Saya lelaki berasal dari keluarga yang miskin. Ayah saya telah meninggal dunia ketika saya kecil dan ibu sahajalah yang tinggal untuk membesarkan kami 4 beradik.
Alhamdulillah, adik beradik mak saya banyak membantu semasa kami membesar. Bila saya masuk Universiti, pak cik saya pinjam kereta kawan untuk bawa kami sekeluarga hantar saya ke Universiti, dan seterusnya dengan adik adik saya.
Isteri saya pula berasal dari keluarga yang kaya dan sudah biasa hidup mewah sejak kecil lagi. Perbezaan latar belakang kewangan yang berbeza kadang kadang menjadi konflik pada rumah tangga kami. Dia kadang kadang mahukan sesuatu yang luar dari kemampuan saya dan itu buatkan kami bergaduh kadang kala.
Saya ni sebelum kahwin, pakaian dan baju semua jenis pasar malam dan tak trendy. Saya akan beli seluar jeans bawah RM50. Biasanya yang dari Thailand dan Indonesia. Kasut tak yah cakaplah, semuanya rip off atau pirate punya version. Kecuali kasut hitam dan kasut sukan yang beli dekat bata.
Waktu sekolah dulu, saya dapat masuk ke sekolah elit dengan bantuan biasiswa sebab keputusan peperiksaan yang bagus. Tetapi saya terasing dari kawan kawan sebab mereka trendy dan kaya. Jam tangan sahaja dah sama dengan biasiswa setahun.
Oleh sebab saya anak sulung, waktu cuti sekolah (bermula tingkatan 2) sampai cuti semester saya akan bekerja dan bagi mak saya duit gaji tu untuk persediaan buka sekolah kami adik beradik.
Sebab dari kecil saya tahu kesukaran untuk dapatkan wang, saya jenis suka berjimat cermat dan lebih utamakan barang murah. Saya akan fikir kewangan sampai 2-5 tahun akan datang. Saya ada buku log dan buku akaun pngeluaran dan kemasukan wang dan berapa saya boleh jimat pada tarikh tarikh sekian.
Saya berjimat bukanlah sebab kedekut atau nak kumpul kekayaan. Tetapi pasti akan ada hal tak terduga yang kami kena hadapi masa depan seperti atap bocor, adik tiba tiba nak kena pergi kem atau trip dan berbagai lagi wang tambahan yang tak akan dijangka pada awal tahun.
Pernah juga mak saya kehilangan kerja kerana syarikat mak gulung tikar. Nak je saya lari dari sekolah dan bekerja. Tetapi saya fikir yang mak akan kecewa sebab mak nak kami semua masuk Universiti.
Lagipun bagi saya, Pendidikan juga adalah salah satu cara untuk kami keluar dari kemiskinan ini. Waktu tu adik beradik mak saya banyak bantu. Saya sangat terhutang budi.
Jadi setelah bergraduasi, saya cepat cepat cari kerja dan akhirnya dapat bantu mak untuk habiskan adik adik saya dari university. Setelah mereka semua bekerja dan mak saya mula bersara, saya mula mencari pasangan hidup. Saya juga mula sambung master secara part time sebab saya sebenarnya berimpian untuk sambung pelajaran sampai PhD.
Sewaktu melanjutkan master yang cuma kelas hujung minggu saya berkenalan dengan seorang perempuan dari akademi pengajian Islam. Kami kenal dari kawan sekelas saya (juga pempuan) yang pernah berdemo bersama dia. Fuh. Saya masa zaman U dulu mana pernah fikir orang lain, fikir nak bantu keluarga sahaja.
Pertama kali saya nampak dia bersama kawan saya, saya terpegun dengan kecantikan dan perwatakan dia. Orangnya cantik, muka sedikit bujur, bertudung labuh, petah bercakap, pendek dari saya (saya pendek orangnya, dalam 160cm je), dan pendek kata, saya jatuh cinta pandang pertama.
Saya nyatakan hasrat untuk berkenalan dengan dia melalui kawan saya. Kawan saya ni pun godek habis pasal saya dan beritahu pasal perempuan yang saya suka tu. Kiranya bertaaruf (terma mereka berbual) melalui kawan dan akhirnya saya diberi satu no telefon. Rupanya no telefon ayah dia.
Di pendekkan cerita, saya terus telefon ayah dia dan ayah dia suruh datang rumah.
Sewaktu diberikan alamat, saya baru tahu yang dia rupanya anak orang yang boleh dikatakan hidup senang. Sampai sahaja rumah ayah dia, saya terpegun dengan rumah dua tingkat yang besar, ada laman yang besar, dan ada beberapa kereta yang mahal. Iaitu kereta peribadi perempuan tu walaupun dia masih lagi undergraduate. Saya cuma bawa kereta iswara secondhand ketika itu.
