Rezeki tegur kain ‘cantik’

Melaka: Hanya kerana menegur kain ‘cantik’ dijual di media sosial, Siti Adila Mohamad, 29 sangat bertuah apabila menerima tawaran menjadi usahawan sehingga membolehkan dia kini mampu berdikari bagi menampung kehidupan.

Lebih terharu, Siti Adila yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu menerima kain batik dan pelikat untuk diniagakan tanpa perlu mengeluarkan wang pendahuluan daripada usahawan kain dari Terengganu.

Anak bongsu dari empat beradik yang menetap di Umbai di sini, itu berkata, selepas semua habis dijual dia mengirim wang yang ditolak upah kepada usahawan dari Terengganu itu.
Menurutnya, dia hanya menjalankan perniagaan secara dalam di media sosial selain turut mendapat permintaan daripada orang ramai dari luar Melaka.

Katanya, sesekali dia akan ditemani ibu bapanya Mohamad Abdul, 68 dan Fatimah Said, 66, menjual di pasar pagi atau ketika program komuniti akibat kesukarannya untuk bergerak kerana mengalami kecacatan di kedua-dua belah kaki.

“Saya hanya mengesot sahaja dan akan menggunakan kerusi roda ketika di luar. Apapun, Alhamdulillah saya sentiasa cekal untuk bergerak dan aktif dalam perniagaan ini selagi termampu.

“Apapun saya amat bersyukur kerana pengusaha kain berkenaan memberi peluang kepada saya berniaga tanpa modal.

“Hanya dengan menegur kain yang dijualnya di Facebook `cantik’ membuka hati usahawan berkenaan untuk menghantar ratusan kain untuk dijual kepada saya walaupun dia tidak mengenali saya lebih dekat. Dia sungguh budiman,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Selepas hampir dua tahun menjalankan perniagaan berkenaan, dia gembira jualannya mendapat sambutan baik daripada orang ramai termasuk penduduk setempat.

Dengan hanya RM10 setiap helai yang dijual, kain jualannya cepat habis dan usahawan berkenaan akan menghantar stok baharu kepadanya untuk diniagakan.

Ibunya Fatimah berkata, dia dan suami sentiasa memberi perangsang kepada anaknya bongsunya itu untuk berdikari, lantaran itu mereka turut menemaninya menjual di beberapa lokasi tertentu, selebihnya dijual secara dalam talian.

Katanya, Siti Adila menjadi OKU sejak kecil namun dia tetap memberi pendidikan kepada termasuk di sekolah menengah selain menghantarnya mengikuti latihan kemahiran di Pusat Latihan Kemahiran di negara ini sebelum ini.

 

 

Sumber : hm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*