Siapa yang tidak kenal dengan figura cantik dan berkulit putih ini. Walaupun gadis yang sering melemparkan senyuman ini baharu berusia 24 tahun namun perwatakannya lebih matang daripada usia sebenar. Penglibatan gadis yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini dalam usia yang begitu muda mungkin membuatkan dirinya kelihatan lebih dewasa.
Bersemuka dengan figura yang mempunyai nama komersil Janna Nick ini benar-benar telah menyentuh hati kecil penulis. Siapa sangka penyanyi lagu Mungkin Saja ini sanggup buat apa sahaja atau berhabis demi keluarga tercinta. Terpancar riak bahagia di wajah Janna Nick setiap kali berbicara tentang keluarganya.
“Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga. Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ianya merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.
Pada saya lagi banyak membantu, rezeki saya semakin murah dan lebih berkat. Secara tidak langsung menjadi ‘ketua keluarga’ kepada keluarga kecil saya ini mengajar untuk lebih tanggungjawab untuk masa depan. Mungkin kalau saya ada keluarga sendiri nanti saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” tutur anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.
Memulakan karier dalam bidang seni seawal usia 16 tahun, Janna Nick kini semakin bijak merencana masa depannya. Berbicara tentang perancangan kewangan pelakon drama adaptasi Korea, My Coffee Prince ini, “Saya mula merencana kewangan bila menyasarkan untuk beli rumah dulu.
Saya bersyukur berjaya capai impian untuk beli rumah pertama di usia 21 tahun. Sejak itu saya berazam untuk mengumpul aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka berbelanja tanpa sebab dan tidak memilih jenama,” ujar Janna Nick yang mahu beli sebuah lagi rumah pada tahun ini.
Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan.”Tahun ini saya lebih memilih watak kerana mahukan kualiti bukan kuantiti. Sebelum ini saya hanya mencari duit dan sekarang ini saya mementingkan kualiti.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk menambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam.
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.
Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.
Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau krit1kan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Sumber : Nona
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook satkobaviral.com
Leave a Reply