Ibu tunggal empat beranak idam miliki rumah sendiri

PENDANG: Ubat pahit yang harus ditelan seorang ibu tunggal, Husnayat Hassan, 39, adalah dia bukan sahaja terpaksa menyara tiga anaknya sendirian malah hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Malah sejak diceraikan suami pada 2017, wanita itu dan tiga anaknya terpaksa menumpang rumah pusaka keluarga bersama abangnya lima beranak di Kampung Jelai, di sini.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itulah nasib Husnayat sekeluarga apabila dia harus melakukan pelbagai kerja termasuk menjual pisang goreng dengan pendapatan RM50 sehari ketika ini.

Katanya, ketika dua anak perempuannya, Nur Hidayah, 7, dan Mashitah, 5, semakin membesar dia berharap untuk mendiami rumah yang lebih selesa pada masa depan namun dengan kemiskinan yang ditanggung ketika ini, impian itu sekadar angan-angan.

“Kalau wang belanja itu insya-Allah saya akan usahakan apa saja walaupun tak seberapa pendapatan sehari. Anak-anak pun Alhamdulillah dapat bantuan persekolahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Makan pakai kadang-kadang orang derma. Tetapi anak-anak semakin besar saya harap dapat sediakan rumah yang selesa untuk mereka.

“Saya pernah minta bantuan rumah daripada zakat, kerajaan tetapi tak dapat,” katanya.

Menurut Husnayat, ketika mendiami rumah serba daif dan sering rosak akibat ribut itu mereka sekeluarga juga terpaksa berdepan dengan ancaman haiwan liar termasuk ular.

“Saya dan anak perempuan saya tidur di ruang tamu sahaja beralas toto, Alhamdulillah dapat duit Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) baru-baru ini saya beli tilam. Kawasan rumah kami banyak ular.

“Sudah dua kali ular tedung selar masuk dalam rumah ketika saya tidur. Sekali itu betul-betul di hujung kepala saya dan anak-anak tetapi Allah masih melindungi kami,” katanya. Kesempitan juga memaksa anak sulungnya,

Muhammad Haikal Hakimi, 17, meninggalkan bangku sekolah kerana ingin bekerja membantu mereka sekeluarga. Bagi mereka yang ingin membantu keluarga tidak bernasib baik itu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun BSN Husnayat, 0213141100007785.

 

 

 

 

 

Sumber : utusan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*