Tetapi keluarga mereka sangat baik dan rendah diri. Sedang berbual dan waktu Asar masuk, saya dipelawa ke masjid dan berjemaah bersama. Kekok saya naik kereta mewah yang hampir semua elektronik.
Apa soalan yang ditanyakan oleh mereka, saya jawab dengan jujur. Asal dari mana, asal keluarga miskin, mak single parent, duduk di setinggan, dan berbagai lagi. Sewaktu mak ayah bercerita tentang perempuan tu, dia cuma cerita peribadi yang kuat berdemo, kuat berjalan, tetapi rajin bantu mak ayah di rumah dan berbagai pujian lain.
Akhirnya kami berkahwin. Majlis pekahwinan dia sangat grand. Jemputan pun orang kenamaan dan saya terkejut antara jemputan yang datang adalah ahli politik. Bayangkan dalam meja VIP, keluarga saya yang cuma dari orang biasa, dan keluarga dia ramai yang berpakaian mewah dan mahal. Waktu tu saya dah nampak perbezaan ketara kami.
Saya dan mentua pun kekok sebenarnya. Hobi dia bermain golf dan memancing. Dia ada keahlian golf dan kalau saya ikut dia ke kelab golf, saya akan kekok berjumpa dengan kawan kawan mentua yang ada pangkat datuk lah, tan sri la, ceo syarikat inilah, ceo syarikat itu.
Hal perbezaan latar belakang kewangan ini menjadi isu bermula lepas saya tinggal sebumbung dengan isteri. Sebab kami tidak terlalu kenal dengan rapat sewaktu bertunang, alam perkahwinan kami banyak dengan sesi kenal lebih mendalam.
Saya bawa dia tinggal rumah sewa saya di kawasan flat yang padat. Waktu itu saya dah nampak yang dia tidak terlalu suka tinggal di kawasan itu. Maklumlah sebelum ini dia tak pernah fikir pasal parking sebab sentiasa ada parking khas untuk dia.
Tetapi kini dia kena berebut dengan orang lain untuk dapatkan parking, kalau tidak kena parking jauh. Lepas tu pagi pagi kalau bernasib malang, tak dapat keluarkan kereta sebab ada orang tak reti turunkan handbrake waktu double park.
Lepas tu hari hari naik tangga sebab lif selalu rosak. Saya pula hanya fikir semua benda tu tak apa asalkan dapat berjimat dan kumpul duit untuk beli rumah yang besar nanti.
Tetapi sebab sayangkan isteri, saya terpaksa berkorban dan percepatkan pembelian rumah. Isteri saya mintak pilih rumah teres. Sebab katanya kita nak tinggal sampai akhir hayat, biarlah beli rumah yang selesa untuk anak anak.
Tetapi waktu tu saya tak mampu nak bayar deposit rumah teres. Dulu duit gaji saya banyak habiskan untuk keluarga. 10 tahun dulu tak banyak projek perumahan yang offer deposit yang rendah.
Isu ni jadi gaduh pula bila saya tunjuk perkiraan yang rumah teres yang dia minta itu sangat mahal dan tak sustainable untuk masa hadapan. Kita kena fikir kos besarkan anak, kos pendidikan anak, maintenance rumah, dan berbagai lagi.
Sedangkan baru haritu saya tukar kereta kerana dia insist saya untuk jual iswara tu sebab dah mula selalu rosak. Saya katakan banyak rumah lain yang berbaloi kalau ambil rumah apartment. Dia bermasam muka dan berkecil hati.
Akhirnya saya terpaksa mengalah dan mula buat pengiraan kewangan semula sampai 10 tahun akan datang. Terpaksa saya target untuk lompat kerja dalam 3-5 tahun akan datang untuk mendapatkan gaji sekurangnya xxk untuk tinggal di rumah tersebut. Duit deposit yang jadi masalah sebelum ini, selesai apabila isteri saya memberitahu mentua saya.
Dan esoknya terus mak dia bank in 50% deposit rumah yang bakal kami beli. Saya serius rasa segan giila. Saya tak nak duit tu, tetapi mentua saya insist dan cuma kata, “Ambil je lah. Duit mak ni tak boleh bawak ke kubur”.
Saya sebenarnya rasa sangat segan sebab saya dah biasa untuk berusaha sendiri tanpa bantuan orang lain. Sementara tunggu rumah kami siap, kami pindah ke rumah sewa yang lebih selesa kerana dia tak biasa hidup susah sebegitu. Saya tak kisah dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan dia.
Keluarga mentua juga sangat baik dan tak pernah kisah datang melawat rumah setinggan yang mak saya duduk. Mak masih tinggal dengan adik bongsu, jadi dialah yang selalu tengok tengokkan mak. Saya dah banyak kali ajak mak tinggal serumah, tetapi dia tak mahu dan selesa tinggal disitu. Nanti tunggu mak dah tak larat sahaja baru duduk dengan kami.
