“Peritnya hidup tanpa Sarah… “– Shuib Bagaikan Tercari-cari Apa Yang Boleh Membuatkan Diri Rasa Bahagia.

“NAMPAK tak tadi? Hari ini dia makan banyak, berselera. Tak macam selalu. Dah lama mama tak tengok dia makan banyak begitu,” luah Salamiah Jalani, ibu kepada Shuib ketika kami semua selesai berbuka puasa bersama-sama.

Walau cuma tentang makan, tapi sayu tetap terbit dalam hati terutama apabila difahamkan, ia adalah kali pertama Shuib menjamah nasi lebih sedikit terutama sejak suri hatinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, meninggal dunia, Ogos tahun lalu.

Sebenarnya, ada banyak lagi momen ‘mahal’ yang kami lihat tentang Shuib, anak-anak dan keluarga saat bertemu dan bermalam bersama di kampung tercintanya yang terletak di Parit Haji Amin, Parit Buntar, Perak tempoh hari.

Dia tidak janggal untuk kembali ke kampung, berlasak dan berpanas dengan cuaca terik di bendang dan di kali, meski semua tahu kehidupannya sebagai seorang ternama, popular dan kaya, itu semua telah didakapnya.

“Tetapi itu semua bukanlah yang sebenarnya. Kehidupan dan jiwa saya adalah sebagai seorang budak kampung. Bila saya kehilangan Sarah baru-baru ini, terus-terang, saya bagaikan tercari-cari apa yang boleh membuatkan diri rasa bahagia.

“Perasaan itu bagaikan terbuku. Jauh dan sudah lama tak dirasakan. Lalu, saya fikir, kena bawa diri balik kampung sebentar. Sungguh tak reti saya nak berpura-pura yang konon-kononnya saya ini orang bandar.

“Saya suka alam semula jadi. Saya suka kotor, tak kisah berpanas. Inilah diri saya. Tinggi atau besar mana pun saya, sisi inilah yang tak akan pernah hilang dari dalam diri,”katanya.

Berpeluang juga menjenguk rumah usang yang didiami sewaktu kecil dan zaman remajanya, Shuib tidak malu berkongsi isi cerita tentang rumah tersebut yang menjadi saksi, siapa dirinya yang sebenar.

“Saya membesar di rumah ini sejak berusia 8 bulan sehingga 17 tahun bersama arwah nenek dan datuk.Tak ada yang berubah pada rumah ini dan usianya sudah menjangkau mungkin 44 tahun. Ia juga menjadi saksi kehidupan susah saya dahulu.

“Nak cerita pasal susah, saya memang faham benar rasa itu sebab telah melalui zaman susah yang sesusahnya.Tak ada motor, ada basikal saja. Orang lain umur 15 atau 16 tahun sudah pakai motor, tapi saya tetap dengan basikal. Kadangkala rasa rendah diri dan kecil sangat. Ia buat saya sedar diri,”katanya.

Cerita Shuib, dia tidak akan pernah melupakan zaman kepayahannya lantaran itulah yang menjadikan siapa dirinya sekarang.

“Bayangkan, betapa susahnya saya dulu, sampai tak tahu bila boleh pegang duit RM100 di tangan. Duit RM10 ada di kocek pun sudah rasa besar dah untuk keluarga.Rumah tak ada elektrik, pakai pelita, mandi di air parit, minum air hujan.Makan pun seadanya.

“Setiap pagi sebelum pergi sekolah, saya mandi di air parit depan rumah ini. Pagi-pagi bawa lampu suluh, tengok ikan, cakap-cakap dengan ikan. Pergi sekolah, badan pun bau ikan. Tandas di luar itu ada, tapi separuh saja nampak kepala.

“Maksudnya, kalau tengah ‘membuang’ kawan lalu depan pun boleh sambil berbual. Zaman itu juga saya tengok wayang pacak. Saya lahir tahun 1984 dan sepatutnya, zaman yang saya lalu itu bukan zaman saya dah. Itu kalau emak atau nenek kita, iya. Umur saya bukan 60 tahun.Tapi sebab hidup susah, itulah yang dilalui,” katanya.

