Sanggup Jadi Gelandangan di Singapura, Ini Punca Sebenar Kenapa Rakyat Kita Tak Pulang Sahaja ke Malaysia

 

Disaat kita di Malaysia hidup penuh selesa, kedai-kedai emas penuh dengan pelanggan dan beratus orang berbaris membeli Iphone 12, namun ada kisah sayu yang berlaku kepada rakyat kita di negara jiran yang menyentuh hati ramai.

Mereka masih bekerja, namun terpaksa hidup sebagai gelandangan di negara orang, tidur di tepi jalan, menumpang mandi di tandas awam dan adakalanya berlapar kerana berjimat membeli makanan.

Itu realiti dihadapi ratusan rakyat Malaysia bekerja di Singapura ketika ini, angkara COVlD-19 yang menyaksikan pintu sempadan ditutup bagi mengelak penularan, sekali gus menghalang mereka berulang alik dari Johor seperti kebiasaan.

Disebabkan kos sara hidup tinggi di negara jiran itu, ramai rakyat Malaysia yang sebelum ini berulang alik ke Singapura, terpaksa berkorban bagi menanggung keluarga kerana ada juga yang dipotong gaji bulanan oleh majikan akibat pandemik COVlD-19.

Mereka berehat dan tidur di bangku yang ada di taman awam sekitar republik berkenaan, menggunakan tandas awam atau di medan makan, restoran, surau atau masjid, ada juga yang menumpang mandi di tempat kerja.

Difahamkan, ramai tidak mengambil peluang skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang bercuti dan bertemu keluarga di negara ini berikutan pelbagai kekangan, termasuk dari segi kewangan dan peraturan majikan mereka di republik itu.

Pekerja juga dikatakan tidak dibenarkan bercuti panjang berikutan bebanan kerja ketika penularan COVlD-19, selain perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum dibenar masuk ke Malaysia dan kemudian sebelum dibenarkan masuk kembali ke Singapura.

Nasib mereka dikongsi Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, rakyat Malaysia yang bekerja di sebuah syarikat minuman di Singapura dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di republik berkenaan.

Nak sewa katil pun tak mampu, apatah lagi sewa bilik

Lebih dikenali dengan nama Eddie Dieana, beliau berkata, sekurang-kurangnya 100 pekerja Malaysia di Singapura kini terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak mampu menyewa katil, apatah lagi bilik.

Dengan purata pendapatan bulanan S$800 (RM2,441) hingga S$1,400 (RM4,271), katanya, mereka tidak mampu menyewa katil pada harga S$300 (RM915) hingga S$500 (RM1,525) sebulan, apatah lagi bilik berharga S$700 (RM2,135) hingga S$1,200 (RM3,660).

Beliau berkata, ia belum dicampur kos makan mencecah S$20 (RM61) sehari dan kos tambang perkhidmatan pengangkutan awam MRT, antara S$3 (RM9) hingga S$4 (RM12) bagi satu perjalanan mengikut lokasi.

Malah, katanya, ada yang terpaksa mengikat perut kerana hanya mempunyai S$100 (RM304) untuk bertahan selama sebulan, termasuk kos makan selepas menghantar kira-kira S$700 (RM2,134) untuk keluarga di Malaysia dan S$300 (RM915) kos katil.

” Ada yang makan mi segera dari pagi hingga malam untuk alas perut. Jadi, pada masa terluang, saya akan cari roti yang tidak lagi mahu digunakan dari lori roti untuk diberikan kepada rakan-rakan gelandangan,” katanya ketika dihubungi BH.

Shahruddin yang menyertai program amal dikendalikan sepasang suami isteri warga Singapura sejak Ramadan lalu, berkata mungkin ramai bertanya mengapa mereka tidak pulang sahaja ke Malaysia daripada menjadi gelandangan di Singapura.

” Untuk makluman, rakyat Malaysia yang jadi gelandangan di Singapura, rata-rata adalah sumber utama mencari pendapatan untuk keluarga. Jika balik Malaysia, mungkin sukar cari kerja pada waktu ini, bagaimana mahu tanggung keluarga?,” katanya.

Beliau yang sudah enam tahun bekerja di Singapura dengan berulang-alik ke republik itu dari rumahnya di sini sebelum terkandas di republik itu akibat penutupan pintu sempadan, menegaskan meninggalkan Singapura bukan penyelesaian terbaik ketika ini.

” Mereka terpaksa berhenti bekerja dan wajib jalani ujian saringan serta kuarantin di Malaysia yang kosnya ditanggung sendiri. Saya dimaklumkan, perlu bayar RM2,200 untuk kos kuarantin selama 14 hari di Malaysia selain ujian saringan.

” Ia ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Sudahlah terpaksa berhenti kerja, harus bayar kos kuarantin lagi. Sebab itu mereka sanggup tidak balik dan bertahan di sini,” katanya.

Sanggup bergolok gadai demi beri makan keluarga

Shahruddin menjelaskan, kerumitan hidup pekerja Malaysia di Singapura hanya akan berakhir apabila pintu sempadan dibuka dan mereka boleh berulang alik dari Johor setiap hari bekerja.

” Mereka tidak pernah bergelandangan sebelum ini, kebanyakannya berulang alik dari Johor. Ia menjimatkan, tidak perlu keluar kos makan, sewa katil atau bilik di Singapura kerana ada rumah di Malaysia, milik sendiri atau sewa. Tiada tekanan hidup,” katanya.

Katanya, mereka yang menerima gaji bulanan atas $1,500 (RM4,575) juga terhimpit dengan pelbagai kos, termasuk petrol, permit masuk kenderaan (VEP) S$4 (RM12) sehari, kos makan, kos katil atau bilik dan tidak termasuk wang belanja untuk keluarga.

Bercerita lanjut, beliau berkata, hampir semua keluarga pekerja Malaysia yang menjadi gelandangan di Singapura tidak tahu keadaan sebenar suami atau ahli keluarga di negara jiran itu sepanjang pandemik ini.

” Mereka tidak mahu memaklumkan keluarga di Malaysia kerana tidak mahu keluarga bimbang dan risau. Mereka ini antara golongan yang betul-betul bergolok-gadai untuk bekerja dan memberi makan keluarga, sedangkan diri sendiri makan sekadar alas perut.

” Itu belum bab emosi, jauh dari keluarga berbulan-bulan. Kalau tidak kuat, memang tertekan dan kemurvngan. Kami amat berharap sempadan dibuka, tetapkanlah apa pun syarat asalkan munasabah untuk kami boleh berulang alik bekerja dari Johor,” katanya.

Sumber:bharian via AsiaKini

Kredit foto:FB Gilbert Goh

Facebook Comments

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*