‘Kacau’ Set Laksamana Do Re Mi, Faizal Hussein Cerita Balik Kisah Pertama Kali Jumpa Tan Sri P. Ramlee

Sebut sahaja nama Faizal Hussein pasti ramai yang terkenang filem-filem box office lakonannya. Penangan filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986 misalnya telah berjaya melonjakkan nama Faizal Hussein di persada seni tanah air. Bahkan sampai ke hari ini pun masih ramai yang boleh mengingati jalan cerita filem popular tersebut dan lebih mengenali dirinya dengan gelaran Roy.

Bagi peminat seni negara, bakat Faizal Hussein tidak perlu dipertikaikan lagi. Cukup berdisiplin di set penggambaran dan mampu membawa watak yang diberikan dengan sebaik mungkin antara faktor mengapa dirinya kekal relevan sampai sekarang. Yang pasti, kehebatan anak seniman Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarhamah Mahyon Ismail di pentas lakonan tetap teguh meskipun Faizal kini mencecah usia 55 tahun.

Pelakon senior, Faizal Hussein terkenang kisah lucunya ketika pertama kali bertemu seniman agong, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Jelas Faizal, ketika itu dia berusia dalam lingkungan empat tahun dan bapanya yang juga pelakon, Allahyarham Hussein Abu Hassan membawanya ke lokasi penggambaran filem komedi popular arahan P. Ramlee berjudul Laksmana Do Re Mi.

Katanya lagi, pada ketika itu, dia membuat satu kesilapan sehingga menyebabkan sesi penggambaran tersebut terpaksa dihentikan seketika.

“Sewaktu melakonkan filem Laksmana Do Re Mi, arwah bapa saya membawa watak sebagai Menteri Fasola. Dalam filem itu, ada satu babak yang memaparkan aksi pertempuran di antara mereka di dalam sebuah gua.

“Jadi waktu keduanya sedang melakonkan babak tersebut, saya sebenarnya berada di belakang gua,” katanya kepada MH.

Disebabkan terlalu teruja melihat prop dan replika gua yang telah dihasilkan oleh pihak produksi, Faizal secara spontan bertindak mengoyangkan gua tersebut saat sesi penggambaran sedang dijalankan.

“Pada waktu itu, saya sangat terkesima dan kagum dengan cara mereka menyediakan set gua berkenaan.

“Tapi saya tak tahu mereka rupanya menggunakan ‘cardboard’ untuk bentukkan gua berkenaan dan kemudiannya dicat. Pada bahagian belakang, mereka hanya meletakkan rangka-rangka kayu sahaja.

“Disebabkan terlalu teruja, saya pun goyangkan gua tu dan pada ketika itu, P. Ramlee dan ayah saya tengah berlawan.

“Jadi mereka terpaksa hentikan shoot dan director pun jerit ‘cut… kenapa gua bergoyang’,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Faizal turut mendedahkan, sebaik sahaja sesi penggambaran filem tersebut berakhir, bapanya telah membawa dia untuk berjumpa dengan P. Ramlee.

“Lepas diorang periksa, mereka nampak saya dekat belakang gua. Muka saya pun blur sebab tak tahu apa yang terjadi.

“Lalu sejurus kemudian, bapa saya bawa berjumpa dengan P. Ramlee. Kami bersalaman kemudian dia tegur saya fasal goyang gua tadi dan dia peluk saya. Masa tu tiada kamera, jadi tak boleh la nak ambil gambar,” katanya lagi.

Filem Laksamana Do Re Mi yang diterbitkan pada tahun 1972 turut dilakonkan oleh A.R. Tompel, Ibrahim Din, Dayang Sulu dan ramai lagi.

Di sebalik kejayaan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia 2012 ini, pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai perkembangan terkini suri hati Faizal Hussein yang dahulunya turut pernah mewarnai dunia seni. Suhaila Sulaiman yang bakal meniti usia 44 tahun pada 29 Jun nanti juga seorang pelakon dan pernah bergandingan bersama Faizal Hussein menerusi drama Sayang Puteri.

Sebaik mendirikan rumah tangga bersama Faizal Hussein pada tahun 2004, nama Suhaila seakan sepi daripada industri seni. Dia dilihat lebih selesa memberi sepenuh tumpuan terhadap keluarga terutamanya selepas bergelar ibu. Hasil perkongsian hidup 16 tahun, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Fazryn yang menyambut ulang tahun ke-15 pada 5 Jun lalu sementara anak lelaki mereka, Fazrick kini berusia 12 tahun.

Sumber : Media Kini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*