Berita Baik, Mulai Esok Dah Boleh Rentas Antara Negeri PKPP. Tapi Perlu Ikut Syarat Ini Dan Semua Wajib Tahu

Rakyat menerima berita baik hari ini apabila mesyuarat bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain dengan syarat-syarat ditetapkan bermula esok.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pergerakan itu bagaimanapun perlu menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

” Pergerakan hanya menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC manakala pergerakan secara persendirian tidak dibenarkan.

” Syarikat agensi pelancongan pula perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri dan pergerakan mesti terus ke negeri PKPP sahaja,” katanya dalam sidang khas hari ini.

Jelasnya, bagi pergerakan rentas negeri yang perlu melalui negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kenderaan itu mesti meneruskan perjalanan tanpa berhenti di kawasan negeri di bawah pelaksanaan PKPB.

” Tempat penginapan serta pelancongan juga perlu dilaporkan kepada pihak PDRM oleh agensi pelancongan tersebut.

” Maklumat lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) boleh dirujuk di laman sesawang MOTAC,” jelasnya.

Negeri mana di bawah PKPP?

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri di bawah PKPP iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Langkawi sahaja berkuatkuasa 10 Mac 2021.

Selain itu, beliau berkata, status Pulau Langkawi, Kedah daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditukar kepada PKPP mulai esok.

Sementara itu sidang khas hari ini turut bersetuju untuk membenarkan acara langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut peraturan yang ditetapkan berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar permohonan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) mengenai kelonggaran beberapa lagi industri kreatif termasuk kebenaran mengadakan acara langsung dengan kehadiran penonton dan penggambaran luar studio.

” Atas penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), mesyuarat bersetuju membenarkan kelonggaran itu dengan kehadiran bagi acara di kawasan PKPB ialah 50 peratus dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal. Manakala bagi kawasan PKPP, mengikut keluasan premis.

” Acara langsung yang merangkumi program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, seni tari, persembahan kebudayaan dan warisan serta Livestreaming,” katanya dalam sidang khas hari ini.

Katanya, mesyuarat turut bersetuju untuk membenarkan penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sumber:k0smo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*