MV Ku Ikhlaskan Cecah lebih 1.6 juta Tontonan: Ini Ulasan Dan Penilaian Dari Sudut Pandangan Seorang Profesor Madya

Hanya dalam masa 3 hari, video muzik terbaru Dato’ Seri Vida (DSV) yang berjudul Ku Ikhlaskan ditonton sebanyak 1.6 juta kali di YouTube.

Menurut penerangan yang dibuat oleh pihak DSV Entertainment di ruangan komen, lagu ciptaan komposer Amy UKAYS bersama DSV itu mengisahkan tentang liku-liku kehidupan peribadi DSV sendiri yang penuh dengan keperitan, kehilangan dan kecaman bertubi-tubi yang ditempuhinya selama ini.

DSV turut memaklumkan bahawa pembikinan lagu dan video muzik Ku Ikhlaskan tersebut juga dibuat sebagai usahanya untuk mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh.

Beliau juga mengajak orang ramai untuk sama-sama menyumbang dan merebut peluang saham akhirat dengan menyertakan sekali nombor akaun Maybank DARUL TAHFIZ DS VIDA kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan.

Pembikinan lagu dan video muzik Ku Ikhlaskan yang menelan belanja sebanyak RM400 ribu tersebut juga mendapat perhatian Profesor Madya Teknologis Profesional Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Development Studies (Sabah) yang juga merupakan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau yang telah menonton video muzik terbaru dari DSV tersebut sempat memberikan sedikit ulasan terperinci mengenainya melalui satu penulisan menarik yang dibuatnya di Facebook.

1

Kelmarin, pagi-pagi buta jam 3am, ketika hantu-hantu sedang ripuh bergelinjang di kuburan, Dato’ Seri Vida lancarkan video muzik “Ku Ikhlaskan” di YouTube. Mungkin kerana pemilihan waktu upload yang seram begitu, lagu ini betul-betul jadi “berhantu”.

Sambutan umat netizen sangat hangat dan meriah. Rata-ratanya memberi reaksi positif. Dalam tempoh kurang sehari, jumlah tontonan sudah hampir sejuta.

Serius, saya sendiri terpanah, terpesona dan terhibur level nuraka. Ya bah, keterujaan itu sudah seperti kawah api yang marak menggelagak. Rasa siok sampai hilang kawalan diri.

2

Melodi dan gubahan muzik memang mantul. Paling saya suka, liriknya yang menusuk. Puitis membuai-buai.

Tapi masih ada juga beberapa sisi gelap video muzik ini. Misalnya, persembahan vokal Vida yang agak sendu. Macam siput sedut terbenam di selut yang maha dalam, sampai tak cukup oksigen.

Tapi mana ada karya seni yang serba-serbi sempurna, kan? Lagi pun, dia bukan penyanyi pro. Untuk kategori amatur, suara itu sudah lebih dari ok. Yang penting, mesejnya sampai.

Begitu juga, casting watak dalam cerita lagu, agak curiga. Sudah pupuskah model lelaki separuh baya di Malaysia untuk dipadankan dengan Vida? Kenapa mesti guna anak ikan? Nampak macam kisah seorang nenek yang obses dengan cucu. Ada sedikit elemen sumbang mahram secara tersirat, kan?

Tapi rasanya itu cuma prejudis personal dan fantasi jahat saya. Mohon abaikan. All in all, karya ini fantabulously amazing.

3

Saya suka keseluruhan konsep dan naratif video ini, walau pun tatarias prop melampaui siuman. Jumlah tekstil untuk bikin baju saja, mungkin perlu tiga gudang. Kain untuk telekung itu pun, stock satu KAMDAR boleh habis. Saiznya lebar gila; sama besar dengan kiswah penutup ka’abah.

Tapi penataan seni, memang kelas level galaksi. Penuh dengan adunan semiotik dan simbolik yang berlapis-lapis. Ala-ala video muzik Lady Gaga dan Madonna. Very often over-the-top, but always artistically well presented.

Saya paling suka scene di atas papan catur. Metafora paling tepat untuk menggambarkan keluk liku dan simpang siur percaturan hidup. Twist pada hujung cerita pun, sangat dramatik dan menyentak nurani. I seriously didn’t expect it coming.

Plot ironi itu melontar mesej sinikal yang signifikan. Semua manusia ada peluang untuk kembali semula kepada fitrah. Ya, pulang menemui katarsis rohani dan mengakrabi Sang Pencipta. Biar pun dahulu pernah kasmaran duniawi, bergelumang dengan segala kilau materi dan silau hedonis berwarna-warni.

Ingat bahawa kitar itu juga boleh berlaku secara terbalik. Dari hidupmu kudus, bertukar durjana. That is why, never judge the choices made by others. Sebab tiada siapa pun tahu bagaimana penghujung kita sendiri akan berakhir. Itu rahsia mutlak Tuhan.

4

Seperti biasa, kritikan pada Vida datang bertele-tele. Itu biasalah. Mulut seorang Cik Kiah jiran sebelah rumah pun, susah mau tutup. Apatah lagi mulut jutaan netizing di seluruh internet raya.

Tapi cuba renung sejenak. DS Vida ini, meski dengan segala provokasi karenah dan geletisnya, barangkali mampu menjadi cermin terbaik tentang kehidupan. Satu refleksi yang menyedarkan kita semua tentang dunia hipokrasi. Tentang manusia talam dua muka, dan polis moral acah-acah.

