Selepas mendengar berita pelantikan adiknya sebagai PM, abang Ismail Sabri mula buka cerita

TEMERLOH – “Seperti tak ma­suk akal tiba-tiba dia jadi Perdana Menteri sebab kami daripada keturunan orang susah.”

Itu antara respons awal Abdul Manaf Yaakob, 81, mengenai pelantikan adik bongsunya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Abdul Manaf berkata, dia juga bagaikan tidak percaya sebaik mendengar berita pelantikan adiknya sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Perjalanan politik adik mendatar, tidak ada menurun sebab dia cermat, teliti, tegas dan sabar.

“Dia suka merendah diri dan tidak sombong, masa mula jadi wakil rakyat bila ditanya dia kata jadi YB pun mujur,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Semantan di sini semalam.

Abdul Manaf yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik berkata, ketokohan Ismail Sabri sebagai pemimpin mula menonjol ketika belajar di Universiti Malaya.

Katanya, walaupun sibuk dalam politik dan urusan negara ketika menjadi menteri, Ismail Sabri tidak pernah melupakan, malah sentiasa menyantuni adik-beradik dan saudara-mara.

“Dia tidak berubah, sikapnya sama seperti dahulu lagi sentiasa mengambil berat,” katanya.

ABDUL MANAF melihat siaran langsung angkat sumpah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Semantan, Temerloh semalam.

Berikut adalah 10 fakta mengenai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang anda perlu ketahui:

1) Dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1960.

2) Mendirikan rumah tangga pada 1986 bersama pasangannya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

3) Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.

4) Anak sulungnya, Datin Nina Sabrina berkahwin dengan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, manakala anak lelakinya, Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi merupakan penyanyi dan pelakon.

5) Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh, Pahang (1967), Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973) dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976). Beliau menyambung pengajian Tingkatan Enam di Jaya Akademik dan kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (1980).

6) Memulakan kerja sebagai peguam sebelum dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, pada 1995 dan berpengalaman menjadi jemaah menteri sejak 2008.

7) Menjadi Ahli Parlimen Bera dari 2004 sehingga kini.

8) Menerajui lima kementerian iaitu menjadi Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri Pertahanan.

9) Sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain menjadi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

10) Dalam parti politik, beliau bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Temerloh (1987), Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh (1988), Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Temerloh (1993) dan Timbalan Ketua Bahagian Temerloh (2001) serta Ketua Umno Bahagian Temerloh (2004). Kini, beliau merupakan Naib Presiden Umno.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*