“Banyak ‘petanda’ ditunjuk arwah” Anita Baharom kongsi apa yg berlaku sebelum suami temui ajal

Kuala Lumpur: Pelakon Anita Baharom pernah mengalami mimpi kehilangan seluruh giginya sebelum pemergian suami, Allahyarham Mohd Ismadi ke Rahmatullah pada 1 Januari lalu.

Anita berkata dia sama sekali tidak menyangka akan kehilangan suaminya, namun menganggap mungkin petanda mimpi berkenaan kepada ibu tersayang berikutan wanita itu berada dalam keadaan uzur.

“Sebenarnya banyak petanda suami akan tinggalkan kami, tetapi saya yang tidak perasan. Antaranya, suami tidak bersetuju untuk menjual rumah yang kami diami.

“Arwah berkata bukan mudah untuk membeli rumah baru tambahan pula harga rumah semakin mahal. Malah, dia juga selalu meminta saya menunggunya sehingga dia mati,” katanya.

Anita berkata dia berpeluang merakam video suaminya ketika menemani arwah yang menjadi pengurus pentas ketika konsert penyanyi Aina Abdul di Istana Budaya.

“Saya pun tidak tahu kenapa hati tiba-tiba tergerak untuk mengambil videonya. Tapi, memang tak sangka itu adalah video terakhir arwah yang sempat saya simpan,” katanya.

Menurut Anita, walaupun suaminya menghidap kencing manis sehingga kehilangan ibu jari kiri beberapa tahun lalu, tetapi arwah sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Biarpun mengakui kesunyian sejak pemergian suami, Anita bersyukur kerana dikelilingi sahabat yang baik-baik. Sejak suaminya pergi, hingga kini rumah mereka sentiasa dikunjungi tetamu.

Justeru, sedikit sebanyak dapat merawat hatinya yang kesunyian. Malah, beberapa sahabat juga sanggup menghantar Anita menguruskan urusan arwah yang belum selesai.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada teman-teman yang sanggup susah senang bersama. Ada yang menghulurkan bantuan dari sudut kewangan dan ada yang menghulurkan makanan untuk kami.

“Sementara dua sahabat rapat saya pula menawarkan diri untuk bantu menjaga anak-anak jika saya kembali sibuk menjalani penggambaran nanti.

“Saya perlu kembali bekerja kerana sekarang sayalah ayah dan ibu kepada anak-anak. Jika ada yang mengecam saya kerana melanggar tempoh edah, terpulanglah kerana jika tidak keluar bekerja, siapa pula akan memberi makan dan melangsaikan komitmen bulanan saya?” katanya.

Foto kenangan Anita (kiri) bersama Allahyarham suami, Mohd Ismadi dan anak-anak.

 

Sumber : Trending

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*