
Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika sesi menghadap Seri Paduka, pada jam 11 pagi tadi di Istana Negara.
Pada sesi menghadap hampir sejam itu, Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau menyembah maklum mengenai penerimaan jumlah surat akuan bersumpah (SD) yang disifatkan sebagai meyakinkan.
Zahid utus surat akuan tambahan pada Agong
Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini, bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah sebelum ini.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.
Menurutnya, Umno mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga Persidangan Parlimen pada September depan.
Beliau berkata, sebelum ini Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.
“Saya mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, selepas Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan mutakhir semalam bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen Umno bertambah.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khasnya berkata, beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Perkara berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada majlis menghadap di Istana Negara, pagi tadi.
Pejabat peguam terdedah C0vid-19, bicara Zahid ditangguh hingga 24 Ogos
Perbicaraan kes Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang dijadualkan esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguh sehingga 24 Ogos selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan Covid-19.
Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, ketika dihubungi Bernama memaklumkan penangguhan itu berikutan beberapa staf di pejabatnya disahkan positif Covid-19.
“Saya membuat permohonan itu kepada mahkamah pada 2 Ogos lepas kerana kesukaran untuk mengakses dokumen-dokumen perbicaraan yang kini berada di pejabat. Mahkamah telah benarkan penangguhan itu.
“Pejabat terpaksa ditutup sementara waktu berikutan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan staf di firma saya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan, mengesahkan penangguhan itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum ini menetapkan enam hari mulai esok untuk mendengar hujah kedua-dua pihak setelah pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac selepas memanggil 99 saksi.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Senator PAS ucap selamat jalan kepada ‘kluster mahkamah’
Ketika Perikatan Nasional (PN) diasak oleh pembangkang dan Umno, seorang pemimpin Pemuda PAS tampil membela gabungan itu.
Senator Khairil Nizam Khirudin berpendapat apa yang berlaku akhir-akhir ini adalah langkah mensabotaj rancangan dan gerak kerja kerajaan melawan Covid-19 serta memberi bantuan kepada rakyat.
“Mereka yang berada dalam ‘kluster mahkamah’ telah sanggup memperjudikan nasib rakyat ketika pandemik demi menyelamatkan diri mereka daripada tindakan undang-undang.
“Bagi yang memilih meninggalkan saf, selamat jalan. You’ve made your decision (Anda sudah membuat keputusan),” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Kluster mahkamah yang dipetik Khairil Nizam itu merujuk kepada beberapa ahli parlimen Umno yang konsisten mahu agar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Antara pemimpin Umno yang sedang dibicarakan ialah presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
Bagaimanapun untuk rekod tidak semua kumpulan terbabit mempunyai kes mahkamah. Antaranya ialah Ahli Parlimen Pengerang yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said, dan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Untuk rekod PAS sebelum ini memeterai piagam untuk bersama Umno melalui Muafakat Nasional. Bagaimanapun selepas PN ditubuhkan PAS menyertai gabungan berkenaan dan hubungan mereka dengan Umno mula renggang sejak itu.
Hari ini PAS menyatakan pendirian mereka untuk kekal menyokong PN dan Muhyiddin.
Kata Khairil Nizam dia kekal teguh untuk terus mendukung PN.
Dia yang juga ketua Pemuda PAS Pusat mengakui ada kelemahan yang berlaku namun tidak sekali-kali sanggup meninggalkan “sahabat” yang susah kerana ia bukan amalan yang baik.
“Kepada barisan hadapan dan rakyat, usahlah kalian bimbang dengan polemik yang dicipta kluster mahkamah ini,” katanya.
Kenapa Zahid takut jumpa semua MP UMNO? – Nazri
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu semua ahli Parlimen UMNO sebelum membuat sebarang keputusan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).
Nazri menegaskan, Zahid sepatutnya bertemu semua ahli Parlimen UMNO kerana keputusan menyertai PN adalah keputusan ahli Parlimen UMNO.
Namun katanya, sehingga saat ini Zahid enggan mengadakan pertemuan dengan semua ahli-ahli Parlimen UMNO.
“Masa nak tubuhkan kerajaan PN dulu, Zahid cakap ini keputusan ahli-ahli Parlimen UMNO, dia tak buat mesyuarat MT pun.
“Sekarang bila nak tarik sokongan bincang dalam MT tapi tak bincang dengan semua ahli Parlimen UMNO.
“Sampai sekarang dia tak jumpa ahli Parlimen UMNO. Sepatut semalam (Selasa) jumpa tapi selepas mesyuarat MT dia cancel,” katanya Astro AWANI.
Nazri juga menegaskan tindakan kumpulan ahli Parlimen yang menyokong keputusan menarik sokongan terhadap PN jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Nazri menegaskan kumpulan pro Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak melanggar keputusan PAU 2020 yang memutuskan kekal kerjsama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) hingga Parlimen dibubarkan dan “No Anwar, No DAP”.
“Kalau tarik sokongan, mereka nak UMNO jadi apa? Pembangkang? Keputusan PAU yang mahu kerjasama dengan Bersatu putus bila Parlimen bubar bermakna ahli-ahli UMNO mahu parti kekal jadi kerajaan. Ini jelas langgar keputusan PAU.
“Kalau tarik sokongan dan nak jadi kerajaan, nak bentuk kerajaan dengan siapa? Dengan PKR dan DAP? Ini pun langgar keputusan PAU yang kata “No Anwar dan No DAP”, kenapa nak langgar?” katanya.
UMNO sebulat suara tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN
Pada Selasa, Zahid mengumumkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap PN.
Zahid juga mengumumkan beberapa ahli parlimen UMNO telah menandatangani surat menarik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Leave a Reply