Sekali Sauk Jumpa 2kg Emas. Ini Pendedahan Dari Pnduduk Sndiri, Melombong Emas Belakang Rumah Saja

” Beli kenderaan baharu secara tunai.”

Itu antara kesan lonjakan ekonomi yang dialami penduduk di daerah ini berikutan pe­nemuan emas di kawasan tanah milik mereka.

Tinjauan Kosmo! mendapati, selain kenderaan baharu, penduduk kampung juga memiliki jengkaut yang dikatakan dibeli sendiri bagi memudahkan kerja-kerja melombong emas di tanah mereka.

Difahamkan, selain mampu meningkatkan pendapatan, ke­wujudan emas di kawasan tersebut turut menyebabkan berlakunya kes perebutan tanah dalam kalangan adik-beradik sehingga tanah milik mereka terpaksa dijual.

Di sebalik ketenangan beberapa buah kampung di daerah Kechau, Lipis, Pahang yang mempunyai keluasan 77,000 hektar di sini, siapa sangka kandungan perut bumi­nya dilimpahi dengan emas mentah sekali gus mengubah taraf hidup kira-kira 5,000 penduduk di situ sejak turun temurun.

Kewujudan emas yang bertimbun di kawasan itu boleh digambarkan seolah-olah penduduk tinggal dan hidup dengan logam berharga tersebut kerana ia didakwa berada di bawah, depan dan belakang rumah mereka.

Oleh kerana banyaknya emas, ada penduduk yang memperoleh sehingga tujuh kilogram (kg) ketika melombong di kawasan seluas 0.4 hektar dan lebih menakjubkan apabila ada yang mendapat sehingga 2kg logam berharga itu dengan sekali sauk menggunakan jengkaut di permukaan tanah.

Keadaan itu menyebabkan rata-rata penduduk mahir mendulang dan melombong emas.

Antara kampung di Mukim Kechau yang dikenal pasti terdapat aktiviti melombong emas ialah Kampung Dada Kering, Kampung Petola, Kampung Pagar Sasak, Kampung Sungai Mun, Kampung Dusun dan Kampung Melaka.

Kosmo! yang membuat tinjauan di daerah itu mendapati, beberapa buah kampung di situ mempunyai lubang besar seperti kolam yang digali di belakang rumah.

Terdapat banyak jengkaut yang diletakkan di kawasan rumah kerana mereka terpaksa menghentikan sementara operasi mengorek tanah bagi me­nunggu permohonan lesen perlombongan kecil diluluskan.

Penghulu Mukim Kechau, Mohd. Hafiz Jalaluddin berkata, sejak bertugas di situ pada 2018, dia melihat penduduk giat melombong emas.

” Mereka pada mulanya beker­ja dengan tauke besar sebelum mengusahakannya sendiri selepas mempunyai kemahiran dan modal.

” Emas memang banyak yang mana boleh mencecah sehingga 7kg di kawasan seluas setengah ekar (0.4 hektar) dan ada yang pernah mendapat dua kilogram hanya sekali sauk, itu pun penggalian permukaan menggunakan jengkaut sahaja,” katanya.

Tambahnya, aktiviti melombong emas di situ dimulakan oleh pelombong Cina hujung tahun 1800 sebelum aktiviti mendulang di kawasan sungai dilakukan penduduk kampung zaman berzaman.

Menurut Mohd. Hafiz, keba­nyakan emas dilombong di kawasan tanah pamah dan ia dijual pada harga antara RM230 hingga RM260 segram selepas diproses menggunakan palong. Modal minimum untuk melombong dan memproses emas ialah RM50,000.

Sementara itu, Ketua Kampung Dada Kering, Mat Isa Mat Lia, 65, berkata, dia masih ingat ketika mengikut ibu bapanya mendulang emas di sungai ketika dia masih muda.

” Kawasan ini memang banyak emas. Sekarang saya hanya mendulang emas di belakang rumah secara kecil-kecilan kerana perlu mohon permit untuk melombong.

” Sekarang, banyak kawasan tanah pamah milik penduduk telah digali. Setakat ini, 10 penduduk telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen melombong emas dan kami berharap ia diberi kelulusan se­gera,” katanya.

Tambahnya, antara kawasan perlombongan yang terkenal di kampung itu adalah di kawasan pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang kini telah ditambak.

Menurut Mat Isa, nama Kampung Dada Kering diambil sempena dengan perlombongan emas yang dijalankan di situ sejak lebih 100 tahun lalu.

” Dahulu di kampung ini pelombong Cina mencari emas dan lepas itu baru masuk orang Melayu termasuk datuk saya.

” Masa itu emas sudah habis, ha­nya tinggal kawasan lapang menyebabkan orang kampung kata tinggal dada sahaja, emas dah kering, jadilah Kampung Dada Kering,” ujarnya.

Sumber:hmetr0

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*