Ramai mengutuk penampilan DS Vida, yang dianggap kebaru-baruan. Dikata sengaja promosikan budaya materialistik, dan mengagungkan perhambaan pada wang harta.

Biarlah bah. Sekurang-kurangnya dia jujur mahu menjadi diri sendiri. Tidak berselindung di balik topeng. Ramai yang suci pura-pura, konon aktivis agenda sosial. Tapi duit dalam akaun luar negara, juta berkepuk-kepuk. Ntah dari mana bapa dia rompak.

5

Ramai manusia sebenarnya malu menjadi diri sendiri. Akhirnya mereka membesar tanpa cinta, tidak pernah rasa bahagia. Hanya taksub menyalahkan takdir, asyik bersengketa dengan orang sekeliling dan sepanjang hayat membenci diri sendiri.

So, baguslah ada DS Vida. Di celah kata-kata nista yang menimbun, dia mengajar kita berbangga dengan keunikan masing-masing. Bukan suruh jadi macam dia. Tapi meniru kejujuran dan keberanian dia. Live your life, don’t just exist.

Kau kutuk dia menjual barang-barang propa. Konon bahan kosmetik yang ntah apa-apa. Gigih kau membalun dengan segala hujah sains kesihatan.

Tapi kau pengecut pula mau melawan industri rokok yang gah mendunia. Kau juga tidak berani mencabar rangkaian fast food KFC dan McD. Padahal jualan mereka bukan saja karsinogenik, bahkan boleh jadi punca kronik diabetis dan obesiti.

Kau single out Vida kenapa? Sebab dia cuma seorang usahanita tempatan, yang begitu kerdil di sisi kapitalis-kapitalis gergasi global? Iya la, lebih senang untuk kau buli dan kecam bertubi-tubi. Kan?

6

Saya bukan peminat tegar DS Vida. Saya juga bukan pemuja setia gaya hidup ekstravaganza dia. Bahkan, saya tidak ambil pusing pun apa dia buat sehari-hari.

Tapi kalau tiba-tiba tercampak rambang ke sebuah kebun; saya suka menjadi lebah yang tekun mencari bunga-bunga mekar. Buat apa menjadi lalat yang cuma gigih mencari bangkai binatang liar. Kan?

Prinsip hidup ini mudah saja, dik. Kita akan jumpa apa yang kita damba. Niatmu akan memandumu menuju pilihan-pilihan yang kau cari. Jika kau cari yang buruk-buruk, maka kau tidak akan dapat yang baik-baik.

Tahniah Vida. Saya sungguh terhibur dan amat terinspirasi dengan “Ku Ikhlaskan”. Terima kasih.

MV Ku Ikhlaskan Cecah lebih 1.5 juta tontonan, DSV kalahkan Snoop Dogg, JDT

Biarpun muzik video (MV) single terbaharunya, Ku Ikhlaskan dikecam ramai, usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida mampu menarik nafas lega apabila jumlah tontonan MV berkenaan melangkaui pencapaianm lagu tema kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menampilkan legenda rap dunia, Snoop Dogg.

Setakat ini, MV Ku Ikhlaskan sudah ditonton lebih 1.5 juta orang selepas hanya dua hari ditayangkan sementara Pioneers nyanyian Snoop dan Joe Flizzow sekadar mencatatkan kurang 500,000 tontonan dalam laman perkongsian video, YouTube.

“Saya tak mahulah membanding-bandingkan. Tapi, alhamdulillah untuk rezeki ini. Orang kutuk, kec4m dan tabur kata nista, saya tetap akan berikan apa yang termampu untuk industri seni tanah air.

“Dalam ramai yang mengec4m, ramai juga yang memuji MV Ku Ikhlaskan. Mereka cakap kualiti MV bertaraf antarabangsa.

“Saya tak harap banyak cuma semoga orang nampak em0si, jiwa yang ikhlas dalam lagu Ku Ikhlaskan. Orang nak kutuk dan kec4m, terpulang kepada mereka. Dengan tontonan di YouTube yang tinggi, saya percaya mesej yang cuba semaikan, sampai di hati peminat,” katanya kepada Kosmo! Online.

MV Ku Ikhlaskan yang merupakan idea asal Vida, 51, dan merupakan arahan Kel Wen menelan belanja sebanyak RM400,000 dan menyaksikan penampilan mogul berubah 360 darjah dengan menyuntik elemen futuristik dan eksentrik.

Lagu berkenaan ditulis Amy Ukays dan Vida, manakala lirik dihasilkan sendiri.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman memaklumkan bahawa Ku Ikhlaskan disifatkannya sebagai saham akhirat. Katanya, pembikinan lagu dan MV adalah usahanya mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak miliknya.

“Lagu dan MV ini sebagai saham akhirat saya dalam menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah selain ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Ditambah pula kita tidak lama lagi bakal menyambut bulan Ramadan, jadi saya kira ini peluang untuk kita menambah dan mendapatkan pahala berganda sekali gus diberkati Allah SWT,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pioneers yang dilancarkan lima hari lalu di Johor Bahru disempurnakan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

 

Sumber : Facebook Rem Dambul, KOSMO, IG DSV

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*