Pensyarah meninggal dunia sebelum sempat tamatkan larian

Langkawi: Pensyarah kanan yang menyertai acara Langkawi International Half Marathon (LIHM) 2022 di sini, hari ini, tidak sempat menamatkan lariannya apabila tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, Nik Mohd Faiz Nik Mohd Azmi, 37, sempat diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh petugas perubatan dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, Allahyarham adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga peserta LIHM 2022.

“Siasatan awal mendapati ketika menghampiri garisan penamat di hadapan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Petugas perubatan dan anggota APM memberi bantuan awal termasuk melakukan CPR sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM),” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Shariman berkata, bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi ketika dalam perjalanan ke HSM.

“Ujian pengesanan Covid-19 didapati negatif dan mayat dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

 

 

 

 

 

Sumber : hm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*