Elica Dinobatkan Juara Big Stage 2022, Rupanya Mikrofon Yang Dia Guna Milik Penyanyi Terkenal

Kuala Lumpur: Penyanyi Elica Paujin yang dinobatkan juara program Big Stage 2022 tidak menjangka apabila penyanyi Hael Husaini sudi meminjamkan mikrofon peribadi miliknya pada peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Elica yang tampil berduet dengan Hael menerusi lagu Believer berkata, dia sudah lama mengenali penyanyi itu dan teruja apabila dapat membuat persembahan menggunakan mikrofon itu.

“Terharu sangat apabila dia sudi meminjamkan mikrofon miliknya kepada saya. Saya tahu harga mikrofon agak mahal dan takut nak pegang. Tapi Hael beri saya kepercayaan untuk menggunakannya pada peringkat akhir Big Stage.

“Tidak dinafikan, mikrofon itu membantu menjadikan suara saya lebih jelas. Saya sudah lama kenal Hael dan dia sering berkongsi nasihat supaya saya memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Menurut Elica, melihat kejayaan Hael sebagai penyanyi dan komposer terkenal, dia tidak menolak untuk bekerjasama dengan Hael pada masa mendatang.

“Sudah tentulah saya mahukan sebuah lagu ciptaan Hael.

“Semua sedia maklum dia komposer hebat dan sudah berjaya menang anugerah menerusi lagu ciptaannya sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan duit kemenangan RM100,000, Elica berkata, separuh daripada duit itu bakal diberikan kepada keluarganya.

“Saya sudah berjanji jika menang saya akan beri separuh wang kepada keluarga.

“Selain itu, saya juga sudah berniat untuk adakan satu mini persembahan istimewa buat peminat di Sabah kerana mereka tak dapat datang ke Kuala Lumpur menyaksikan persembahan saya secara langsung. Showcase ini boleh dikatakan sebagai hadiah kepada mereka,” katanya.

Elica Paujin.

Biodata Penyanyi Elica Paujin, Peserta Big Stage 2022

Siapa Elica Paujin? Penyanyi wanita Malaysia dengan nama penuh Angelica Paujin ini merupakan seorang bintang kelahiran program realiti TV, Mentor Milenia 2017.

Sebelum terjun ke bidang seni, beliau aktif terlibat dalam pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan daerah di negeri Sabah, juga menjayakan tawaran persembahan di majlis korporat dan kenduri kahwin.
Elica kini terpilih sebagai salah seorang peserta yang menempatkan diri dalam pertandingan realiti, Big Stage Musim 4.

Menerusi program yang memasuki edisi 2022 itu, beliau bersaing sama dengan 11 penyanyi generasi baharu atau ‘BBNU’ (Budak Baru Nak Up) yang lain iaitu Megat Rahim, Lia Aziz, Tuah Adzmi, Aisha Retno, Danial Chuer, Ajoi Zainal, Tegar Septian (Indonesia), Sofiaa Marieylla (Jerung Merah), Syafiq Abdilah (Brunei), Yazmin Aziz dan Iqbal Zulkefli.

Maklumat mengenai format penjurian, hadiah dan info penuh rancangan, baca artikel: Info Penuh Program Big Stage 2022 (Musim 4)

Biodata

Nama sebenar: Angelica Paujin

Nama pentas: Elica Paujin

Umur: 23 tahun (2022)

Tarikh lahir: 20 November 1999

Tempat lahir / Asal: Tambunan, Sabah, Malaysia

Keluarga: Anak sulung daripada empat orang adik beradik

Pendidikan: Sedang mengikuti pengajian jurusan muzik di Sabah Institute of Art

Kerjaya: Penyanyi

Instagram (IG): @elicapaujin_

Latar Belakang

1. Berketurunan Dusun.

2. Berjinak-jinak dalam seni nyanyian sejak umur empat tahun.

3. Aktif dalam dunia seni sejak tahun 2017.

4. Pernah menyertai pertandingan Idola Kecil musim 3 ketika usia kanak-kanak.

5. Pernah menjuarai realiti TV, Mentor Milenia 2017 dan Stariser: Mencari Bintang Nusantara edisi pertama 2020.

6. Di Mentor Milenia 2017, beliau selaku protege Akim Ahmad menewaskan tiga finalis lain yang antaranya adalah Usop (naib juara Big Stage 2020).

7. Merakamkan lagu-lagu popular seperti Bila Nanti, Kau Lah!, Hilang dan Percaya Aku, juga lagu berbahasa Dusun berjudul Araatan (Benci) dan Momuhobo (Bernafas).

Fakta Menarik

1. Cukup dikenali di negeri Sabah.

2. Pernah terlibat dengan Kem Muzik Kebangsaan bersama-sama dengan Ajoi Zainal.

3. Memasuki kelas vokal sejak zaman bangku sekolah sehingga tingkatan lima.

4. Ibu bapanya merupakan pendidik, malah beliau juga menanam cita-cita yang sama.
5. Peminat Kpop.

6. Meski menetap di Sabah, beliau masih belum berkesempatan mendaki Gunung Kinabalu!

7. Mempunyai 137,000 pengikut di laman IG.

8. Meminati genre pop dan balada serta menjadikan Jaclyn Victor, Celine Dion dan Beyonce sebagai idolanya. Manakala lagu kegemarannya adalah Pelangi Senja nyanyian Stacy dan Jagalah Dia (Jaclyn Victor).

9. Berkebolehan bermain violin.

10. Gemar mendendangkan lagu berbahasa Inggeris ketika membuat persembahan.

1. Dendangannya menerusi lagu Samar Bayangan pada malam final Mentor Milenia 2017 mendapat pujian daripada penyanyi asal, Nicky Astria.

 

Sumber : HM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*