“Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh” Pihak P0lis dedah mcm mana Long Tiger boleh l0los

Seorang lelaki berketurunan Rohingya bergelar Long Tiger kini diburu polis selepas berjaya melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, itu berjaya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula.

“Suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan. Bagaimananpun, prosiding yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

“Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, sebentar tadi.

Menurut Mohd. Fadhil, empat anggota polis terbabit bersama pengawal keselamatan cuba mengejar suspek, namun dia terus menuju ke semak berdekatan sebelum hilang dan gagal dikesan.

“Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh menyebabkan dia sukar diberkas. Suspek telah melalui kawasan semak berdekatan bersama gari di tangan. Oleh demikian kita mohon kerjasama orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera hubungi pihak polis.

“Bagi kes ini, seramai empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian,” katanya

 

Long Tiger : Polis Melaka risik pergerakan di pintu sempadan

Polis negeri menubuhkan ‘Team Pantas’ bagi membantu kontinjen Johor mengesan lelaki dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pasukan itu ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri bagi melakukan risikan sekiranya terdapat pergerakan suspek di pintu masuk sempadan.

“Kita dapat maklumat Long Tiger itu telah melarikan diri, susulan itu kontinjen Melaka telah tingkatkan kawalan di sempadan negeri.

“Team Pantas juga telah ditubuhkan dan sedang membuat risikan sekiranya terdapat pergerakan etnik Rohingya itu merentas masuk ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kami Prihatin anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Taman Seri Duyong, di sini hari ini.

Sumber : Kosmo Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*