Ahmad Faizal bagitahu perasaan dia jika tak dilantik TPM

IPOH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak kecewa jika tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, sekali pun tidak dilantik ke jawatan itu, beliau tetap akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terutama dalam pembentukan barisan Kabinet.

“Saya percaya semua orang boleh nampak saya tak kecewa kalau tak dilantik (Timbalan Perdana Menteri). Saya sentiasa bersemangat untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

“Sekarang saya kembali kepada kapasiti saya sebagai ADUN Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun, dua tanggungjawab ini cukup besar. Saya tak kecewa.

“Saya gembira apabila kerajaan dapat ditubuhkan dan berharap ini boleh mengeluarkan rakyat daripada kesengsaraan akibat Covid-19.

“Saya tetap sokong pimpinan Perdana Menteri yang akan membentuk Kabinet, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini hari ini.

Ditanya jika beliau dilantik ke jawatan menteri, bekas Menteri Besar Perak itu berkata, jika ia berlaku, ia merupakan satu penghormatan buatnya.

“Sudah tentunya jika dilantik menteri, ia datang bersama tanggungjawab besar terutama dalam krisis ekonomi dan kesihatan yang tidak pernah berlaku disebabkan Covid-19.

“Kalau dilantik menteri, saya akan beri yang terbaik. Jauh lebih penting ialah sokongan kepada perdana menteri untuk menubuhkan pasukan yang akan menyokong dasar-dasar yang akan dilaksanakan kelak,” katanya.

Mengenai pelantikan ahli Parlimen Bersatu untuk menganggotai Kabinet, Ahmad Faizal berkata, majlis pimpinan tertinggi parti telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencadangkan nama-nama calon ahli parlimen dari parti itu untuk jawatan dalam kerajaan.

“Kami serahkan kepada Presiden untuk mencadangkan nama-nama ahli Parlimen Bersatu untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri.

“Nama-nama ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan diputuskan sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ahmad Faizal merupakan antara pimpinan Bersatu yang disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri selain daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Ismail Sabri dijadual menghadap Agong hari ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, di sini, pagi ini.

Difahamkan, kehadiran Perdana Menteri bertujuan mempersembahkan senarai nama Jemaah Menteri yang bakal dilantik.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dari Pangkalan Tentera Udara Subang, dijangka mendarat di pangkalan Tentera Udara Kuantan, di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka menyambut Ismail Sabri di pangkalan tentera udara sebelum menghadap Seri Paduka.

Petugas media dan polis mula berkumpul di pintu utama istana di sini seawal jam 9 pagi tadi.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, Jumaat lalu, tumpuan terarah kepada mereka yang bakal menyertai barisan Kabinet dalam pentadbiran Ismail Sabri.

Pemerhati politik berpendapat, Ismail Sabri dijangka tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan senarai nama barisan Kabinetnya disebabkan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Beliau memerlukan pasukan yang mantap kerana di bahu mereka tergalas tanggungjawab besar untuk membawa keluar negara daripada pandemik, menangani masalah ekonomi serta kesejahteraan rakyat yang terjejas.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*