Sultan Johor Kurnia Cincin Khas Buat Kakitangan Istana

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan cincin khas buat kakitangan istana Johor sebagai kenang-kenangan.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi baginda hari ini, idea tersebut terbit daripada hobi baharu baginda iaitu membuat batu cincin daripada sejenis spesies siput.

Titah baginda, Almarhumah bonda tuanku pernah mengurniakan satu cincin sebegitu ketika baginda muda dan kini ia diturunkan kepada Tunku Mahkota, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Beberapa ketika dahulu, saya terjumpa siput yang sama dihidangkan dalam santapan saya, jadi saya telah mendapat batunya dan mengilatnya sendiri.

“Lalu saya fikir ini boleh menjadi satu cenderahati yang sangat bermakna untuk kakitangan saya,” titah baginda dalam kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, setiap batu yang diambil untuk dihadiahkan kepada kakitangan istana digilap sendiri baginda sebelum dibentuk oleh tukang emas peribadi baginda.

Difahamkan, Sultan Ibrahim juga bercadang untuk menggunakan batu-batu berkenaan sebagai perhiasan kancing Baju Melayu, ‘cufflink’ dan pin tali leher kegunaan peribadi baginda. – UTUSAN

Sumber : Utusan Online via Soya Lemon

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*