Pemergian Siti Sarah Dapat Perhatian Media Hollywood. Ini Yg Mereka Tulis Tentang Arwah

Pemergian penyanyi Siti Sarah Isnin lalu sememangnya meninggalkan kesan kepada orang ramai.

Bukan sahaja media tempatan membuat liputan tentang berita duka itu, malah ia turut mendapat perhatian hingga ke Hollywood.

Menerusi tinjauan Gempak malam tadi, platform Instagram media gergasi E! News turut mengekspresikan kesedihan atas kehilangan Allahyarhamah.

“Komuniti muzik telah kehilangan sebutir bintang. Penyanyi Siti Sarah meninggal dunia disebabkan COVID-19 beberapa hari selepas melahirkan anak keempat,” tulis di ruangan kapsyen.
Entri berkenaan mendapat perhatian ramai termasuk rakyat Malaysia yang berdukacita.

Selain E! News, pemergian Siti Sarah turut mendapat liputan media antarabangsa lain seperti BBC News, People dan Independent.

Pemergian arwah Siti Sarah disiarkan BBC News

Berita pemergian penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin akibat pandemik COVID-19 turut mendapat liputan portal berita antarabangsa, BBC News, semalam.

Laporan bertajuk ‘Malaysian singer dies of Covid days after giving birth’ (penyanyi Malaysia meninggal dunia akibat COVID-19 selepas melahirkan anak) ternyata meruntun hati pembaca.

Berita pemergian penyanyi lagu Kesetiaan dan Semakin itu akibat tewas dengan COVID-19 bukan sahaja menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia, malah ramai pelayar laman portal antarabangsa itu turut menitipkan ucapan takziah dan bersimpati menerusi Facebook (FB) rasmi portal itu.

Meninjau ruangan komen dalam FB, rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap penderitaan arwah Siti Sarah yang berjuang dan bertarung nyawa disebabkan COVID-19.

“Berita ini amat menyedihkan. Pengalaman melahirkan anak secara pembedahan empat bulan lalu membuatkan saya menangis kerana terlalu bimbang bayi tidak dapat diselamatkan. Saya sangat memahami apa yang dilalui pasangannya ini. Lebih memilukan apabila dia akhirnya tewas,” tulis seorang pelayar portal itu.


Laporan bertajuk ‘Malaysian singer dies of Covid days after giving birth’ nyata meruntun hati pembaca portal antarabangsa.
Komen lain yang ditinggalkan adalah doa dititipkan ke atas roh penyanyi berusia 36 tahun itu.

“Semoga Allah mengampunkan dosanya, diangkat darjatnya dan ditempatkan di syurga.

“Moga dilapangkan kuburnya, terang bercahaya dan menjadi taman syurga.

“Semoga Allah merahmati ahli keluarganya, mengurniakan kesabaran dan keimanan melalui saat cukup getir ini,” katanya.

Keperibadian mulia yang dimiliki arwah Siti Sarah seperti yang ditulis dalam artikel turut menyentuh hati seorang pembaca FB.

“Dia seorang insan yang baik, selalu membantu orang tanpa mengharapkan publisiti. Malah, dia juga seorang ibu dan isteri penyayang,” tulis seorang pembaca.

Sejak diterbitkan lapan jam lalu, artikel berkenaan mendapat belasan ribu tanda duka dan lebih 2,000 ribu tanda suka.

Laporan BBC News itu turut menyebut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian penyanyi kesayangan ramai itu.

Terdahulu, Siti Sarah bertarung nyawa akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi, Isnin.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus pada malam Jumaat, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi dan menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus pada Ahad.

Namun ketika bacaan yasin secara maya menerusi aplikasi Zoom malam Ahad, suami Allahyarham, Shuib memaklumkan paras oksigen Siti Sarah jatuh sehingga paras 30 peratus.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, juga disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*