Tambah Shuib, kenangan membesar di rumah itu baginya sangat menyeronokkan meski mungkin tidak semua orang mampu memahami pengertian itu.

Semua itu sangat berharga buat dirinya kerana sekurang-kurangnya di rumah itu, kehidupan dan nasib itu dahululah yang menjadikan dia sangat menghargai nilai-nilai kemanusiaan.

“Di sini, di kampung inilah yang membentuk saya seorang manusia yang ada hati perut. Untuk ada rasa kasih sayang pada semua orang, untuk tidak merasakan diri angkuh bila sudah berjaya.

“Bila kita lalu zaman susah, kita tahu makna sebenar kehidupan. Kalau kenal senang tanpa erti susah, takut diri terus hanyut dan terbang tak jejak bumi.

“Sebab yang sama saya terapkan pada anak-anak. Saya tak nak mereka lupa asal usul bapa mereka hanya kerana mereka lahir, sudah sedia menikmati kesenangan itu,” katanya.

Peritnya hidup tanpa Sarah…

Membawanya bercerita mengenai kerinduan pada pemergian isteri tercinta, Shuib mengaku bukan mudah untuk memikul beban rindu itu. Malah setiap hari, setelah sembilan bulan arwah pergi, sering sahaja dia merasakan seolah-olah Sarah masih ada.

Bahkan, akui lelaki ini, sehingga kini, sukar untuknya menatap wajah putera bongsunya, Ayash Affan, lantaran setiap kali itulah dia akan semakin merindui arwah Sarah.

“Sangat-sangat terasa. Dari dia dalam perut, pandai menendang, kemudian dilahirkan, namun, dia buka mata tanpa menatap wajah ibunya sendiri. Sebenarnya, saya hidup dengan ketakutan.Sebab banyak momen pertama kali tanpa arwah.

“Lepas Sarah meninggal, 15 September merupakan hari lahirnya, tapi tanpa dia. Ulang tahun perkahwinan kami, tanggal 26 Februari lalu, juga tanpa dia.Masuk bulan puasa tanpa dia, dan raya ini juga kali pertama tanpa dia di sisi.

“Bila Ayash semakin membesar, pandai berjalan dan bercakap, mesti dia akan bertanya.Tapi nak tak nak, saya akan cakap juga, sama ketika kali pertama saya beritahu pada abang-abang dan kakaknya bahawa ibu mereka sudah tiada,” katanya.

Mengakui pada kebanyakan masa dia terlalu melayan perasaan sedih sendiri, Shuib mengaku dirinya masih dalam fasa mencuba.

“Saya sedih, anak-anak juga mesti begitu. Mereka sebenarnya lebih kuat berbanding saya.Pandainya mereka membawa diri seakan-akan tahu, masing-masing perlu menjaga antara satu sama lain.

“ Saya pun sentiasa berpesan dengan mereka untuk selalu menjaga laku dan hati,” katanya.

Saya perlukan momen ini

Dihambat dengan timbunan kerja selain kesibukan jadual seni, usah dilupa, sebenarnya, jauh di sudut hati seorang Shuib, dia sebenarnya berada dalam sebuah ruang kesedihan yang tidak berpenghujung.

B0hong amat jika dia mengatakan dirinya baik-baik sahaja sedangkan di lubuk hati, rindu terhadap arwah yang sudah pergi bagaikan sudah tidak tertanggung rasanya.

Kata Shuib, itu juga antara sebab mengapa dia perlu mengalihkan perhatian dengan pulang ke kampung dan melakukan aktiviti yang sudah lama ditinggalkan, untuk tidak lupa akan makna menikmati.

