KUALA LUMPUR: Penyanyi dan selebriti media sosial, Stacy, 31, mengaku sebelum bergelar mualaf dan berkahwin dengan suaminya, penyanyi dan komposer terkenal, Akim, dirinya umpama tidak beragama.
Menurut Stacy yang juga menggunapakai Ummu Shaikhah sebagai nama Islamnya, bahkan tidak menolak bahawa Akim adalah individu yang banyak membuka matanya mengenai keindahan Islam sekali gus berminat untuk mendalami agama.
“Dulu, sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari. Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam telah didoronginya.
“Cara dia bercerita tentang agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu rumit. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.
“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam juga menguatkan jodoh kami. Pandai adik (Akim) ambil hati kakak (dirinya),” katanya.
Stacy berkata demikian semasa mengimbas kembali detik penghijrahan dan pernikahannya ketika menjadi tetamu program bual bicara dalam talian, Bersama Tya semalam.
Selain itu, kongsi penyanyi lagu Pakai Buang ini lagi, antara detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah sokongan kedua ibu bapanya yang menghadirkan diri ketika dia memeluk Islam.
“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.
“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terbit rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.
“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi ini mengaku dirinya masih belajar untuk menjadi manusia terbaik selain menganggap dirinya jauh daripada sifat sempurna.
“Saya masih belum sempurna. Namun, dalam hati sentiasa berusaha untuk ke arah yang lebih baik,” kata ibu kepada dua cahaya mata bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, ini.
Bersama Tya bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam di ‘Instagram Live’ sejak 14 Jun lalu.
Program itu turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber : UTUSAN ONLINE
Leave a Reply