Ada pihak kurang senang jutawan hartanah guna helikopter, Azlan tampil beritahu perkara sebenar “Saya bayar RM50,000 sehingga lebih RM100,000 setiap kali guna helikopter”

Besut: “Saya bayar sekitar RM50,000 sehingga lebih RM100,000 setiap kali menggunakan perkhidmatan helikopter berkenaan,” kata jutawan hartanah Mohamad Azlan Abdullah @ Ali atau lebih dikenali sebagai Mohamad Azlan Al Amin.

Azlan, 34, dari Kampung Tok Raja, Jertih, berkata dia tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai helikopter yang digunakan selama ini termasuk mengakui helikopter berkenaan miliknya.

“Semuanya persepsi masyarakat yang beranggapan helikopter itu kepunyaan saya. Maklumlah mereka biasa lihat helikopter itu diparkir di hadapan rumah.

“Malah, pernah sampai berhari-hari helikopter itu tersadai di hadapan rumah sekali gus memberi tanggapan bahawa helikopter itu kepunyaan saya.

“Sebenarnya saya tiada apa-apa masalah mengenai tanggapan orang ramai mengenainya cuma apabila ada pihak tertentu sengaja mencipta sensasi berbau fitnah, saya perlu memberi penjelasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Katanya, dia menggunakan perkhidmatan helikopter itu untuk tujuan perniagaan hartanah yang dijalankan dan menjadi keperluan wajar kerana segala urusan perlu dijalankan dengan cepat dan lancar.

“Saya perlu menggunakan perkhidmatan helikopter sewa itu untuk meninjau tanah-tanah yang dibeli dan bakal dimajukan.

“Kadangkala dalam masa sehari, saya perlu berada di beberapa negeri atas urusan perniagaan. Oleh itu penggunaan perkhidmatan helikopter memang diperlukan bagi mempercepatkan pergerakan.

“Paling rendah caj sewa satu jam ialah sekitar RM8,000 dan biasanya paling kurang saya akan sewa selama lapan hingga 10 jam untuk urusan perniagaan hartanah yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, dia pernah ditawarkan untuk membeli helikopter pada harga RM10 juta, tetapi tidak digalakkan membeli helikopter untuk keperluan peribadi atas nasihat pihak yang berkepakaran.

“Walaupun kos sewaan helikopter agak tinggi, tetapi kos penyelenggaraan juga lebih tinggi beberapa kali ganda jika memilikinya dan ia langsung tidak menguntungkan saya.

“Ini kerana penggunaan helikopter itu bukan pada setiap hari. Maka saya rasa tiada keperluan untuk membeli helikopter buat masa sekarang walaupun mempunyai kemampuan jika mahu,” katanya yang pernah bekerja sebagai pengutip sampah sebelum berjaya dalam hidup.

Katanya, dia juga tidak menolak kemungkinan akan memajak sebuah helikopter dan pesawat persendirian untuk bagi urusan perniagaannya di seluruh negara.

Bercerita mengenai tuduhan berbau fitnah yang dilemparkan ke atasnya di media sosial, katanya, dia memandang serius perkara itu dan sudah melantik peguam untuk tindakan undang-undang.

“Memang tidak dinafikan ada segelintir individu tertentu yang dikenali menimbulkan persepsi buruk dan berunsur fitnah sejak kejayaan saya tular di media sosial.

“Oleh itu, bagi menjaga nama baik dan kredibiliti, saya melantik beberapa peguam untuk mengambil tindakan perundangan atau saman malu terhadap pihak berkenaan.

“Tindakan saman itu sebagai pengajaran kepada pihak berkenaan supaya jangan sesuka hati mencipta sensasi negatif di media sosial,” katanya.

Azlan yang kini menguruskan perniagaan hartanah bernilai jutaan ringgit berharap segala perkongsian mengenai kejayaannya dalam bidang hartanah menjadi contoh kepada orang ramai untuk berjaya.

“Masyarakat perlu membuka fikiran untuk melihat kejayaan yang ditonjolkan itu pada sudut positif dan tidak mencari titik kelemahan yang tidak menguntungkan,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan netizen mengenai Azlan yang disifatkan cuba memanipulasi masyarakat mengenai pemilikan helikopter yang digunakan.

“Maafkan Saya Terpaksa Tunjuk Sekali Lagi.” Dituduh Berpura-Pura Kaya, Terpaksa Tunjuk Aset Tanah RM100 Juta.

