Neelofa Mohon Maaf Seikhlas Hati

Neelofa berkata, selepas timbul pelbagai spekulasi susulan dua isu terbabit yang tular, dia enggan mengeruhkan lagi keadaan yang berlaku, sebaliknya menerima dengan hati terbuka terhadap keputusan dan tindakan yang bakal dikenakan pihak berkuasa.

Akhirnya selebriti popular Neelofa, 32, tampil memohon maaf berhubung dua isu mengenai dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis perkahwinan dan kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama suami PU Riz, baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan suami serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak sudah hadir ke Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk memberi keterangan dan membantu siasatan polis.

“Saya sekali lagi nak mohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti mengenai hal ini terhadap semua pihak. Saya akui ada banyak perkara saya terlepas pandang. Sepatutnya saya beri contoh yang lebih baik mengenai hal itu.

“Saya dan suami pergi awal minggu ini, manakala keluarga suami hadir beberapa hari lalu dan ahli keluarga saya selesai memberi keterangan hari ini. Alhamdulillah kami semua sudah selesai memberi keterangan.

“Kalau kita lihat ada banyak versi cerita di luar sana berkaitan dua isu ini. Jadi, saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun di luar pengetahuan saya berhubung dua isu ini.

“Saya dan suami mengakui dan menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kiriman video kepada Harian Metro.

Menurut Neelofa, dia mengakui kurang sensitif berhubung isu-isu yang berlaku terhadap dirinya.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan. Semoga bulan mulia ini menjadi Ramadan yang terbaik buat kita semua. Sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan mendapat ketenangan serta keberkatan, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan terbabit akan dikompaun jika siasatan polis mendapati kunjungan mereka ke Langkawi melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa melangsungkan pernikahan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Isu perlanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penafian – Bahan yang kami kongsikan dihalaman ini sekadar ringkasan yang berkaitan dengan “Neelofa Akui Tidak Tunjuk Contoh Yang Baik, Mohon Maaf Seikhlas Hati” ini sahaja. kerjakosong tidak ada kaitan dengan sebarang agensi atau individu.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*