Awas Prosedur Pelik Di Bilik Mayat, Waris Diperdaya Tak Boleh Tuntut Jenazah Selagi Tak Dimandikan Dan Kafan, Rupanya Ini Tindakan Jijik Staff Hospital

TERGAMAK ada yang sanggup buat apa saja untuk mendapatkan wang, sehingga menggunakan jenazah demi ‘duit poket’ sekadar RM5!

Jika bernasib baik, ‘untung atas angin’ itu boleh mencecah sekurang-kurangnya RM50 untuk satu jenazah yang diuruskannya, dengan bertindak sebagai ejen atau orang tengah.

Seorang pengasas badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma atas sumbangan ihsan masyarakat, membuat pendedahan itu kepada mStar susulan perkongsiannya di Facebook beliau, Mr Wan Chai Official menjadi tular.

Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Chai itu mendakwa, berlaku satu insiden membabitkan seorang staf forensik di sebuah hospital di Selangor, pada petang Sabtu.

Menurutnya, ketika itu petugasnya mahu menghantar satu jenazah lelaki berusia 43 tahun yang meninggal dunia akibat sakit usus, ke Ketereh, Kelantan selepas dihubungi waris yang meminta bantuan.

“Setibanya rakan sukarelawan di bilik mayat di hospital, waris memaklumkan jenazah tersebut tidak boleh dituntut. Petugas saya pelik kenapa tak boleh dituntut sedangkan permit kematian sudah diterima oleh waris si mati.

“Bila ditanya untuk mendapatkan kepastian, waris si mati memberitahu jenazah hanya boleh dituntut selepas proses mandi dan kafan dilakukan oleh pihak hospital.

“Staf forensik tersebut memaklumkan bahawa ia adalah prosedur yang ditetapkan oleh pihak hospital sebelum jenazah boleh dituntut,” katanya menerusi posting tersebut.

Bercakap kepada mStar, Wan Chai mempersoalkan tindakan staf forensik lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu.

“Sejak bila pihak hospital menyediakan perkhidmatan mandi dan mengkafankan jenazah, dan sejak bila pula jenazah hanya boleh dituntut oleh waris selepas dimandi dan dikafankan?

“Staf forensik yang bertugas di kaunter pada hari kejadian agak melampau kerana cuba memperdayakan dan memperbodohkan waris, sedang waris mempunyai kekangan kewangan dan mahu mendapatkan khidmat kami secara percuma,” ujarnya yang berpengalaman dalam pengurusan jenazah selama hampir tiga tahun.

Dia menjelaskan bahawa pengurusan mandi dan kafan jenazah bukan di bawah bidang kuasa pihak hospital, tetapi boleh melantik jurumandi jenazah yang dilakukan oleh pihak luar iaitu badan pengurusan jenazah swasta, yang mengenakan bayaran untuk khidmat tersebut.

“Waris boleh mendapatkan khidmat jurumandi lantikan hospital sekiranya tidak mempunyai jurumandi untuk menguruskan jenazah ahli keluarga, tetapi mestilah atas persetujuan waris, bermaksud tiada paksaan sekiranya waris mahu menggunakan khidmat jurumandi luar, khairat kematian atau NGO,” katanya sambil menambah UKVJ berpangkalan di Klang.

Mengulas lanjut, Wan Chai mendakwa, staf forensik tersebut menetapkan syarat sebegitu kepada waris kerana mahu mengejar wang tip daripada jurumandi lantikan hospital atau jurumandi swasta.

“Kos untuk mendapatkan khidmat jurumandi swasta dianggarkan antara RM600 dan RM850, jadi sudah tentunya membebankan waris yang tidak berkemampuan,” katanya.

Menurut Wan Chai, berdasarkan pengalaman seorang bekas kakitangan forensik di sebuah hospital yang pernah melakukan taktik sama sebagai ‘ejen’, sejumlah bayaran sebagai ‘duit poket tepi’ akan diterima sekiranya berjaya mendapatkan ‘job’ pengurusan jenazah untuk jurumandi swasta.

“Saya diberitahu ada yang sanggup terima bayaran RM5, dan boleh cecah sehingga RM50. Tapi individu berkenaan telah insaf dan tidak lagi melakukan perkara tersebut,” ujarnya.

Dia bagaimanapun berkata, pengurusan jenazah tersebut kemudian dipermudahkan meskipun berlaku kekeliruan membabitkan staf forensik di situ sebelum itu.

“Mujur Allah bantu permudahkan urusan waris dan jenazah. Selang beberapa minit staf forensik yang bertugas telah membenarkan jenazah dituntut.

“Itu pun setelah dia mengetahui pihak UKVJ yang mahu menuntut jenazah tersebut. Mungkin juga selepas dia terlihat van jenazah milik UKVJ yang tiba di bilik forensik,” ujarnya sambil menambah jenazah tiba di rumah keluarga waris di Ketereh pada tengah malam serta selamat dikebumikan, pagi Ahad.

Susulan kejadian itu, Wan Chai menegaskan bahawa tidak sepatutnya ada pihak yang menjadikan kematian sebagai peluang untuk membuat duit, apatah lagi mendapatkan keuntungan atas angin.

“Gaji yang diterima sebagai staf forensik itu walaupun sedikit sekurang-kurangnya berkat. Nilai RM20, RM30 dan RM50 termasuk RM5 untuk komisen satu jenazah tak ke mana pun.

“Bukan boleh kaya cari makan dengan cara sebegitu. Tidak akan jatuh miskin kalau tak ambil duit dari kematian orang lain. Bertaubatlah,” katanya.

 

Sumber Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*