TMJ dedah kenapa 396 guru di Johor enggan div4ksin

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim bertitah hanya 396 guru di negeri ini yang enggan mengambil vaksin Covid-19 kerana ragu-ragu untuk mengambil suntikan.

Tunku Ismail menerusi muat naik di akaun Facebook baginda bertitah, baki 383 guru mengambil pendirian untuk menangguhkan pengambilan vaksin buat masa ini manakala sebilangan guru lagi bersetuju mendaftar untuk mengambil suntikan.

“Berbanding jumlah awal 779 guru yang dilaporkan enggan divaksin di negeri ini, hanya 396 yang enggan mengambil vaksin berikutan keraguan terhadap suntikan berkenaan.

“Baki 383 guru lagi mengambil pendirian untuk menangguhkan pengambilan vaksin buat masa ini kerana mempunyai alahan, mengandung atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Manakala sebilangan guru lagi kini bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” titah baginda.

Pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan diadakan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Yahya Ahmad dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

Manakala Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad menyertai pertemuan berkenaan secara maya.

Terdahulu, Tunku Ismail bertitah, baginda sudah mendengar ulasan daripada guru yang hadir mengenai isu yang mereka hadapi berhubung penangguhan mengambil vaksin itu.

TMJ Bagi Nasihat

“Dalam perjumpaan itu juga saya berkongsi info mengenai program vaksinasi di Johor dan situasi terkini pandemik Covid-19 di negeri ini.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengenengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.

“Saya berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*