Sebenarnya banyak lagi hal kewangan yang kadang kadang buat saya tak berkenan dengan tingkah laku dia. Ya, dia bekerja sebagai cikgu dan ada duit sendiri. Tetapi tiap tiap bulan dia akan beli beg baru, kasut baru, baju baru, tudung baru, dan sampai satu bilik lain, penuh dengan barang barang dia.
Sampai satu tahap, saya kira semua harga barangan dalam bilik tu sudah boleh beli 10 motor kapcai yang saya pakai ketika ini.
Pendek kata, dia tu jenis tak fikir panjang dan jauh. Nampak berkenan terus beli walaupun dah ada berlambak di rumah. Lepas tu hujung bulan mengadu duit dah tak ada. Nafkah saya bagi pun habis. Malah, isteri saya kalau keluar dengan mak mentua, pasti mak mentua akan belikan beg atau barang barang lain.
Kalau pergi bercuti, pasti mentua akan belikan barang mahal untuk isteri saya dan saya sekali. Saya terima sahaja. Tu belum cerita barang kemas milik isteri yang dihadiahkan oleh mak mentua dan nenek mentua yang dah meninggal dunia dulu.
Malah kadang kadang isteri saya ni kuat berbelanja sampai beli barang mewah untuk saya seperti jam tangan, kasut, tali pinggang kulit, baju, seluar, dan berbagai lagi. Sampaikan hp iPhone pun dia belikan untuk saya.
Saya tak gemar barang mahal ni sebab rasa membazir giila. Duit beli jam ni baik belanja dekat barang dapur. Ada la faedahnya. Jam murah ke jam mahal, sama je tunjuk waktu. Kalau tak tepati waktu buat apa beli jam mahal mahal.
Tetapi kalau saya tolak, dia akan merajuk sebab tak hargai pemberian dia. Terpaksa saya terima untuk bagi dia senyum. Malah, saya yang tak pernah bercuti ke tempat yang pakai banyak duit, saya mula ikut rentak dia dengan bercuti di luar negara seperti Jepun, Korea, UK, dan Switzerland.
Padahal dulu passport pun tak pernah ada. Sebab bagi saya melancong ni membazir duit. Sebab esok lusa tak ada duit. Kawan kawan pun mula cakap saya ni dah jadi orang kaya.
Adik beradik dia pun sama, jenis big spender. Beli motor besar, beli kereta besar, beli kasut mahal. Harga kasut je dah bernilai 1k lebih. Saya ni kasut harga RM80 je dah rasa mahal. Tetapi mereka hormat saya dan respect saya.
Isteri saya cakap, sebab saya ni terlalu baik bagi diorang dan pandai. Diorang tu takat degree je, saya pula dah tengah buat PhD. Tetapi saya tak kisah bab tu, sebab saya sambung PhD sebab nak puaskan diri.
Kadang tu, ada kasut sukan mahal yang harga ratusan ringgit, adik ipar saya boleh hilangkan sebab tertinggal lepas main futsal. Tetapi esok dah beli baru.
Waktu kami ada anak, mentua saya akan belikan banyak barang yang mahal seperti basikal, katil bayi yang besar, belikan banyak baju, high end car seat, dan siap upah orang untuk cat dan decorate bilik bayi. Saya biarkan sahaja sebab itu cucu dia, dia juga ada hak. Waktu tu baru saya sedar dari mana dia warisi berbelanja besar sebegitu.
Sekarang ni saya sudah ada 4 anak. Tahun lepas hari jadi anak saya yang ke tiga, ibu mentua saya bagi dia iPad. Lepas tu yang lagi 3 pun dapat lepas masing masing tuntut dekat nenek.
Gaji saya tak adalah rendah sebenarnya. Sekarang ni dah tiga kali ganda tinggi dari isteri saya yang bekerja sebagai guru. Cuma, saya membesar dengan berbelanja sejimat yang mungkin. Ya, saya boleh dikatakan cheapskate sampai dulu pernah je saya ambil sos cili paket dari restoran makanan segera untuk pakai di rumah sebelum kahwin dulu.
Dulu beli dua makanan sarapan sebab satunya untuk dimakan tengah hari. Makan malam cuma roti atau apa apa yang murah. Kadang lagi baik berpuasa sebab nak berjimat.
Pernah kawan saya nak buang kasut berjemana sebab tapak dah rosak sikit, tetapi saya minta dekat dia dan hantar repair kasut. Just jahit dan gam, dah cantik balik kasut tu. Tapi semuanya berubah selepas kahwin.
