Dulu No. 1 Dunia, Sekarang Apa Yg Terjadi Pada Faiz Subri Buat Ramai Tak Percaya

 

” Dan pemenangnya bagi anugerah Puskas bagi tahun 2016 adalah, Muhd Faiz Subri”

Itu kata-kata pemain terkemuka dunia dari Brazil, Ronaldo ketika mengumumkan nama Faiz Subri yang sebelum ini jaringannya trending di seluruh dunia lantas melayakkannya memenangi anugerah tersebut.

Faiz yang ketika itu mewakili Pulau Pinang, mengambil sepakan percuma itu dan bola terus melencong dari kiri ke kanan sebelum menerjah jaring, membuatkan penjaga gawang Pahang terpinga-pinga.

Namanya kemudian dijulang menjadi kebanggaan Malaysia dan benua Asia selepas menjadi pemain Asia pertama menerima Anugerah Puskas, suatu pengiktirafan peringkat dunia untuk jaringan terbaik dan menarik.

Sebaris jaringan CR7, Messi dan Neymar

Sejak diperkenalkan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Datuk Sepp Blatter pada 2009, deretan pemain yang menerima anugerah berprestij ini ialah pemain terkemuka dunia bermula dengan Cristiano Ronaldo, Hamit Altintop (2010).

Selain itu Neymar (Brazil 2011), Miroslav Stoch (Slovakia 2012), Zlatan Ibrahimović (2013), James Rodríguez (2014), Wendell Lira (2015), Olivier Giroud (2017), Mohamed Salah (2018) dan Lionel Messi (2019).

Tetapi, nama pemenang untuk edisi 2016 bagaikan datang dari negara dan benua yang amat asing daripada langit bola sepak dunia.

Siapapun tidak menduga jaringannya pada 16 Februari 2016 di Stadium Bandaraya, Georgetown memukau seluruh dunia selepas sepakan percuma yang sangat menakjubkan viral di sosial media dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pantas mencalonkannya kepada Fifa untuk dinilai dalam Anugerah Puskas.

” Saya bagaikan bermimpi apabila melihat nama saya berada dalam senarai tiga calon akhir untuk ke majlis Anugerah Puskas yang diadakan pada Januari 2017,” kata Faiz ketika kami bertemu di sebuah chalet jauh di pedalaman Nami, Kedah, baru-baru ini.

Sebelum tiba, saya meminta Faiz membawa bersama trofi Puskas yang diterimanya kerana ketika berada di Arena Puskas, Budapest pada awal tahun ini ketika Kongres AIPS, saya hanya berpeluang memegang replika trofi itu.

Dalam pertemuan bersama Faiz itu, kami bergambar bersama trofi asli yang dimenanginya. Trofi cantik dan kemas dan sedikit berat.

Saya katakan kepadanya: “Ketika berada di Arena Puskas, saya sangat bangga apabila melihat nama Malaysia juga tercatat dalam senarai pemenang Puskas. Malah, rakan wartawan Hungary juga terus menyebut nama Faiz Subri apabila mengetahui saya dari Malaysia. Nama Faiz sangat besar di Hungary.”

Faiz hanya tertunduk tidak terkata apa-apa. Sambil memasukkan semula trofi itu dalam beg khas yang direka khusus untuk menyimpan trofi berkenaan, saya dapat melihat raut wajahnya seakan mahu menangis.

” Ini kenangan seumur hidup saya abang,” kata Faiz.

Memang benar ia akan terus menjadi catatan bersejarah bola sepak Malaysia. Untuk menyatakan bahawa mungkin tiada lagi pemain dari Malaysia akan memenangi Anugerah Puskas adalah suatu keterlaluan kerana hanya Tuhan dapat menentukannya.

Tetapi, secara logiknya, ia adalah suatu mimpi sebagaimana kita mengharapkan Korea Selatan kembali mengulangi kebanggaan Asia untuk layak sekali lagi ke separuh akhir Piala Dunia.

Faiz Subri kini menganggur

Jadi, apa yang kamu lakukan sekarang? Tanya saya kepada Faiz.

” Saya menganggur. Tidak ada kerja. Saya pun baru pulih daripada kecede3raan dan setakat ini tiada pasukan yang mahu mendapatkan khidmat saya lagi,” katanya yang bermain di posisi pemain tengah menyerang.

Faiz mengakui menjalani kehidupan tanpa pekerjaan tetap amat memeritkan, apatah lagi industri bola sepak tempatan turut terkesan oleh pandemik Covid-19. Dia memerlukan pekerjaan tetap untuk menyara isteri dan tiga anaknya yang berusia lapan, empat dan yang bongsu berusia dua tahun.

Keperitan yang melanda pemain bola sepak di Malaysia bukan suatu rahsia lagi sehinggakan ada bekas pemain kebangsaan terpaksa menjual pingat dan trofi kejuaraan yang diterima kerana masalah ekonomi.

Saya bertanya: “Ada terlintas di hati untuk menjual trofi Anugerah Puskas ini?”

Faiz pantas menyanggah:

” Saya tidak akan sama sekali menjual trofi ini biarpun saya tiada satu sen pun dalam poket. Anugerah Puskas tidak ternilai dengan wang ringgit. Ia adalah maruah dan amanah yang perlu saya jaga.

” Saya tidak akan merosakkan nama Puskas semata-mata untuk dapatkan wang. Ferenc Puskás bukan saja pemain berbakat besar yang memenangi banyak anugerah, tetapi beliau juga seorang lelaki yang luar biasa.”

Faiz yang kini pulih daripada kecederaan bersedia untuk bermain semula. Tetapi, dengan usia menjangkau 33 tahun, dia sedar peluangnya agak terbatas.

Jauh di sudut hatinya, dia menyimpan impian besar mencurahkan pengalamannya sebagai pembantu jurulatih bersama pasukan kelab di Malaysia atau luar negara.

” Saya sangat bercita-cita untuk menaburkan khidmat di negara kelahiran Puskas iaitu di Hungary atau di mana-mana pasukan di benua Eropah.

” Jika ada kelab di Hungary yang bersedia memberi peluang, saya bersedia berhijrah ke sana,” katanya yang mahu menggunakan kepakarannya dalam sepakan percuma sebagai ilmu untuk dikongsi dengan pemain muda.

Sepakan percuma Faiz yang menobatkannya sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 memang diakui sesuatu yang menakjubkan.

Ia diakui sendiri pakar sepakan percuma dunia, Roberto Carlos yang secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Faiz ketika majlis penganugerahan di Zurich itu.

Apakah dunia bola sepak sanggup melihat pemenang Anugerah Puskas kini menjadi penganggur?

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook  satkobaviral.com

Sumber:hmetro

Kredit:penulis Datuk Jasni Shafie

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*