Sokongan Bersatu terhadap Ismail Sabri terletak di tangan Muhyiddin, tapi ini keputusan Istana

SHAH ALAM – Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan kenyataannya menyeru akar umbi parti itu untuk menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu adalah satu pendirian parti Bersatu.

Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menegaskan keputusan sebenar pendirian parti itu dalam menentukan calon Perdana Menteri baharu adalah terletak di tangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau lagi, beliau membuat seruan itu susulan terdapat segelintir penyokong Bersatu yang menyuarakan rasa tidak berpuas hati sekiranya berita parti itu bakal mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu adalah sahih.

“Sejak tiga hari lalu, Muhyiddin sendiri mengarahkan pucuk kepimpinan dan ahli-ahli Parlimen parti supaya menutup mulut dan memberi ruang kepada beliau sendiri untuk mengumumkan pendirian sebenar Bersatu kelak.

“Justeru, seruan saya agar semua pihak menyokong pencalonan Ismail Sabri adalah sekadar pandangan peribadi, hanya sekiranya parti memutuskan memilih bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri baharu.

“Seruan itu juga dibuat bagi membolehkan akar umbi lebih memahami bahawa tidak semua pemimpin UMNO bersekongkol dengan kluster mahkamah dengan Ismail Sabri dilihat ‘memiliki hubungan istimewa’ dengan Muhyiddin,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bakal memberikan sokongan kepada Ismail Sabri untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Muhyiddin.

Pada Selasa, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan 42 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah sebulat suara memilih Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon Perdana Menteri baharu, mengenepikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan kesemua 31 ahli Parlimen Bersatu telah diarahkan oleh Muhyiddin untuk menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Perkara itu didedahkan ahli MPT parti itu, Datuk Eddin Syazlee Shith yang menegaskan kepimpinan Bersatu sebelum ini berpendirian bahawa Presiden Bersatu akan memutuskan pilihan Perdana Menteri bagi pihak ahli-ahli Parlimen parti itu.

“Kami semua setuju bahawa kita akan menyokong Ismail Sabri. Itulah arahan yang diberikan oleh presiden kepada kami,” kata Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Mengenai siapa yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, Eddin berkata dia difahamkan bahawa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemungkinan calon berkenaan.

“Ini berdasarkan hierarki. Hamzah adalah setiausaha agung kami,” katanya.

Bagaimanapun, sumber MPT Bersatu yang dihubungi Sinar Premium mengenepikan cadangan Eddin Syazlee yang disifatkan beliau sebagai ‘belum lagi pasti’.

Mengakui Bersatu akan memberikan sokongan kepada Ismail Sabri, sebarang perbincangan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dikemukakan dalam mesyuarat MPT.

“Saya pun cuba mendengar khabar angin yang mengatakan pucuk kepimpinan Bersatu mencalonkan tiga nama bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya diwujudkan kerajan baharu melibatkan Bersatu kelak.

“Nama-nama itu adalah Peja (Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu); Hamzah selaku setiausaha agung dan terakhir Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengarah Pilihan Raya PN.

“Namun, sama ada siapa dilantik atau jawatan itu benar-benar akan diberikan Bersatu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MPT,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof turut mengunci mulut dan menyerahkan keputusan pemilihan calon Perdana Menteri baharu kepada Muhyiddin

Bagi Ketua Angkatan Bersatu Muda (Armada) Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal pula, sebarang keputusan parti untuk memilih calon Perdana Menteri baharu terletak di tangan Muhyiddin.

“Saya jangka pengumuman mengenainya akan dibuat Presiden (Bersatu), berkemungkinan petang ini,” katanya.

Pecutan terakhir kini hanya tertumpu Anwar, Ismail Sabri

KEPUTUSAN siapa calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk dipilih secara sebulat suara sebagai calon Perdana Menteri kesembilan pada malam Selasa akhirnya membuka laluan pecutan terakhir hanya kepada dua orang tokoh sahaja iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan untuk memilih Naib Presiden UMNO itu mengatasi dua tokoh lagi iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah satu keputusan yang besar dan signifikan.

Ini kerana dengan membuat keputusan itu, UMNO telah memastikan peluang calon mereka untuk dipilih sebagai perdana menteri lebih mantap dan cerah.

Mereka sedar jika hendak berjaya dalam percaturan ini mereka tiada pilihan lain melainkan bersatu hati dalam mengenegahkan seorang calon sahaja kerana jurang perbezaan majoriti adalah sangat-sangat nipis.

Perpecahan hanya akan membuka peluang kepada pihak yang satu lagi untuk menang dan membentuk kerajaan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sedar akan risiko menjalinkan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.

Selain itu, Ismail Sabri juga dianggap calon terbaik dikemukakan BN kerana beliau turut mendapat sokongan padu daripada parti-parti blok PN diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sendiri.

