“Datang & Pergi Tu Ada Tapi…” – Apa Yang Berlaku Pada Aisha Retno?

Penyanyi yang sedang meningkat naik, Aisha Retno masih belum bersedia untuk menjalin hubungan cinta secara serius dengan mana-mana lelaki.

Keluarga & Kerjaya Lebih Penting

Menurut bintang Big Stage 2022 itu, dia mahu menumpukan perhatian pada kerjaya dan kemajuan diri sendiri terlebih dahulu.

“Di sebalik kesibukan saya, saya mahu fokus pada diri sendiri, keluarga dan kerjaya dahulu. Saya masih muda, belum terfikir lagi untuk menjalin hubungan cinta dengan serius setakat ini.

“Bagaimanapun, yang datang dan pergi seperti ‘cinta monyet’ itu ada lah sebelum ini,” selorohnya ketika ditemubual Murai MY.

Lebih Versatil

Selain aktif menyanyi, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu juga sudah mula menjinakkan diri dalam dunia lakonan serta pengacaraan.

“Alhamdulillah, rezeki datang juga selepas Big Stage, saya ingatkan sempat berehat seketika tapi ada juga tawaran menyanyi, berlakon, mengacara dan sibuk dengan persiapan single terbaru saya.

“Kalau dapat tawaran berlakon lagi selepas ini, Insya-Allah saya mahu kalau wataknya bersesuaian dengan saya. Lakonan pertama saya baru-baru ini dalam telemovie berjudul Cangkul (saluran Astro) benar-benar memberi pengalaman yang cukup menerujakan.

“Lepas ini, saya harap dapatlah pula watak macam diva atau gedik-gedik, saya suka watak begitu,” katanya.

Selain bakal melancarkan single terbaru tidak lama lagi, Aisha juga akan muncul dalam satu rancangan terkenal sebagai salah seorang juri, serta mengacarakan sebuah program masakan. Sama-sama kita nantikan!

 

 

Sumber: Muraimy

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*