Sumber dedah Azmin bakal jadi TPM, rupanya ada sorang lagi calon

Dikemas kini dengan laporan penuh.
Anggota parlimen Gombak Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri (TPM), kata sumber-sumber Bersatu dan Umno.

Sumber Bersatu yang rapat dengan Azmin memberitahu Malaysiakini, besar kemungkinan bekas menteri kanan itu akan dilantik ke jawatan nombor dua bagi membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, tiga sumber Umno – seorang anggota Majlis Tertinggi dan dua anggota parlimen – turut memberitahu perkara sama.

Dua daripada sumber itu, yang berbeza kem, memberitahu langkah itu diambil bagi mengekalkan sokongan majoriti terhadap kerajaan.

Sumber-sumber mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu.

Ismail yang mengangkat sumpah Sabtu lalu hanya memperoleh sokongan 114 daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Kem Azmin mempunyai kekuatan sekurang-kurangnya 10 anggota parlimen – jumlah yang cukup untuk menggoncang kedudukan Ismail.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak daripada kem Azmin dan sedang menunggu maklum balas.

Seorang anggota parlimen daripada kem Azmin menafikan terdapat ugutan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan.

Karut, kata Razali Idris

Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris menafikan keputusan memilih timbalan perdana menteri sudah dibuat.

“Tak putuskan (lagi). Mana ada yang keluar embargo semua, itu karut.

“Perdana menteri dah khabar dah kelmarin, insya-Allah minggu ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain Azmin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan anggota MPT Redzuan Mohd Yusof tuirut disebut-sebut sebagai calon TPM.

Gabungan Parti Sarawak juga melobi untuk diperkenalkan jawatan TPM II untuk diisi oleh wakil rakyat mereka.

Azmin, Hamzah Calon TPM

INDIVIDU yang akan menjadi timbalan perdana menteri seterusnya adalah orang yang Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya mempunyai lebih banyak sokongan dalam kalangan ahli Parlimen Bersatu, menurut sumber.

Sumber itu mengatakan bahawa pesaing utama untuk jawatan timbalan perdana menteri kini dikurangkan kepada hanya dua calon iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Azmin Ali.

“Bertentangan dengan konvensyen, kali ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menentukan siapa yang akan menjadi timbalan perdana menteri.

“Ya, ini adalah hak prerogatif perdana menteri tetapi telah dipersetujui dalam perjanjian dengan 51 anggota Parlimen Perikatan Nasional sekiranya mereka menyokong Ismail Sabri, jawatan TPM akan menjadi milik Bersatu.

“Bersatu mempunyai kuasa penuh siapa yang akan dipilih,” kata sumber itu.

Hamzah merupakan salah seorang calon untuk dijadikan sebagai TPM. (Gambar fail) foto:RONNIE CHIN/The Star

Hamzah merupakan salah seorang calon untuk dijadikan sebagai TPM.

Sumber itu turut berkata bahawa timbalan perdana menteri juga akan memegang beberapa portfolio dalam Kabinet, untuk memastikan dia dapat memainkan peranan yang lebih kuat.

“Pada masa ini, Hamzah dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu kerana diketahui membawa sekitar enam bekas ahli Parlimen Umno ke dalam parti.

“Azmin, yang merupakan timbalan presiden PKR sebelum bergabung dengan Bersatu, diketahui membawa 11 anggota Parlimen ketika Langkah Sheraton. Lagipun, blok 11 anggota Parlimen itu ramai dan masih bersama dengannya,” kata sumber itu.

Sumber itu seterusnya mengatakan Hamzah mungkin akan mendapat keyakinan Muhyiddin sebagai seseorang yang menyertai parti itu sebelum Azmin.

“Namun, Azmin kita tahu menjadi penyokong kuat Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri ketika Dr Mahathir tiba-tiba mengundurkan diri pada 24 Februari 2020,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu juga, Ismail Sabri kemungkinan besar akan mengumumkan barisan Kabinet pada Rabu.

“Dia sudah berada di Kedah melawat mangsa banjir pada hari pertamanya bekerja dan kami diberitahu untuk bersiap sedia bagi pengumuman beberapa anggota Kabinet baharu esok.

“Akan ada beberapa pengumuman dalam beberapa hari seterusnya, namun tidak semua dalam satu pengumuman besar,” kata sumber itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*