‘Syukur Bunga Elhaq kesayangan semua’ – Elisya Sandha

Kuala Lumpur: Pelakon Elisya Sandha bersyukur apabila puteri tercintanya, Bunga Elhaq disayangi seluruh ahli keluarga terutama ibu mentuanya yang juga pelakon terkenal, Sheila Rusly.

Elisya berkata, Bunga yang kini berusia tiga bulan dijaga dengan sepenuh kasih sayang oleh Sheila apabila dia dan suami keluar bekerja.

“Bunga dan mama Sheila sangat rapat sampaikan mama Sheila tak nak pergi set penggambaran sebab nak jaga Bunga di rumah. Bunga pun tak banyak meragam atau menangis apabila saya keluar bekerja.

“Walau bagaimanapun Bunga sangat mengenali ibunya manakala hubungan Bunga dengan ibu mentua pula seperti cucu dengan nenek,” katanya.

Menurut Elisya, dia tidak menunggu masa yang lama untuk kembali bekerja memandangkan mempunyai ahli keluarga yang banyak membantu.

“Selepas tiga bulan melahirkan anak dan melalui proses berpantang saya sudah kembali bekerja. Saya bersyukur ada keluarga yang sangat menyokong, terutama ibu mentua yang sanggup menjaga Bunga.

“Dalam waktu sama, saya juga ada pembantu yang menolong mama Sheila di rumah. Setakat ini, saya tiada masalah untuk kembali bekerja sebab saya memang tak suka duduk diam di rumah, saya lebih suka bekerja.

“Cuma kalau ada tawaran kerja di luar kawasan saya terpaksa tolak sebab Bunga masih menyusu badan,” katanya. Elisya berkahwin dengan Uzair Haqimy Azman pada 21 Ogos tahun lalu.
Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan diberi nama Bunga Elhaq pada 18 Jun lalu.

 

 

 

 

 

Sumber : hm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*