Kisah kejayaannya di dalam bidang hartanah sebelum ini pernah tular di media sosial. Jutawan hartanah Mohamad Azlan Abdullah @ Ali atau lebih dikenali sebagai Mohamad Azlan Al Amin, pernah mendapat perhatian kisahnya yang bangkit daripada keluarga miskin tegar berubah kepada seorang jutawan hartanah yang disegani.

Biarpun bergelar jutawan, anak kelahiran Kampung Tok Raja, Besut itu tidak pernah mendongak ke langit, sebaliknya bersikap tunduk ke bumi.

Malah, dia lebih selesa memilih kehidupan serba sederhana dan sentiasa istiqomah dalam setiap apa yang dilakukannya. Namun kadang kala, tetap ada cabarannya dalam hidup.

Terbaru menerusi facebook miliknya, meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak mempertikaiannya kehidupannya sehingga ada tidak sedap didengar mendakwa dia hanya berpura-pura seorang hartawan.Tidak mahu ia berpanjangan, Azlan terpaksa mendedahkan nilai aset yang dimiliki. Bukan niat untuk mendabik dada tetapi berharap ia menjadi iktibar kepada pihak berkenaan.

Dia meluahkan rasa syukur dengan anugerah yang dimilikinya dan berharap sentiasa memburu tawadhuk dengan caranya tersendiri.

MAAFKAN SAYA TERPAKSA TUNJUK SEKALI SEKALA.

Jujurnya,saya malu dan tak mahu bercerita tentang aset aset hartanah yang saya miliki dengan izinNya.

Tetapi apabila ada segelintir suara suara sumbang yang seakan menuduh saya hanya berpura pura menonjolkan diri bak hartawan,maka saya terpaksa sekali sekala tampilkan sedikit aset hartanah yang Allah swt anugerahkan sementara kepada saya.

Mungkin kerana gaya hidup saya simple dan ala kadar sangat,rumah pun tak mewah macam dewan badminton,pakai macam penoreh getah,maka saya seakan dilihat tak munasabah untuk diangap hartawan.

Tapi sabar dulu kawan,jangan cepat menduga cetak atau dalam air di lautan kalau kita bukan ahli untuk menyelam.

Hanya ikan yang tahu dunia air.

Saya tak minat bercerita pasal harta.

Saya hanya ada sedikit sahaja aset untuk jana kehidupan berkeluarga.

Tak banyak pun!

Sepanjang sepuluh tahun saya di bidang hartanah,ada lah lebih 100 juta nilainya jika dihitung sekarang.

Rm100 juta nilai tu bukan besar,biasa biasa saja.

Saya anggap itu pencapaian yang sangat serta masih kecil,kerana saya sasarkan untuk memiliki aset lebih rm1 bilion menjelang sepuluh tahun ke depan…InsyaAllah

Malu saya nak mengaku berharta,saya suka menyendiri dengan cara sendiri.

Lagipun,lebih ramai di luar sana yang kaya raya.Setakat saya ada cikit cikit,apalah sangat.

Apepun,saya syukur dengan apa yang Allah kurniakan seadanya ini.

Di bawah ini,hanya sebahagian geran geran tanah yang saya ‘terpaksa’ kongsikan untuk ‘menjawab’ tuduhan tuduhan jahat oleh segelintir mereka yang jelas mencemburui kejayaan kerdil saya!

Saya tak mahu terkesan dengan suara suara sumbang,nanti saya akan jadi sombong dan lupa diri sedangkan kita hanya hamba saja.

Kalau saya hidup untuk menunjuk sehingga sombong,saya mungkin akan tanya kembali seperti berikut :

“Berapa ratus juta kau ada aset untuk sembang dengan aku???”

Saya akan soal lagi “Setakat kau hanya ada toyota atau mercedes dan rumah banglo guna pinjaman bank,tak payah sembang lah! Tunjuk geran geran tanah kau ada berapa ratus keping!”

Tapi nauzubillah..

Innalillah,jika saya jadi sombong begitu,saya dah ikut sifat IBLIS!

Justeru,izinkan saya terus memburu tawadhuk dengan cara saya walaupun saya pasti belum tawadhuk!

Doakan saya istoqamah dalam mujahadah!

 

Sumber: Muhammad Azlan Al-Amin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*