‘Syurga’ Muhammad Haider pergi selepas sambut hari lahir pertama

Kuching: Ulang tahun kelahiran pertama Muhammad Haider Yusuf Mohd Mumin tahun ini menjadi sambutan pertama dan terakhir buat bayi comel itu bersama ibunya kerana ‘syurganya’ itu meninggal dunia sehari selepas majlis hari lahirnya.

Kisah sedih Muhammad Haider Yusuf mendapat perhatian di TikTok apabila nenek saudara, Nazira Drahman, 27, memuat naik video itu di akaun sosialnya itu.

Perkongsian itu meruntun hati warganet yang bersimpati dengan kehilangan itu dan turut mendoakan arwah ibunya, Nur Athirah Jafar, 22, yang meninggal dunia, Isnin lalu.

Berkongsi cerita, suami arwah, Mohd Mumin Ardie, 24, berkata, pemergian arwah isteri kesayangannya sangat mengejutkan kerana ia berlaku sehari selepas selesai mengadakan majlis sambutan hari lahir anak mereka.

Menurutnya, anak tunggal mereka, Muhammad Haider Yusuf menyambut ulang tahun pertama pada 24 Disember, tetapi disebabkan rumah mereka dilanda banjir, majlis itu terpaksa dibuat keesokannya.

“Arwah isteri memang sangat teruja mahu membuat majlis hari lahir Yusuf (Muhammad Haider Yusuf), malah majlis itu dirancang dan persiapan barang juga dibeli sejak sebulan lalu

“Dia cakap walaupun banjir tak surut lagi dia tetap mahu buat majlis sebab ini anak pertamanya dan mahu simpan memori, malah turut cakap mahu buat majlis besar untuk bersedekah menjamu orang makan,” katanya sayu kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Mekanik itu berkata, isterinya yang sebelum ini berkerja sebagai pembantu kedai dikatakan rebah di tempat kerja kira-kira 3.15 petang pada 26 Disember lalu.

Katanya, dia yang tiba di tempat kerja isteri kemudiannya membawa arwah ke hospital sebelum doktor mengesahkan Nur Athirah sudah meninggal dunia.

“Punca kematian arwah tidak diketahui kerana seluruh ahli keluarga sudah sepakat tidak melakukan bedah siasat kerana kami reda dengan pemergiannya walaupun ia sangat berat untuk saya,” katanya memberitahu isteri pernah kurang sihat serta diserang panik sebelum ini.

Menurut Mohd Mumin, arwah isterinya kurang selera makan dan lebih suka menjamu orang makan beberapa hari sebelum meninggal dunia, malah Nur Athirah selalu berpesan supaya menjaga anak tunggal mereka dengan baik.

“Arwah juga menyuruh saya sendiri membawa anak ke klinik (untuk pemeriksaan bayi) atau pergi bersama mak pada 27 Disember dan saya ada tanya kenapa dia tak ikut sama tetapi isteri cakap dia ada kerja.

“Mungkin itu petanda yang dia akan meninggalkan kami,” katanya yang tinggal di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, di sini.

Katanya, dia kini mengumpulkan semangat meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang dengan sokongan keluarga dan rakan serta anaknya juga masih belum memahami kejadian itu cuma ada masanya menangis mencari ibunya.

“Nur Athirah adalah bidadari dan isteri terbaik saya. Dia ibu yang bertanggungjawab, penyayang dan menghormati orang tua tetapi saya reda dia pergi dulu dan akan menjaga anak kami dengan baik seperti pesanannya.

“Saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami dan saya berharap kalau ada yang melihat video atau hantaran mengenai isteri tolong sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakannya,” katanya.

Sementara itu, Nazira berkata, dia memuat naik video itu di akaun media sosialnya untuk dijadikan kenangan buat anak arwah, malah sehari sebelum arwah meninggal dunia, dia turut berkongsi video sambutan ulang tahun pertama cucu saudaranya itu di TikTok.

Dia bagi pihak keluarga arwah juga berterima kasih kepada rakan dan warganet yang mendoakan arwah, walaupun ada yang tidak mengenali anak saudaranya itu selain sokongan buat keluarga mereka.

“Buat masa sekarang semua ahli keluarga membantu menjaga anak arwah dan sering datang ke rumah keluarga arwah untuk melihat anaknya supaya dia tidak kesunyian dan dapat merasai kegembiraan walaupun anak arwah belum memahami erti kehilangan orang tersayang.

“Kami sentiasa memberi kasih sayang dan akan menjaga Yusuf seperti arwah menjaganya,” katanya yang juga ibu saudara sebelah suami arwah.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber : hm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*