernama (Nurrul Huda Ahmad Lutfi) , Nur Amni ‘Aqilah Ruzaini
Leave a Reply