Pengumuman Ismail Sabri sebagai calon tunggal UMNO dan BN juga adalah untuk memastikan Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan kembali menerajui negara selaku Perdana Menteri kesembilan kerana itulah yang cuba dielakkan oleh 15 wakil rakyat UMNO sebelum ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:
Sokongan Bersatu terhadap Ismail Sabri terletak di tangan Muhyiddin
Kononnya tolak Muhyiddin sahaja, tapi Ismail Sabri pun ditolak: Ahli MPT Bersatu
Nazri Aziz sudah sain SD sokong Ismail Sabri
Pecutan ke garisan penamat

Bagaimanapun, Sinar Premium difahamkan Ahmad Zahid dan kumpulannya tidak ada halangan untuk pemimpin-pemimpin Bersatu kembali membentuk sebahagian daripada kabinet sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Lebih menarik, melalui pengesahan pencalonan Ismail Sabri itu, pecutan terakhir bagi menentukan siapa yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia kini hanya tertumpu kepada Ahli Parlimen Bera itu dan Anwar.

Berdasarkan angka sokongan diperolehi kedua-dua calon itu ketika ini, atas kertas Ismail Sabri sepatutnya meraih sokongan 115 ahli Parlimen yang membentuk kerajaan PN sebelum ini.

Ini meninggalkan Anwar dengan baki 105 ahli Parlimen menerusi Parti Warisan Negara (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Muda (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB), UPKO dan dua calon bebas.

Itu pun jika Pejuang membuat keputusan untuk menyokong Anwar dan tidak berkecuali.

Kerajaan perpaduan atau mageran

Bagaimanapun, jumlah 115 ahli Parlimen itu walaupun memadai untuk membentuk majoriti tipis tetapi mengambil kira saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar yang menang tidak menang semua dan yang kalah pula tidak kalah semua apakah ada kemungkinan untuk kita saksikan wujudnya nanti kerajaan perpaduan selepas ini.

Hal ini kerana kejatuhan kerajaan PN pada 16 Ogos lalu membuktikan betapa rapuhnya membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti yang tipis.

Sebuah kerajaan yang inklusif, sekurang-kurangnya mampu bertahan sehingga PRU15 pada saat negara ditekan dengan krisis Covid-19 yang sangat dahsyat.

Atas faktor itu, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan setiap parti di negara ini untuk mencari satu titik pertemuan bagi membentuk politik negara yang ‘aman dan nyaman’.

Meskipun Anwar dalam sidang medianya selepas selesai menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada Selasa, seolah-olah menggambarkan titah baginda menunjukkan hasrat pembentukan sebuah kerajaan perpaduan, namun ia hanya boleh menjadi realiti jika adanya kompromi daripada kedua-dua belah pihak.

Namun, bagi sebilangan pemerhati politik tanah air, titah itu boleh juga dianggap sebagai isyarat kepada parti-parti politik tanah air bahawa Seri Paduka Baginda bersedia untuk membuat keputusan lebih drastik termasuk menubuhkan kerajaan berbentuk Mageran bagi menyelesaikan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Menariknya, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengarahkan 220 ahli Parlimen untuk menghantar surat akuan sokongan (SD) calon Perdana Menteri pilihan masing-masing terus kepada Istana Negara.

Berdasarkan satu surat tular di media sosial, Azhar turut meminta semua ahli Parlimen berbuat demikian sebelum jam 4 petang Rabu dengan kaedah serahan perlu dilakukan secara email, faksimile dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp.

Titah terkini Yang di-Pertuan Agong melalui Speaker Dewan Rakyat turut memberi bayangan jelas bahawa Istana Negara mungkin mencuba konvensyen pemilihan calon Perdana Menteri yang baharu dan lebih telus berbanding konvensyen dipraktikkan Seri Paduka Baginda selepas kejatuhan kerajaan PH.

Anwar masih boleh lakukan keajaiban

Berbalik kepada peluang dua calon Perdana Menteri baharu, di sebalik kelebihan berada di tangan Ismail Sabri untuk menewaskan Anwar, segala kemungkinan masih boleh berlaku pada saat genting ketika ini.

Ibarat perlumbaan acara basikal kierin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan wira negara, Datuk Azizulhasni Awang berjaya membuat pecutan menakjubkan pada 100 meter terakhir perlumbaan bagi memenangi pingat perak.

Keajaiban yang sama masih boleh berlaku kepada Anwar, lebih-lebih lagi sumber PKR memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu sebenarnya memiliki sokongan ‘lebih paras mencukupi’ bagi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Tumpuan utama rakyat pastinya berfokus kepada arah mana sebenarnya sokongan Warisan, Pejuang, Muda, calon bebas dan paling penting fraksi 15 ahli Parlimen UMNO yang menolak Muhyiddin sebelum ini.

