KUALA LUMPUR: Sangkanya, hati sudah cukup kental melawan rindu yang bertandang selepas pemergian isteri tercinta, kira-kira sebulan lalu.
Namun, hakikat yang harus ditelan pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu adalah biar apapun yang dilakukan, sukar untuknya memadam kenangan yang pernah dicipta bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat COVID-19, pada 9 Ogos lalu.
Akui Shuib, hingga saat ini, satu demi satu momen manis yang pernah dilalui bersama, jelas terbayang di ruang mata, persis wayang gambar yang berputar.
“Selepas pemergian isteri, hari-hari saya dengar lagunya, tatap foto dan menonton video arwah. Itulah rutin yang saya lakukan demi mengubat rasa rindu.
“Namun, memasuki minggu ketiga, saya tahan diri untuk tidak meneruskan rutin itu. Bukan mahu melupakannya, tetapi saya tidak mahu terus menyeksa diri mengenang arwah dengan cara begitu,” luahnya kepada BH Online.
Kekuatan yang cuba ditanam dalam diri itu bagaimanapun tewas terutama ketika berdepan anak-anak yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehilangan ibu.
“Apabila ditanya ke mana pergi ibu, saya cuba menjawab soalan itu sebaik mungkin agar mereka faham. Namun, biasalah kanak-kanak, ada ketika apabila rasa rindu datang, mereka akan bertanya soalan yang sama berulang kali.
“Berdepan situasi itu sebenarnya mencabar emosi saya. Ada ketika, saya sendiri tidak tahu penjelasan bagaimana lagi yang harus diberikan terutama apabila setiap pertanyaan diajukan, berakhir dengan tangisan.
“Walaupun cuba untuk tunjuk yang saya cukup kuat, namun, melihat wajah sayu anak-anak, saya jadi sedih. Sudahnya, saya menangis bersama mereka,” katanya.
Hasil perkongsian hidup bersama Siti Sarah, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan secara pramatang.
Tambah Shuib, doa mereka tidak pernah putus dipanjangkan kepada arwah dengan harapan rohnya tenang bersama mereka yang beriman.
“Sejak hari pertama arwah pergi, menjadi rutin kami sekeluarga untuk solat Maghrib berjemaah dan membacakan Yassin untuknya.
“Alhamdulillah, amalan itu masih diteruskan hingga hari ini. Pemergian arwah juga menyuntik kesedaran dalam diri untuk saya kembali belajar mengaji,” katanya.
Baru-baru ini, Shuib mengumumkan mahu berehat seketika daripada dunia seni bagi memberi tumpuan kepada Ayash.
Shuib dilaporkan berkata, sejak Ayash pulang ke rumah selepas hampir 40 hari dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), rutin hariannya berubah.
Shuib mengaku memerlukan masa menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal manakala Ayash pula berkehendakkan penjagaan rapi setiap masa.
Dalam perkembangan lain, Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad, 37, memberitahu, dia sudah merakamkan sebuah lagu yang bakal memahat kenangan buat dirinya bersama isteri.
“Lagu berjudul Sampai Tua dihasilkan komposer Aidit Alfian. Lagu itu saya dengar kira-kira 11 tahun lalu iaitu ketika saya dan arwah sedang bercinta.
“Pada mulanya, lagu itu kami mahu dendangkan secara duet. Namun, setiap kali usaha merakamkan lagu itu dibuat, ada sahaja halangannya.
“Hasrat itu akhirnya terlaksana apabila lagu itu berjaya dirakamkan. Lagu itu sangat menyentuh perasaan terutama pada bahagian korus.
“Lagu ini mengisahkan janji sepasang suami isteri yang akan terus hidup bersama walaupun fizikal mereka berubah kerana dimamah usia.
“Saya ada membuat penambahan sedikit dari segi lirik lagu ini. Insya-Allah, lagu ini boleh didengar di platform digital dalam masa terdekat ini,” katanya yang menjadi calon awal kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
Mengulas sambutan terhadap lagu Allahyarham Siti Sarah yang menduduki carta Top 10 Lagu Strim Paling Tinggi yang dikendalikan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), baru-baru ini, bekas penyampai Hot FM itu meluahkan rasa terharu.
“Tiada apa yang boleh saya katakan selain mengucapkan terima kasih atas sambutan diberi. Tidak dinafikan lagu-lagu arwah memang sedap didengar dan mempunyai kualiti tersendiri.
“Saya sangat terharu dengan sokongan diberi. Harapan saya, selain mendengar lagu arwah, sudilah kiranya mereka dapat sedekahkan surah al-Fatihah buat arwah,” katanya.
Lagu Kesetiaan yang dilancarkan pada 2002, menjuarai senarai minggu ke-33 berakhir 19 Ogos lalu.
Selain Kesetiaan ciptaan Ajai, single lain dendangan Allahyarham Siti Sarah yang merekodkan jumlah strim tinggi adalah Saat Hilang Cintamu, Semakin dan lagu duet bersama Shuib, Semakin Benci Semakin Cinta.
Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU), HCTM, UKM akibat COVID-19 pada 9 Ogos lalu.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, pada hari sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan ketinggalan untuk mengikuti kisah-kisah menarik di bawah.
Shuib syukur bakal jumpa Ayash Affan. Sekali dia teringat satu pesanan Sarah buat ramai yang tumpang sebak.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa anak bongsu pelakon dan pelawak popular, Shuib iaitu Ayash Affan yang lahir pramatang pada 6 Ogos lalu sudah dikeluarkan dari inkubator di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia. Malah, Ayash juga menunjukkan perkembangan yang baik selepas keluar dari inkubator.
‘Allah SWT hadiahkan berita gembira’
Menerusi perkongsian di Instagram semalam (12 September 2021), Shuib meluahkan rasa syukur kerana hari ini dia bakal bertemu dengan anak bongsunya, Ayash Affan di hospital. Menurut Shuib yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-37 semalam, berita gembira yang diterimanya itu merupakan satu ‘hadiah’ yang sangat bermakna buat dirinya. “Alhamdulillah, di hari kelahiran, Allah SWT hadiahkan berita gembira. Esok (hari ini) dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan. Esok (hari ini) akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan.”
Lebih menyentuh hati apabila Shuib memaklumkan hari ini merupakan hari dan kali pertama dia bakal melihat dan menyentuh Ayash Affan yang kini sudah berusia 39 hari. Tak dapat dibayangkan betapa gembiranya hati Shuib dan keluarga apabila bakal menyambut kepulangan insan tercinta ke rumah.
Posting terbaru
Menerusi posting terbaru, Shuib mengenang kembali kata-kata dan pesanan yang pernah disampaikan Allahyarham Siti Sarah kepadanya. Allahyarham pernah meminta Shuib menjaga anak keempat mereka ini dengan baik. “Masih ingat lagi ibu selalu cakap benda yang sama berulang kali ‘Baby yang ke-4 ni you jaga dia tau, you jaga dia tau, you jaga ok.’ InsyaAllah sayang, I akan jaga dia macam mana I jaga you sampai lah dia jadi anak yang soleh. Anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia akhirat. Anak yang selalu dekat dengan Allah. Cuma I mohon you doakan I, perjalanan I masih jauh. Doakan I selalu kuat. I love you sayang.
Terdahulu, Shuib memutuskan untuk menjadikan sepupunya sendiri sebagai ibu susuan buat anak bongsunya, Ayash Affan yang lahir pada 6 Ogos lalu.
Sumber: Shuib Sepahtu
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Leave a Reply