Roti Canai Janda Habis Seawal 9 Pagi. Rupanya Pelanggan Luar Daerah Pun Sanggup Datang Disebabkan Ini

 

Nikmatnya Tak Terlupa’, itu slogan digunakan oleh peniaga Norasiah Abdul Rahman, 47, di Kampung Baru Derang, yang mencuri tumpuan sehingga mendapat liputan akhbar Utusan Malaysia semalam.

Lebih menjadi bualan ramai, restoran yang dinamakan Restoran Roti Canai Janda itu diusahakan oleh dua beranak yang masing-masing berstatus janda.

Difahamkan selepas artikel tular sejak semalam, hasil jualan mereka meningkat sekali ganda selepas kisah perniagaan mereka tular.

Pemilik restoran itu, Norasiah berkata, jumlah pelanggan mengunjungi restorannya didapati lebih ramai semalam berbanding sebelum ini.

” Kebanyakan mereka adalah pelanggan baharu yang tinggal di sekitar di sekitar Pokok Sena, Kuala Nerang dan Jitra yang melalui kampung ini.

” Alhamdullilah, kebanyakan mereka ke restoran ini selepas tertarik dengan laporan Utusan Malaysia,” katanya semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Restoran Roti Canai Janda yang diusahakan dua beranak itu menjadi tumpuan pelanggan termasuk dari luar daerah ini sejak tiga tahun lalu.

Norasiah yang berpisah de­ngan suaminya sejak 2007 dibantu anak sulungnya, Nurul Nadia Ismail, 27, yang juga ibu tunggal selepas ditinggal suaminya awal tahun ini.

Janda yang mempunyai tiga anak itu memberitahu, setiap hari dia menggunakan tepung gandum sebanyak 14 kilogram untuk diuli menjadi roti canai dan habis dijual antara pukul 11 hingga 12 tengah hari.

” Bagaimanapun semalam, roti canai yang saya jual habis seawal pukul 9 pagi.

” Malah saya terpaksa menambah tepung gandum untuk diuli bagi tidak mengecewakan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelanggan tetap, Mohd. Syaz­wan Abdullah, 53, dia lebih setahun bersarapan di restoran ini, namun semalam tidak dapat bersarapan roti canai.

” Kebiasaannya pukul 10 pagi masih ada roti canai, tetapi hari ini (semalam) telah habis awal. saya hanya tinggal berdekatan restoran ini, jadi tidak apa boleh datang lagi esok (hari ini),” katanya.

400 biji roti canai sehari habis terjual

Norasiah memberitahu, dalam sehari, dia dapat menjual kira-kira 400 biji roti canai dan antara sajian popular di restoran itu ialah roti canai sarang burung serta roti doll.

” Roti canai itu saya sendiri yang tebar dan kuah serta sambal pun saya masak sendiri,” katanya.

Norasiah mempunyai tiga orang anak termasuk anak kedua bernama Nurul Hidayah, 26, yang sudah berumah tangga dan menetap di Kuala Lumpur dan anak ketiga Mohd. Ariff Fahami, 21, yang tinggal bersama bekas suaminya.

Norasiah memberitahu, selain itu, antara menu lain yang dijual di restorannya ialah laksa, nasi campur dan pulut ikan kering.

Katanya, restorannya itu dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 6 pagi hingga 1.30 petang.

” Bagaimanapun, ada beberapa pelanggan mula menunggu untuk minum dan makan di restorannya seawal pukul 5 pagi,” tambahnya.

Ada juga terima ‘usikan’ lelaki

Dalam pada itu, menurutnya, dia kecewa apabila terdapat segelintir masyarakat yang yang membuat pelbagai persepsi apabila menamakan restorannya itu dengan perkataan ‘janda’.

” Saya juga berdepan usikan pelanggan lelaki, namun saya tidak mengendahkannya dan menganggap mereka sebagai pelanggan sahaja,” katanya.

Dia berkata, semangatnya tidak luntur berhadapan dengan tohmahan masyarakat kerana dia mahu mencari rezeki yang halal bagi menyara kedua ibu bapanya, Abdul Rahman Hashim dan Sofiah Ibrahim, masing-masing berusia 75 tahun.

sumber..

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*