Tetapi sebenarnya ada banyak benda positif dengan kehadiran isteri saya ni. Saya dapati yang rumah kami makin ceria dengan barang yang saya rasa saya takkan beli. Kalau dulu saya minimalis. Cuma ada yang perlu sahaja, tetapi saya mula merasai keselesaan yang ada. Contohnya, saya akan merasakan yang dryer tak perlu, jemur je. Tetapi sebab kami berdua sibuk, dryer amat menjimatkan waktu.
Contoh yang lain, saya merasakan yang meja komputer tak perlu, sebab boleh je buat di mana mana. Tetapi sekarang ni saya ada bilik perpustakaan sendiri dengan meja yang besar untuk anak anak menelaah pelajaran dan ada meja komputer untuk saya buat kerja engineering drawing.
Saya juga push limit saya untuk bekerja dan naik pangkat kerana mahu gaji tinggi. Malah, saya juga faham kenapa barang mahal sebenarnya bagus. Sebab saya boleh pakai 4-6 tahun tanpa barang itu rosak. Saya juga gembira apabila dapat bawa ibu saya ke luar negara.
Pada masa yang sama, saya mula open untuk menerima duit daripada isteri saya. Kalau tak, 100% perbelanjaan rumah adalah saya seorang tanggung, tetapi kini 25% dia menyumbang. Malah, dia juga berubah dengan tidak lagi berbelanja benda yang mengarut. Dulu beg tangan je ada lebih 20. Sekarang ni dia juga dah pandai buat akaun dan mula menyimpan untuk masa depan.
Sebenarnya dia tak menyimpan pun tak payah, sebab harta yang dia bakal warisi pun cukup 7 keturunan sebenarnya. Antaranya adalah tanah lot di tengah kl. Saya tengok harga pasaran, gaji saya seumur hidup pun masih tak boleh beli. Di tanah tu kami dah mula membina rumah kedua kami.
Saya tak suka kalau hidup atas harta isteri atau harta warisan isteri. Sebab tu saya cuba sedaya upaya untuk berusaha cari duit. Mak saya dari kecil lagi ajar kami untuk jangan meminta minta walaupun kami miskin sewaktu kecil. Berusaha selagi mampu, barulah minta bantuan.
Saya cuma mahu bagi kehidupan yang selesa untuk isteri dan anak anak. Malah, kami juga bertoleransi apabila gaji saya habiskan untuk perbelanjaan bulanan kami, dan gaji isteri digunakan untuk menyimpan dan melabur di ASB, unit trust, tabung SSPN, tabung haji, dan berbagai lagi untuk masa depan.
Anak anak kami tak biasakan hidup bermewah sangat. Saya pun larang mereka meminta minta dekat mentua. Meminta atau mentua bagi tak apa. Kalau tak dulu pernah boleh pula anak saya tiba tiba sms mentua minta belikan kasut ratusan ringgit.
Bukannya saya tak belikan kasut, mahal lagi kasut dia tu supaya boleh tahan lama. Bukan satu, setiap purpose yang berbeza ada kasut yang berbeza. Tetapi dia minta beli sebab trend. Mentua saya pula, tahu tahu dah bank in duit dan siap bagi lebih lagi. Lepas saya marah, dia tak berani nak meminta minta dah.
Rumah kami juga tak ada orang gaji, isteri saya membesar dengan dua orang gaji. Saya ajar anak anak untuk buat kerja rumah sendiri walaupun anak saya lelaki. Saya ajar mereka untuk iron baju sendiri dan kemas bilik sendiri. Kalau bilik kotor atau almari berserabut, saya akan marah dan suruh mereka kemaskan sekarang jugak.
Saya tunjuk contoh dengan saya sendiri buat. Mereka akan nampak saya selalu lipat baju, memasak, kemas rumah, dan berbagai lagi. Benda tu tak jadi masalah, sebab saya dah biasa buat sendiri dari kecil sebab mak saya single parent. Sayalah yang akan buat semua tu sebab adik adik masih kecil. Saya dah mula memasak sendiri sejak darjah 2 lagi. Bila adik adik dah besar sikit, saya akan ajar mereka berdikari, sebab mak sibuk kerja dari pagi sampai petang.
Isteri saya juga sokong dan suka cara saya didik anak anak. Sebab dia kata tak nak jadi macam adik ipar dia yang gosok baju sendiri pun malas. Bukan tak reti, tapi malas. Semua benda nak mengharapkan orang, bukannya semua benda orang boleh harap dia.
Maaf kalau saya tak pandai bercerita dengan baik. Tetapi itu sahajalah saya nak cerita yang kami asal dari dua keluarga yang berbeza, ditakdirkan untuk sebumbung dan kami berubah. Saya mula berubah untuk tidak lagi cheapskate dan isteri saya berubah untuk tidak big spender.
Sumber – via obulan
Leave a Reply