MACHANG – Seorang pembantu kedai maut digilis sebuah treler selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya bergesel dengan kenderaan berat itu di Kilometer 6.1, Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Sungai Mas di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, mangsa, Wan Asmat Wan Mat, 31, yang merupakan pembonceng motosikal jenis Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kemalangan itu turut mencederakan bahagian tangan kanan penunggang motosikal yang berusia 24 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa bersama rakannya sedang menaiki motosikal dan keluar secara tiba-tiba dari simpang kiri jalan itu.
“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki kedua-dua wanita itu dipercayai bergesel dengan sebuah treler tanpa muatan yang sedang dalam perjalanan dari arah Labok menghala ke Pasir Puteh.
“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis treler tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Ganti, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, rakan mangsa yang mengalami kecederaan turut dirawat di hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Leave a Reply