Anwar Ulas Pasal Kabinet Baru “sama seperti almari “

PETALING JAYA: Pengumuman barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghampakan rakyat kerana nama-nama menteri dan timbalan menteri dilantik secara kitar semula daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman tersebut menghampakan rakyat terutama apabila nama-nama yang masih berada dalam Kabinet tersebut sebelum ini telahpun gagal menggalas tugas sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Pagi tadi Perdana Menteri mengumumkan senarai anggota jemaah menteri dengan timbalan menteri. Tentunya reaksi spontan kalangan rakyat, pengumuman itu mengecewakan dan menghampakan kerana ia hanya kitaran semula seperti mana yang diuar-uarkan dalam media sosial. Secara gurauan mereka menyebut Kabinet baru dan Kabinet lama tetapi macam almari yang tiada perubahan.

“Negara menghadapi krisis akibat Covid-19 yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekan rakyat terutama golongan bawahan. Tetapi langkah yang diambil itu hanya kitar semula, menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah ini dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, hampir semua menteri dan timbalan menteri di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sementara hanya beberapa wajah baru kelihatan dan beberapa daripada mereka menukar portfolio.

Anwar turut meluahkan kebimbangannya apabila lantikan-lantikan yang tidak membawa sebarang perubahan itu akan terus menyebabkan Malaysia kehilangan pelabur yang berpotensi menambah pendapatan negara.

“Tetapi apa yang saya kira dengan nyata, lantikan itu tidak mampu menyuntik semangat baru dan keyakinan pelabur dalaman dan luar negara,” katanya.

Walaupun pemimpin Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telahpun bermesyuarat dengan Ismail Sabri malah telah bersetuju untuk bekerjasama demi kestabilan dan rakyat, Anwar berkata, pembangkang akan terus memantau pemimpin kerajaan sekiranya mereka gagal menggalas tugas dengan baik.

“Perdana Menteri memberikan tempoh 100 hari untuk menteri-menteri tunjukkan prestasi. Satu tahun setengah yang lalu tidak ada kemajuan yang membanggakan.

“Kami sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau dan menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan untuk menangani masalah Covid-19 dan membawa perubahan terhadap kehidupan rakyat,” katanya.

Satu momen bersejarah apabila Perdana Menteri menandatangani kenyataan bersama dengan tiga pemimpin Pakatan Harapan di Putrajaya hari ini.

‘Gencatan politik’ Ismail Sabri dengan Anwar

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaikan mendapat ‘tonik’ pertama kerajaan baharu apabila berjaya mendamaikan hubungan dengan blok pembangkang hari ini.

Selepas lima hari pelantikannya, Ismail Sabri yang dalam ucapan sulungnya membawa tema Keluarga Malaysia membuktikan semangat itu apabila mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya petang tadi.

Turut menyertai pertemuan selama satu jam itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lebih menarik dan menjadi satu sejarah apabila Ismail Sabri dan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Harapan menandatangani satu kenyataan bersama yang memberi jaminan akan mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19 dan ekonomi negara.

“Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu menjaga nyawa dan keselamatan daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Pertemuan dan kenyataan bersama tersebut seolah-olah memberi gambaran yang rakyat mungkin akan menyaksikan satu ‘gencatan politik’ antara kerajaan dengan blok pembangkang selepas ini.

Malah, Anwar dalam pertemuan dengan media selepas itu berkata, beliau memberi jaminan tidak akan menyulitkan tugas Ismail Sabri sebagai PM ke-9.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan pertemuan tersebut sebagai ‘permulaan yang baik’ dan pertemuan peringkat jawatankuasa akan disertai wakil-wakil pembangkang.

Walaupun ada yang mempersoalan sejauh mana ‘gencatan politik’ itu mampu bertahan, namun sekurang-kurangnya Ismail Sabri setakat ini telah membuka satu lembaran baharu politik negara.

Ini kerana Anwar merupakan Ketua Pembangkang yang bersaing rapat dengan beliau dalam pecutan terakhir merebut jawatan Perdana Menteri minggu lalu.

Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, Ismail Sabri akhirnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat 114 sokongan ahli Parlimen.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*