Berdasarkan situasi politik semasa, Warisan yang dipimpin bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara terbuka mengumumkan sokongan kepada Anwar untuk mengembalikan mandat pembentukan kerajaan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, jika benar spekulasi bahawa adanya pertemuan Ismail Sabri dengan Warisan dan Pejuang sebelum ini dengan sebarang bentuk perjanjian yang lebih menguntungkan kedua-kedua parti itu, pastinya itu akan diambil kira sebaiknya oleh mereka untuk memihak pihak kepada yang lebih ‘pemurah’.

Pada masa sama, siapa yang bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri turut memainkan peranan penting untuk mana-mana parti membuat keputusan untuk berada di sebelah siapa.

Anwar dikatakan cenderung untuk memberikannya kepada Mohd Shafie, manakala Ismail disebut-sebut akan memihak kepada wakil yang dikemukakan oleh Bersatu.

Logik menyatakan jika Ismail diterima oleh fraksi PN sebagai calon Perdana Menteri, sudah tentulah calon timbalan datangnya dari Bersatu.

Bagi Pejuang pula, parti itu konsisten meminta sebuah Majlis Pemulihan Negara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bebas politik ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis politik Malaysia.

Parti yang diterajui bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut difahamkan tidak akan sesekali menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Hal ini kerana episod perseteruan antara Dr Mahathir dan Anwar sangat jelas dengan impak perbalahan antara dua pemimpin itu turut menjadi faktor utama kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Untuk Muda yang dipimpin satu-satunya ahli Parlimen mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta calon bebas, Dr Maszlee Malik, kedua-dua bekas pemimpin Bersatu ini difahamkan cenderung menyokong perjuangan PH dan dijangka akan menyokong Anwar.

Bolehkah UMNO fraksi Zahid masih boleh jadi kingmaker

Dalam pada itu, kumpulan UMNO 15 masih boleh berperanan sebagai ‘kingmaker’ disebabkan fraksi Zahid dan Najib bimbang dengan kedudukan Bersatu dalam kerajaan baharu dipimpin BN yang dianggap mereka sebagai ‘liabiliti’ kepada kedudukan mereka.

Ditambah dengan Ismail Sabri secara terbuka menyebelahi Muhyiddin berbanding patuh kepada arahan Ahmad Zahid untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN sebelum ini.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan juga bakal mempengaruhi impak pemilihan parti itu yang dijangka diadakan pada tahun 2023 kelak.

Secara jelas, kedudukan Presiden UMNO itu pastinya akan tergugat dengan Ismail Sabri yang disokong pemimpin-pemimpin UMNO anti Ahmad Zahid akan mengorak langkah untuk bertanding jawatan tertinggi parti berkenaan nanti.

Barang diingat jika Ismail terpilih sebagai Perdana Menteri, pengaruh dan kedudukan Ahmad Zahid dalam UMNO dengan sendirinya terancam dan terjejas. Sudah menjadi adat, orang akan berpaut kepada mereka yang ada kuasa dan jawatan. Itu adalah adat manusia.

Di mana DAP

Sikap dingin DAP yang menolak pemimpin ‘kleptokrat’ dalam UMNO mungkin menjadi rintangan kepada Anwar bagi mendapatkan sokongan daripada fraksi Ahmad Zahid.

Bahkan sikap terbuka beberapa pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang lebih rela mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berbanding mengembalikan kerajaan ‘kleptokrat’, jelas memberi gambaran kebimbangan DAP terhadap kemungkinan fraksi yang diketuai Ahmad Zahid membuat ‘deal’ dengan Anwar.

PM baharu perlu kemuka undi percaya di Dewan Rakyat: Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, titah Seri Paduka Baginda itu selaras seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, ketika sesi pertemuan bersama beberapa pemimpin politik pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang merupakan Timbalan Baginda menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu gugat tadbir urus kerajaan ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.

Tambahnya, Baginda berdua turut menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera,” katanya.

Berikut kenyataan penuh Istana Negara;

Kuala Lumpur, 18 Ogos 2021 Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara, semalam (17 Ogos 2021).

Dengan titah Seri Paduka Baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah disembah silakan turut berangkat hadir semasa sesi menghadap tersebut atas kapasiti Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara.

Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, Pas, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari jam 2.30 petang.

Adalah dimaklumkan juga bahawa terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Seri Paduka Baginda telah menzahirkan bahawa Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap ini adalah untuk menyatakan bahawa:

– Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

– Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

– Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

– Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit Covid-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu. Kesemua Ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4 petang.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat).

Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus Kerajaan ketika kita masih diancam pandemik Covid-19.

Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, Ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*