Isteri bakal bersalin minggu depan, mangsa nahas motor tak sempat sambut anak ketiga

Semalam, kita dikejutkan dengan berita nahas kemalangan maut yang melibatkan empat orang penunggang motorsikal dan tiga orang lagi cedera parah di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown.

Apa yang lebih menyayat hati apabila salah seorang mangsa terlibat iaitu Allahyarham Muhamad Eizreel Muhamad tidak sempat menatap wajah anak ketiganya yang dijangka lahir pada minggu hadapan.

Memetik laporan Kosmo Online, isteri kepada arwah Eizreel, Norhanazielah Hanazi meluahkan kesedihan dan mengakui dirinya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya pada pagi semalam.

Lebih bertambah pilu apabila anak-anaknya berusia lapan dan enam tahun menangis slepeas mendapat tahu bapa mereka meninggal dunia.

Tambah Norhanazielah, arwah suaminya paling tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata ketiga. Malah, segala kelengkapan sudah siap dibeli.

“Saya pula sedang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga kami yang dijadualkan pada 27 Julai ini.

“Arwah yang paling tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata ini dan segala kelengkapan sudah siap dibeli,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sikap arwah suaminya, Norhanazielah memberitahu lelaki berusia 25 tahun itu ada menghantar pesanan WhatsApp pada pukul 2 pagi bagi bertanya akan keadaannya dan anak-anak mereka.

Ujarnya, arwah suaminya  yang berkerja sebagai runner mahu sentiasa berdamping dengannya dan anak-anak di rumah sehinggakan sanggup tidak pergi ke kerja semata-mata mahu membawa mereka keluar berjalan dan makan.

Walaupun sarat hamil, wanita itu dilihat gigih untuk pergi ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan suaminya selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan mereka.

Terdahulu, ibu kepada Allahyarham Muhamad Eizreel meminta orang ramai untuk memahami perasaan keluarga mangsa terlibat dan menghentikan kecaman terhadap mereka.

Selain Muhamad Eizreel, turut terkorban dua rakannya iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19.

Jenazah Muhamad Eizreel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara.

 

 

 

 

Sumber: Kosmo Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*