Punca sebenar badan kiri Haeriyanto jadi lemah di kenal pasti… Keluarga harap tidak jalani pembedahan

Kuala Lumpur: Pelakon Haeriyanto Hassan dikejarkan ke Hospital Ampang (HA), Selangor, pagi semalam selepas mengalami serangan angin ahmar ringan yang mengakibatkan anggota badan sebelah kiri tidak boleh bergerak.

Adik iparnya yang juga penyanyi, Oja ketika dihubungi berkata, pemeriksaan doktor mendapati ada darah beku bersaiz tiga sentimeter pada bahagian kanan kepalanya.

Oja atau nama sebenarnya, Daninaz Huza Daud berkata, sepatutnya Haeriyanto perlu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan, tetapi doktor di HA mahu memantau keadaan kesihatannya terlebih dulu.

“Ketika kakak hubungi saya pagi semalam memang sudah dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena sebab dia akan hubungi kalau ada perkara penting.

“Kakak minta saya datang ke rumahnya untuk melihat keadaan abang ipar yang tidak boleh bergerak di ruang tamu memandangkan jarak rumah kami berdua tidak sampai 10 kilometer. Bagaimanapun saya tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat.

“Saya minta kakak hubungi adik iparnya Dasira Hassan untuk menghubungi ambulans. Selepas mendapati bacaan tekanan darah terlalu tinggi iaitu 211/131, paramedik membawa abang ipar ke hospital untuk tindakan susulan.

Menurut Oja, selama ini abang iparnya itu sihat dan tidak pernah darah tinggi namun beberapa hari sebelum kejadian dia sering mengadu sakit kepala.

“Walaupun diserang angin ahmar, abang masih boleh berkomunikasi dengan kakak. Kata doktor, biasanya orang terkena angin ahmar akan pengsan. Mungkin semangatnya kuat.

“Setakat ini bacaan darah semakin menurun. Saya juga dimaklumkan hari ini doktor akan beritahu sama ada abang Haeriyanto akan menjalani pembedahan atau tidak.

“Kita sama-sama berdoa agar abang kuat dan kembali sihat. Jika ada sebarang perkembangan lain saya akan maklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya.

 

Sumber : Trending

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*