Dakwaan anak hanya dicucuk angin, KJ dan Jururawat ini tampil cerita perkara sebenar

KUALA LUMPUR: Golongan ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka divaksinasi tidak perlu mengganggu mereka yang mahu berbuat demikian.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ada pihak yang sanggup menyebarkan fitnah dengan menyatakan anaknya hanya dicucuk dengan angin untuk mempengaruhi orang lain.

Dalam ciapan di Twitter hari ini, Khairy berkata ketika ini lebih ramai ibu bapa yang yakin dengan vaksin untuk melindungi anak mereka.

“Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

“Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” katanya.

Data dikongsikan Khairy turut menunjukkan liputan dan pendaftaran vaksin untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun meningkat sebanyak 24,967 pada Rabu yang membawa kepada 892,974 pendaftaran bagi PICKIDS.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus daripada empat juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima vaksin menjelang hujung Februari ini.

Khairy sebelum ini turut memuat naik gambar dan video anaknya, Raif, 6, menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre (WTC) di ibu negara.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, KKM mengeluarkan video pengakuan jururawat bertanggungjawab memberikan suntikan kepada anak Khairy.

Jururawat wanita yang tidak dinamakan itu menafikan memberi ‘suntikan angin’ sepertimana dakwaan segelintir netizen yang tular di media sosial.

Jururawat yang menyuntik vaksin COVID-19 kepada anak bongsu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini, tampil menangkis dakwaan warganet bahawa beliau membuang cecair vaksin Comirnaty untuk kanak-kanak sebelum menyuntiknya.

Sebaliknya, jururawat yang melaksanakan proses berkenaan sudah melakukannya mengikut prosedur dan protokol ditetapkan.

Melalui klip video yang dimuatnaik di laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM) itu pagi tadi, jururawat berkenaan, berkata proses suntikan yang dilakukan terhadap anak bongsu Khairy itu adalah sama saja dengan yang dibuat terhadap kanak-kanak lain yang menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, sebelum suntikan dibuat, beliau terlebih dahulu menunjukkan cara mengeluarkan cecair vaksin dari bebuli termasuk isipadu yang diperlukan kepada Khairy dan isterinya, Nori Abdullah.

Katanya, apabila berdepan dengan kanak-kanak, beliau tahu kebimbangan mereka terhadap jarum, menyebabkan beliau perlu berinteraksi dengannya untuk mengurangkan kerisauan itu.

“Ia seperti situasi menang menang iaitu saya boleh suntik dia dengan baik dan dia juga tidak takut dengan saya.

“Demi Allah saya tidak ada langsung keluarkan apa-apa (cecair) vaksin, yang tidak masuk ke dalam badan kanak-kanak itu,” katanya.

Wanita itu berkata, berikutan kanak-kanak terbabit berada berdekatannya, beliau memegang bahunya untuk mengelakkan kanak-kanak itu lari atau bergerak.

Katanya, beliau cuba mengelakkan kanak-kanak itu daripada ternampak picagari yang digunakan untuk menyuntik vaksin berkenaan.

Tangkap layar dari video mengenai jururawat yang memberikan vaksin kepada anak bongsu Khairy.- Foto Facebook KKM

Selain itu, beliau berkata, cecair vaksin dalam picagari juga tidak boleh menitis keluar tanpa beliau menolak omboh dan ia perlu dilakukan dengan dua tangan.

Beliau berkata, prosedur untuk menyuntik vaksin juga memerlukannya menarik sedikit udara sebaik saja jarum ditusuk ke tubuh badan untuk memastikan ia tidak terkena saluran darah, sebelum vaksin disuntik masuk.

“Selepas beri suntikan, saya tunjukkan kepada ibu bapa bahawa ini adalah vaksin yang sudah masuk dan saya asingkan ke tepi sebelum saya tampalkan plaster kepada lengan kanak-kanak itu,” katanya.

Pada masa sama, jururawat berkenaan meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara itu selain menghentikan sebarang tuduhan melulu kerana ia membabitkan kehidupan orang lain.

Beliau berkata, jika ia berlaku kepada mereka sudah tentu mereka akan merasa tidak selesa, geram dan sakit hati berdepan dengan tuduhan sedemikian.

“Saya hanya menjalankan tangungjawab untuk memastikan ia berjalan dengan selancar boleh supaya saya dapat memberi keselesaan kepada kanak-kanak terbabit.

“Setiap kanak-kanak yang saya suntik, saya cuba berikan yang terbaik untuk memastikan proses itu lancar dan tidak menimbulkan trauma kepada mereka.

“Jadi tolonglah siasat terlebih dahulu sebelum nak menghukum. Saya rasa saya sudah menjalankan tugas dengan menerangkan kepada ibu bapa,” katanya.

VIDEO:

Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan dan spekulasi bahawa jururawat yang melaksanakan vaksinasi terhadap anak bongsu Khairi itu membuang cecair vaksin terlebih dahulu sebelum melakukan suntikan pelalian.

Rata-rata pengguna media sosial dilihat menghamburkan tuduhan berkenaan dalam ruangan komen pada video yang dimuat naik melalui media sosial termasuk akaun Facebook KKM.

 

Sumber : BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*