Dakwaan letak jawatan. Ini perkara pertama yg Muhyiddin lakukan sebelum menghadap YDP Agong

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara di sini dipercayai menuju ke pejabatnya di Putrajaya, sebentar tadi.

Kenderaan Toyota Vellfire dinaiki beliau diiringi polis dan pengiring dilihat keluar dari kawasan kediaman pada jam 7.42 pagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu dikatakan akan ke pejabat beliau di Perdana Putra, Putrajaya dan difahamkan bagi mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ke Istana Negara tengah hari ini.

Muhyiddin yang memakai sut hitam menurunkan tingkap kenderaannya dan sempat melambai ke arah kumpulan pengamal media yang menunggu di luar kediaman beliau sejak jam 6.30 pagi.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya, hari ini.

Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang serta pegawai kanan kerajaan.

PM Tan Sri @MuhyiddinYassin melambai petugas media ketika tiba di Bangunan Perdana Putra pada 8.07 pagi ini, dijangka bagi menghadiri mesyuarat khas Kabinet

Muhyiddin dijangka pengerusikan mesyuarat Kabinet

Muhyiddin dijangka mempengerusikan mesyuarat kabinet pada pukul 10 pagi sebelum dijangka menghadap YDP Agong, Al Sultan Abdullah

 

Redzuan sahkan Muhyiddin persembah surat peletakan jawatan esok

Seorang pemimpin Bersatu hari ini mengesahkan Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof, memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Kata ahli parlimen Alor Gajah itu, perkara berkenaan dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan ahli parlimen Bersatu selama kira-kira dua jam sebentar tadi.

“Esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Muhyiddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” katanya.

Kata Mohd Redzuan, Muhyiddin sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan keadaan dan kedukan kerajaan namun ikhtiarnya itu tidak membuahkan hasil.

Menurut menteri tugas-tugas khas itu, peletakan jawatan adalah pilihan terakhir yang ada pada Muhyiddin selepas bilangan ahli parlimen yang menyokongnya menyusut dan tidak mencukupi ntuk meraih majoriti di Dewan Rakyat.

“Maka ini adalah tindakan yang betul dan terhormat untuk Muhyiddin mengikut perlembagaan, dan terserah kepada Agong sama ada mahu menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak,” katanya.

Kelihatan sangat tenang

Pun begitu, menurut Mohd Redzuan pihak yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin dan PN tidak boleh bergembira atau meraikan perkembangan berkenaan buat masa ini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, blok Bersatu masih memiliki sokongan terbesar berbanding mana-mana kumpulan lain termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim atau pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad.

Umno juga, katanya, tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen.

“Maka terserah kepada Agong untuk menggunakan kebijaksanaan baginda bagi membuat keputusan. Kami mengikut perlembagaan, tak boleh membantah.

“Kami katakan kami ada 100 ahli parlimen, terpulang kepada Agong untuk putuskan,” katanya.

Ditanya suasana semasa Muhyiddin mengumumkan rancangannya itu di depan ahli-ahli parlimen Bersatu, Mohd Redzuan berkata, ahli parlimen Pagoh terbabit tidak menunjukkan perasaan sedih.

“Tidak… dia sangat tenang, dia seorang yang berprinsip,” katanya.

Untuk rekod sekiranya peletakan jawatan itu diperkenankan Agong selepas ini, Muhyiddin akan mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat di Malaysia setakat ini.

Dia – yang sebelum ini menjadi timbalan presiden Umno sebelum dipecat parti terbabit – dilantik menjadi perdana menteri hasil Langkah Sheraton kira-kira 17 bulan lalu.

Sudah ucap selamat tinggal

Rekod perdana menteri paling singkat sebelum ini dicatatkan Mahathir yang memimpin kerajaan PH selama 22 bulan sebelum dia meletak jawatan pada 23 Feb tahun lalu.

Mohd Redzuan juga berkata PN berusaha mempercepat pilihan raya umum (PRU) untuk mendapatkan mandat baru dengan melakukan program vaksinasi dengan pantas.

“Kita boleh mengadakan PRU pada awal tahun depan, jadi mengapa orang-orang yang lapar dan gila (mahu berkuasa) ini tidak boleh bersabar dan memenangkan pemilihan nanti? “katanya.

Mengakui sukar untuk Muhyiddin mendapatkan sokongan daripada anggota parlimen pembangkang sekarang, Mohd Redzuan tetap menaruh harapan agar Agong melihat kepada pilihan membentuk kerajaan minoriti yang terus dipimpin PN.

Pada masa sama Mohd Redzuan mengakui dia sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pejabat dan kakitangannya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*