“Alhamdulillah, Semoga Dipermudahkan..”- Pengeluaran KWSP RM10k Buat Kali Terakhir, Ini Penjelasannya

Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan ‘i-Ceria’ Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

PENGELUARAN I-CERIA RM10,000 ONE-OFF

Tuntutan ini bukan menidakkan kebimbangan kerajaan terhadap simpanan hari tua, tuntutan saya ini juga bukanlah menafikan fakta mengenai 20 peratus daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup di hari tua.

“Tuntutan saya pada hari ini adalah semata-mata untuk memastikan permintaan Keluarga Malaysia dipenuhi, khususnya buat mereka yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik COVID-19, ditambah pula musibah banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya.

Justeru, Mohd Salim berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula tuntutan rakyat iaitu pengeluaran KWSP untuk kali terakhir dan secara bersasar bagi mereka yang memerlukan, bergantung kepada jumlah simpanan.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi beberapa siri inisiatif, i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Cadangan berkenaan turut dipersetujui beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), M. Karupaiya (PH-Padang Serai), Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat).

Sementara itu Karupaiya dan Hasan berpendapat, kerajaan perlu mengawal kenaikan harga barang susulan tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab cenderung menaikkan harga ketika rakyat menerima bantuan kewangan.

Hasan berkata, ini menyebabkan kuasa beli kalangan rakyat semakin berkurang walaupun mempunyai wang, oleh itu kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal harga barangan terutama di kawasan luar bandar.

Xavier pula berpendapat cadangan i-Ceria itu bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi negara yang memerlukan masa untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kerajaan bertanggungjawab membantu anggota Keluarga Malaysia khususnya golongan B40.

PENJELASAN MENTERI KEWANGAN, TENGKU ZAFRUL

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul telah menjawab cadangan pihak-pihak yang menyuarakan pengeluaran khas KWSP bagi yang terjejas banjir melalui 2 buah video di Facebook bertarikh 17 Januari 2022.

Dalam video berdurasi 6:28 minit ini, beliau menjelaskan bahawa sehingga kini pencarum telah mengeluarkan sehingga RM71,000 melalui i-Lestari, i-Sinar & i-Citra, manakala dalam bahagian kedua video tersebut, impak pengeluarannya turut diperincikan.

Secara keseluruhannya, RM101 bilion telah dikeluarkan pencarum.

Jelas beliau, bahawa Malaysia dijangka akan mencapai status Negara Tua pada tahun 2030.

Ini bemaksud, dalam masa 8 tahun, rakyat Malaysia akan memerlukan wang simpanan yang lebih banyak untuk membiayai hidup masing-masing selepas bersara.

Atas sebab itu, desakan beberapa pihak untuk membenarkan pengeluaran KWSP akan menjejaskan isu kekurangan persaraan yang kini berada dalam tahap yang membimbangkan.

Sebagai contoh, median simpanan ahli B40 adalah sebanyak RM1000, bersamaan RM4 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Manakala, bagi M40, jumlah simpanan adalah RM25,000 iaitu bersamaan RM104 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Tengku Zafrul juga menjelaskan bahawa pada tahun 2014 Malaysia juga dilanda banjir yang teruk.

Ketika itu, tiada pengeluaran KWSP yang dibenarkan walau 1 sen pun. Sebaliknya, kerajaan menggunakan pendekatan-pendekatan tertentu untuk membantu rakyat terjejas mendapatkan

bantuan kewangan, barangan keperluan dan tempat tinggal bagi meneruskan kehidupan.Pendekatan ini juga digunakan bagi mangsa banjir tahun ini yang boleh dimanfaatkan oleh mangsa banjir yang terjejas.

 

Sumber: news

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*