“Dulu, arwah Sarah begitu. Dia bukan budak kampung macam saya ini tapi dia adalah seorang isteri yang mengikut sahaja kehendak saya. Dia tak boleh berpanas, tapi setiap kali pun dia mesti nak balik kampung saya kerana katanya seronok di sini walau tak ada apa pun.

“Dia mengikut itu satu hal, tetapi dia menikmati. Dia seronok balik sini, duduk di rumah usang ini dan masak-masak, menyanyi di dapur, dan melayan sahaja kemahuan saya yang memang suka aktiviti kampung.

“Selalu sibuk di bandar, sesekali memang kita kena segarkan minda dan tubuh. Balik kampung adalah satu terapi bukan saya saja, rasanya semua orang begitu. Udara lain, pemandangan lain, percakapan lain, orang sekeliling yang lain, makan pun lain, semuanya berbeza dan saya perlukan momen ini,” katanya.

Tak pernah malu mengaku bahawa dirinya tetap budak kampung, Shuib meluahkan pandangan bahawa tiada salahnya jika kita berasa bangga dengan asal usul sendiri.

“Kenapa nak malu? Kita ini semua sebenarnya orang kampung. Kenapa cakap macam itu? Kenapa bila masa raya, semua orang nak balik kampung? Tok nenek kita semua asal orang kampung sebab itu perasaan itu ada dalam jiwa setiap daripada kita.

“Perkara ini saya cuba sampaikan juga kepada anak-anak. Saya mahu mereka gembira bila balik kampung dan sama-sama buat aktiviti. Alhamdulillah, mereka semua suka. Saya tak nak kebahagiaan itu cuma dinikmati sendiri, saya mahu anak-anak juga rasa yang sama,”katanya.

Shuib Sepahtu mendedahkan dirinya ada mengenali seseorang.

Bagaimanapun Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 38, berkata, hubungan itu masih terlalu awal dan menyerahkan soal jodoh kepada Allah.

“Ya ada kenal orang baharu, tapi hanya berkawan dahulu buat masa sekarang. Saya tak berani nak cakap. Harap semuanya baik-baik sahaja. Saya serahkan kepada Allah.

“Nak bercerita soal apa yang berlaku ke depan saya sendiri tidak tahu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Tudung Loveta X Anzalna yang diadakan di Hotel The Ruma, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Shuib, dia tidak menafikan ibunya ada bertanya mengenai calon pengganti, namun dia belum bersedia untuk berfikir sejauh itu.

“Ibu pun ada bercakap supaya saya mula kenal dengan orang lain. Tapi saya fikir bagaimana orang nak terima saya dengan anak empat.

“Jika mahu mencari jodoh perlu persetujuan daripada ibu dan anak-anak. Kalau saya yang suka tetapi anak-anak tidak okey memang tidak akan jadi. Buat masa ini saya serahkan kepada Allah sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh lima bulan yang dikatakan masih terlalu awal untuk membicarakan soal jodoh, Shuib menjelaskan, dia tidak perlu mengambil kira pandangan orang lain selain ibu dan keluarganya sahaja.

“Contoh saya katakan sudah lima bulan ini mahu cari jodoh, nanti orang kata dulu beria-ria sedih sangat sekarang seperti cepat sangat hendak mencari jodoh.

“Ada pihak lain pula kata betullah, kalau seorang diri hendak buat apa. Jika depresi siapa yang hendak tanggung? Jadi saya tidak perlu dengar kerana terlalu banyak sangat pendapat orang.

“Saya hanya perlu dengar kata ibu, ibu bapa mertua dan keluarga saya. Sebabnya yang ada dengan saya bukan netizen, tetapi keluarga saya. Jika saya menangis dan tertonggeng di rumah tidak ada netizen datang bertanya khabar, saya okey atau tidak. Oleh sebab itu, saya hanya mahu fokus pada kehidupan saya sahaja,” katanya.

Shuib kini memikul tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat orang anak selepas isterinya penyanyi Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.

Hasil perkahwinan bersama Siti Sarah, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais

 

 

Sumner : utusan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*