“Mama Tinggalkan 12 Juzuk Untuk Kami 12 Beradik Selesaikan”

“INGATLAH bahawasanya mama, sekarang sedang tinggal di alam barzakh.” Begitulah sebahagian bacaan talkin yang dilafazkan oleh seorang pemuda untuk arwah ibunya.

Rakaman penuh emosi itu yang dikongsi ke Instagram ternyata meruntun hati netizen yang melihatnya sehingga ia meraih hampir 5,000 tontonan.

Nur Faezah Mohd Ariffin, 42, mendedahkan pemuda dalam video itu adalah adik lelakinya, Muhammad Neezam Mohd Ariffin, 35. Video itu dirakam ketika pengebumian ibunya, Azizah Romli, 65, yang telah meninggal dunia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

“Talqin dibaca oleh adik kelima saya yang merupakan seorang ustaz kelulusan Universiti Al-Azhar di Mesir. Kami 12 beradik tidak dapat menahan perasaan sedih apabila dia membacakannya untuk mama kami sendiri.

“Sebelum ini kalau orang baca talqin tak ada sebut mama pun. Tapi bila adik saya sebut mama tu terasa sayu sangat, rasa macam kita pun bakal menyusul ke sana.

“Kami tak sangka yang mama akan pergi kerana dia tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. Cuma dua tiga hari sebelum itu mama ada cakap pada adik, mama tidak ada sesuatu pun di dunia yang memberatkan untuk mama pergi. Mama dah berlapang dada, ” katanya sambil menambah, jenazah dikebumikan di Jitra, Kedah.

Allahyarhamah Azizah Romli merupakan ibu kepada 12 cahaya mata.

Segala pengurusan jenazah dilakukan oleh mereka 12 beradik bersama ayah tercinta. Menurut Faezah, dia tambah pilu apabila hasrat ibunya untuk khatam al-Quran sebelum Ramadan tahun ini tidak kesampaian.

“Mama tinggal lagi 12 juzuk untuk khatam, tetapi dia tak sempat nak habiskan dan ditakdirkan dijemput Ilahi pada Jumaat lalu, hanya empat hari sebelum umat Islam mula berpuasa.

“Ia seperti mama tinggalkan 12 juzuk itu untuk kami adik-beradik selesaikan. Jadi 12 juzuk terakhir itu dibaca bersama-sama kami adik-beradik ketika mama tenat sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, ” ujarnya

Pemergian ibunya tentu sekali membuatkan kehadiran Ramadan tahun ini ternyata berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Malah hatinya terasa kosong memandangkan ini kali pertama berpuasa tanpa ibu tercinta.

“Kalau kita seorang diri memang terasalah sikit. Tapi bila berkumpul 12 beradik, terisi sedikit kekosongan itu.

“Kami sekeluarga memang reda dengan pemergian mama dan bersyukur kerana perjalanan mama dipermudahkan Allah, ” katanya yang berasal dari Kedah.

Tahun ini merupakan kali pertama mereka menjalankan ibadah berpuasa tanpa ibu tercinta.

“Dia selalu berpesan kepada kami untuk sentiasa memaafkan orang. Saya yakin semua anak-anak mama akan cakap benda yang sama juga.

“Mama juga selalu cuba untuk menggembirakan orang lain dahulu sebelum dirinya. Kalau abah suruh masak asam pedas tapi tak cukup bahan, mama tetap akan cuba untuk siapkan, ” akhiri Faezah.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih .

Sumber: sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*