Jadi artis pertama menang pilihan raya, jumlah undi Dira dapat tarik perhatian

MENCIPTA sejarah tersendiri apabila Datuk Khadiri Abu Zahar atau Dira kini menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Dira, 37, menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,327 menewaskan dua lagi calon selepas memperoleh 4,037 undi.

Dua lagi calon iaitu Azalina Abdul Raman (PN) pula meraih undi sebanyak 2,710 undi manakala calon PH, Prasanth Kumar dengan 2,163 undian.

Terdahulu, Dira membuat kelainan apabila menjadi calon PRN Melaka terakhir yang mengundi.

Dia hadir ke Sekolah Kebangsaan Merlimau 1, kira-kira pukul 3.10 petang, Sabtu.
PRN Melaka menyaksikan persaingan sengit apabila 112 calon disahkan akan bertanding untuk merebut 28 kerusi DUN.

Ia diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober lalu seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Berikut info menarik mengenai Dira

Beliau dilahirkan sebagai Khaidiriah binti Abu Zahar pada 2 Mac 1984 di Merlimau, Melaka, anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar bin Haji Isnin. Dira memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dan mempunyai hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Kerjaya

Dira pernah menjadi pengacara di rancangan televisyen Fulus Mania, Jom Ronda bersama Proton dan Melodi. Antara drama yang pernah dilakonkannya termasuk Delima, Cinta Tanpa Suara, Rona Roni Makaroni, Merah Putih, Seratus Hari jadi, Tower 13, Aki Nabalu, Arjuna, Perempuan, Dua Kali Mencintai Mu, Crossings dan Aku Bukan Dia. Beliau pernah berlakon dalam filem My Indie Rock Darling.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*