Azmeer hadiahkan bapa gelaran PhD

KUALA LUMPUR: Lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik, komposer dan penulis lirik, Azmeer kini boleh berbangga apabila menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya pada majlis konvokesyen ke-34, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, Ahad lalu.

Tambah manis, kejayaan bergelar doktor falsafah itu dihadiahkan kepada bapa, Abu Bakar Mohd Ishak, 87, yang suatu ketika dahulu skeptikal dengan keputusannya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang demi mendalami ilmu muzik.

Dr Azmeer atau nama sebenar, Mohd Azhar Abu Bakar yang kini menjadi pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di UUM kampus Kuala Lumpur, berbangga kerja keras selama lebih dua tahun akhirnya membuahkan kejayaan.

“Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun setengah menyiapkan tesis, saya bersyukur dapat membuatkan bapa bangga dengan keputusan saya menghentikan pengajian dalam bidang undang-undang dan meneruskan pembelajaran muzik.

“Apabila saya memutuskan mahu belajar muzik, bapa agak risau mengenai masa hadapan saya. Ketika itu, saya minta arwah emak pujuk bapa. Emak beritahu bapa bahawa orang seperti Datuk Seri Ahmad Nawab dan Datuk M Nasir tidak ramai, jadi berilah keizinan.

“Alhamdulillah, akhirnya bapa bersetuju. Jadi apabila saya sudah berjaya dalam industri seni, saya mahu seimbangkan dari sudut akademik hingga berjaya menamatkan pengajian dalam bidang PhD, tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

Mula aktif dalam dunia muzik sejak era 1980-an, Azmeer banyak menghasilkan karya malar segar seperti Purnama Merindu dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Menadah Gerimis yang dipopularkan Ziana Zain.

Azmeer berkata, keputusan untuk berjaya dalam akademik bukan sekadar mahu membanggakan bapa, sebaliknya, beliau mahu mencurahkan ilmu kepada generasi muda.

Azmeer tidak mahu menjadi seperti Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggalkan dunia seni bersama ilmu yang dimilikinya.

“Bagi saya, ilmu yang saya ada selama lebih 35 tahun dalam bidang ini, iaitu sejak usia 21 tahun, mahu dicurahkan kepada generasi muda.

“Saya tak mahu apa yang terjadi kepada Allahyarham P Ramlee di mana ilmu yang dimilikinya terkubur bersama. Ilmu yang ada pada Allahyarham sangat banyak, tetapi sayangnya tidak dapat dikongsi kepada anak seni (melalui cara formal).

“Jadi, saya berharap usaha saya ini dihargai kerana boleh memberi manfaat kepada industri. Saya berterima kasih apabila inisiatif ini dihargai UUM yang memberi peluang kepada saya untuk menyambung pengajian,” katanya.

Azmeer turut berterima kasih kepada penggiat seni seperti Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, M Nasir, Hetty Koes Endang, Misha Omar dan Hafiz Suip yang memberi kerjasama untuk beliau menyiapkan tesis.

Biarpun masing-masing sibuk dengan jadual seni, namun, Azmeer tersentuh kerana mereka ikhlas dan tidak lokek meluangkan waktu serta berkongsi rahsia kejayaan.

“Figura ini adalah individu yang banyak memenangi anugerah. Jadi, saya cungkil rahsia kejayaan dan bagaimana mereka bertahan dalam industri. Bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai penghibur.

“Apakah rahsia kejayaan mereka disebabkan pengaruh keluarga, disiplin pemakanan, penjagaan kesihatan, penjiwaan lagu, kecerdasan dalam pelbagai bidang, cara nyanyian dan banyak lagi. Itu semua saya cungkil dan nyatakan dalam tesis saya.

“Insya-Allah, saya akan bukukan tesis saya untuk bacaan dan rujukan khalayak ramai termasuk penyanyi muda yang berminat untuk belajar dan menjadi seperti figura itu,” katanya menyiapkan tesisnya itu pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Azmeer percaya kejayaan merangkul gelaran PhD menjadi pembakar semangat bagi anak seni yang mahu berjaya dalam bidang akademik.

“Bagi saya, apabila buat sesuatu dalam industri seni, seimbangkan dengan akademik. Ini bererti pelajaran itu sangat penting. Ilmu sebenarnya dapat membantu kita menguruskan kerja seni ke arah yang lebih tersusun.

“Itu yang saya terapkan kepada anak seni. Jangan ambil muzik ini sebagai sesuatu yang boleh dipersembahkan. Sebaliknya, ia juga perlu diurus dengan baik,” katanya.

Selain Azmeer, pelakon serta pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri juga menjadi antara 6,611 graduan yang menerima ijazah pada majlis konvokesyen ke-34 UUM yang berlangsung lima hari sejak Ahad lalu.

Ahmad Idham menerima PhD dalam bidang Pengurusan selepas mengambil masa tujuh tahun untuk menghabiskan penyelidikannya dalam bidang berkenaan.

 

 

 

 

 

Sumber : bh

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*