Selesai 2 jam beri keterangan, Zul Ariffin kongsi sesuatu di IG

PETALING JAYA – Pelakon sensasi Zul Ariffin mengesahkan sudah selesai memberi keterangan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin berkongsi perkara tersebut menerusi InstaStory sebentar tadi.

“Hari ini saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak MCMC berhubung siasatan berkaitan penerbitan drama bertajuk Perempuan Itu,” tulisnya ringkas.

Pagi tadi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan dalam Twitter berkata, Zul akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) susulan tindakan memuat naik klip video ‘panas’ dalam laman sosialnya baru-baru ini.

Annuar berkata, pelakon itu akan dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil.

Terdahulu, Zul Ariffin sebelum ini memuat naik klip drama bersiri Perempuan Itu dalam Instagram yang dianggap keterlaluan hingga dikecam netizen.

Tindakannya itu mendapat kecaman pelbagai pihak sebelum beliau membuat permohonan maaf semalam.

Zul Ariffin boleh menolak, tetapi dia memilih ‘sedap’ – Awie

MELAKA: “Benda boleh menolak, tetapi dia (Zul Ariffin) memilih ‘sedap’. Pada saya dia menconteng arang pada industri yang berkonsepkan Islam”.

Demikian respons pelakon dan penyanyi rock tanah air, Datuk Awie apabila ditanya mengenai isu sensasi pelakon filem Sangkar itu, yang memuat naik klip video babak sensual di laman sosial baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan Zul Ariffin itu disifatkan sebagai menconteng arang pada industri hiburan tanah air dengan memaparkan aksi-aksi ranjang yang sama sekali tidak sesuai dengan norma negara ini.

“Itu dia gatal sebenarnya, benda boleh ditolak tetapi dia memilih sedap, dia terimalah benda itu kan (kritikan dan tindakan undang-undang).

“Bagi saya, dia telah menconteng arang kepada industri yang berkonsepkan Islam, pada pandangan saya dari sudut Islamik tidak eloklah kerana kita nampak ia sebagai satu aksi ranjang,” katanya pada sidang akhbar Raikan Cinta Ramadan Wings di Hotel Lacrista, Banda Hilir di sini hari ini.

Terdahulu, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 itu memuat naik klip tersebut yang dikatakan merupakan teaser drama bersiri Perempuan Itu, lakonan bersama pelakon, Siti Hariesa.

Klip tersebut bagaimanapun menerima kecaman ramai apabila memaparkan aksi-aksi sensual Zul Ariffin menanggalkan baju dan mendukung pelakon wanita berkenaan.

Hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut membuat kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya mengenai tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang akan diambil terhadap pelakon itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa adegan lakonan seperti yang dikongsi pelakon berkenaan tidak akan dibenar ditayangkan sama ada bulan Ramadan atau bulan lain.

Mengulas lanjut, Awie berkata, babak lakonan dengan elemen sedemikian juga merupakan pilihan yang dibuat oleh pelakon dan pengarah itu sendiri.

“Antara mereka mahu memasukkan unsur-unsur Islamik atau tidak dalam lakonan, kalau tidak mereka nak go (jadi) profesional, hukumannya tiada, dia akan all out.

“Kalau dia masukkan sudut Islamik ini, maka ada hukum-hukum yang mereka perlu, kalau boleh pengarah-pengarah khususnya mainkan peranan seeloknya untuk adakan metafora yang sesuai,” tegas vokalis Wings itu.

 

Sumber : Utusan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*