Kisah Seorang Pengutip Sampah Akhirnya Bergelar Jutawan Muda

Kisah Seorang Pengutip Sampah Akhirnya Bergelar Jutawan Muda

Nama diberi ialah Mohamad Azlan Abdullah @Ali dan baru berusia 31 tahun. Biarpun masih muda, dia menyimpan banyak pengalaman berharga, terutamanya apabila bergelar seorang jutawan pada usia yang masih muda.

Kisahnya juga penuh dengan babak-babak yang mengharukan dan boleh mengesankan jiwa. Ia juga mungkin dapat membantu kita untuk lebih percaya bahawa Pemilik sebenar rezeki adalah Allah SWT semata-mata.

Segalanya bermula pada Ramadhan 2010. Pada waktu itu, dia bermula dari kosong.

Dia berasal daripada keluarga susah. Keluarganya pernah dibanci sebagai keluarga paling miskin di Besut. Pada masa itu, dia menjadi seorang pengutip sampah. Ibunya pernah menangis melihat ulat di kocek bajunya.

Dia memohon pada ibunya agar jangan sedih dan selalu doakan kejayaannya. Dia yakin, sebelum diberi nikmat, pastilah dia akan diuji oleh Allah SWT terlebih dahulu.

Semenjak bergelar pelajar lagi dia sudah berusaha mencari nafkah. Dia pernah mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar berhampiran Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Bachok sewaktu belajar di sana. Dia mengusahakan kebun seluas itu bersendirian.

Apabila kebun jagung itu membuahkan hasil, dia nekad untuk berhenti belajar untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada bisnes kebun jagung. Namun takdir Allah SWT mengubah segala-galanya. Ribut kuat melanda Bachok lalu memusnahkan segala impiannya.

Segalanya musnah sekelip mata. Pada waktu itu, jagung-jagung sudah mula menguning. Dia terduduk. Bukan sekadar harapannya meraih untung hancur berkecai, satu-satunya motosikal buruk yang dimiliknya terpaksa dijual untuk melunaskan hutang menyewa tanah. Selepas itu, dia hanya berjalan kaki.

Dia berada di antara dua pilihan yang berat samada mahu meneruskan kuliah di KIST ataupun sebaliknya. Lalu dia pun memilih keputusan untuk mengorbankan pengajiannya di KIST. Hasilnya, dia dicemuh oleh hampir semua orang yang mengenalinya. Pada masa itu, dia merasakan sedang berada di titik paling bawah dalam roda kehidupan. Dia kehilangan kebun, dia kehilangan kuliah dan tiada kerja. Wang untuk meneruskan kehidupan pun tidak ada.

Pada masa itu, dia merasakan hanya ada Allah SWT di sisinya.Itulah satu-satunya punca harapannya. Dia memujuk hati untuk mempercayai bahawa takdir Allah SWT adalah yang terbaik.

Hari Bersejarah

Mohamad Azlan mendapat ilham untuk menjadi orang tengah/ ejen untuk menguruskan jual-beli tanah bagi sesiapa yang memerlukan. Dengan cara itu, dapatlah dia mendapatkan sedikit komisyen daripada setiap urusan jual-beli yang berjaya dilaksanakan. Dia pun nekad memohon pinjaman RM 50 daripada seseorang. Wang itu digunakan untuk membuat salinan 300 keping risalah untuk pengiklanan. Padahal ketika itu dia tidak tahu apa-apa tentang urusan jual-beli tanah.

Benarlah, rezeki itu daripada Allah SWT. Dalam masa tiga jam sahaja, dia berhasil mendapat RM 2,000. Seterusnya meningkat menjadi berpuluh dan beratus ribu ringgit. Dan dalam tempoh beberapa bulan sahaja, seorang yang asalnya ‘zero’ tiba-tiba menjadi ‘hero’.

Dia juga hampir-hampir lemas dan leka dalam limpahan rezeki yang tidak terhingga dan tak disangka-sangka itu. Dia bersyukur kepada Allah SWT yang segera memimpinnya agar kembali ke pangkal jalan untuk segera sedar bahawa rezeki itu sesungguhnya kurniaan Allah SWT dan bukan disebabkan oleh usaha dan kepintarannya.

Video semasa di temubual MHI Tv3 :

Amalan Menjemput Rezeki

Dia juga mengakui terdapat beberapa amalan yang membantunya untuk mendapatkan rezeki yang luas. Antaranya, dia mengakui bahawa dia tidak akan memulakan sesuatu kerja selagi belum bersedekah. Alhamdulillah, rezeki datang mencurah-curah sehingga dia dapat meraih Sejuta Ringgit yang pertama dalam tempoh 2 Ramadhan.

Kisahnya, dia mendapat penggilan telefon daripada seseorang yang mahu menjual tanah seluas 5 ekar di Kg. Raja, Besut dengan harga serendah RM 428,000. Mohamad Azlan memecahkan tanah itu menjadi beberapa lot dan menjualnya semula. Urus niaga itu bernilai RM 1.5 juta. Dalam masa setahun itulah, seorang budak miskin berjaya menjadi jutawan.

Apabila dia merenung semula skrip kehidupannya, hatinya segera menjadi insaf. Rezeki besar yang dikurniakan Allah SWT ke atasnya bukan sekadar untuk memenuhi keperluan hidupnya, tetapi untuk dikongsi dengan orang yang memerlukan. Dengan izin Allah, dia berusaha menjaga kebajikan 70 anak yatim dan miskin yang berada di Besut, Pakistan. Kemboja dan Indonesia.

Dia juga berkongsi tips supaya tidak bimbang dalam soal rezeki:

Sebagai hamba, kita berusaha melakukan kerja-kerja yang kita mampu, Selebihnya biarlah Allah lakukan kerja-Nya.

Kisah ini sekadar satu titik kecil daripada rahmat Allah SWT yang melimpah ruah ke atas semua makhluk Nya.

Benarlah, menjemput rezeki itu lebih mudah berbanding mencari rezeki. Bagaimanakah caranya untuk menjemput rezeki? Iaitu dengan mengutamakan Allah SWT dalam setiap masa dan keadaan.

Oleh:

Fathuri Salehuddin, (Penulis Buku ‘Mudahnya Menjemput Rezeki’)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*